
TINDAKAN Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan perbincangan bagi mengelakkan pertembungan dalam pemilihan Bersatu tidak lama lagi adalah langkah bijak dan tepat.
Hasil perbincangan yang dijalankan, Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut yang kini menjalankan tugas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bakal menyandang jawatan Timbalan Presiden Bersatu bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang akan bertanding jawatan Naib Presiden.
Sementara jawatan Presiden akan kekal di tangan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, langkah itu memberi ‘isyarat’ bahawa Hamzah akan menjadi Timbalan Presiden adalah baik untuk mengelakkan perpecahan dalam parti itu.
‘’Ia adalah keputusan strategik Muhyiddin bagi menggelakkan pertembungan bagi jawatan Timbalan Presiden yang sedikit sebanyak boleh memberi kesan negatif bukan sahaja kepada Bersatu tetapi juga Perikatan Nasional (PN). Oleh itu Muhyiddin membuat perbincangan dengan pemimpin-pemimpin sehingga menghasilkan apa yang diumumkan,’’ kata sumber dalam Bersatu kepada UtusanTV.
Sumber itu berkata, Muhyiddin mahu melihat transisi kepemimpinan dalam parti berjalan lancar, aman dan tenang, bukannya berpecah belah kerana merebut jawatan.
‘’Dalam keadaan kita berhadapan satu demi satu pilihan raya kecil di samping berusaha memperkukuhkan lagi parti bagi menghadapi PRU-16, Bersatu tidak harus menghabiskan masa, tenaga dan wang untuk perkara yang boleh dielakkan,’’ kata sumber itu lagi.
Bagi penulis, pemilihan Hamzah dilihat tepat memandangkan kedudukan beliau sebagai Ketua Pembangkang. Selain itu difahamkan juga beliau mempunyai hubungan cukup rapat dengan kepemimpinan Pas. Hubungan rapat inilah yang memperteguhkan ikatan politik kedua-dua parti dalam berhadapan dengan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Mungkin ada bertanya bagaimana dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilihat berpotensi untuk menerajui Bersatu pada masa depan? Tidak dapat dinafikan beliau layak untuk menggalaskan tanggungjawab itu tetapi buat masa ini Hamzah lebih sesuai menjadi Timbalan Presiden kerana kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Larut.
Tambahan pula Hamzah sudah membuktikan keupayaannya untuk menggalaskan tanggungjawab sama ada dalam menguruskan politik parti mahupun sebagai ketua blok pembankang di Dewan Rakyat.
Azmin boleh menjalankan tugas Setiausaha Agung Bersatu seperti mana ditawarkan oleh Muhyiddin. Tawaran itu bukan dibuat dengan sia-sia atau saja-saja tetapi atas pertimbangan kepada pengalaman Azmin dalam politik. Azmin juga adalah bekas Menteri Besar Selangor dan kini menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor.
Dengan usia mencecah 59 tahun sudah pasti masih banyak masa untuk Azmin memperkukuhkan kedudukan dan peranan dalam Bersatu sebelum menggantikan Hamzah yang kini berusia 67 tahun apabila tiba masanya. Atas sebab itulah, Azmin harus bertenang dan bersabar, jangan termakan hasutan dan desakan supaya beliau mencabar Hamzah bagi jawatan Timbalan Presiden.
Ia adalah tindakan sia-sia kerana berdasarkan maklumat dalaman, belum tentu Azmin akan memenangi jawatan itu jika beliau mencabar Hamzah. Mungkin bagi penyokong Azmin tidak mengapa kalah daripada tidak berbuat apa-apa, tetapi soalnya bagaimana dengan parti?Oleh itu Azmin perlu berjiwa besar untuk menerima keputusan strategik yang diibuat oleh Muhyiddin demi masa depan Bersatu yang kini semakin diterima oleh orang Melayu sebagai salah satu alternatif menggantikan UMNO selain Pas.
Kalau Hamzah dilihat pemimpin Bersatu masa kini, Azmin pula dianggap pemimpin masa depan Bersatu untuk bergabung bersama Datuk Radzi Jidin. Ketiga-tiga mereka ada kekuatan dan kewibawaan sendiri dan apabila digabungkan dengan pemimpin Pas sudah pasti Perikatan Nasional (PN) akan lebih kukuh dan kuat bagi menghadapi PRU-16.
Hakikat yang perlu difahami di luar PN, banyak yang mahu melihat PN berpecah belah, Bersatu berantakan dan Pas bermasam muka. Ia kerana mereka mengetahui sokongan terhadap PN kini semakin meningkat. Pencapaian dalam beberapa PRK kebelakangan ini, biarpun di kerusi yang tewas, tahap sokongan kepada gabungan itu semakin bertambah.
Dalam keadaan UMNO dilihat semakin teraba-raba mencari hala tuju dan ‘berantakan’ secara senyap selepas bekerjasama dengan Pakatan Harapan maka tidak boleh berlaku apa-apa perpecahan dalam PN. Sebaliknya, langkah strategik yang dilakukan oleh Muhyiddin perlu disokong kerana ia bukanlah untuk kepentingan peribadi beliau tetapi demi masa depan Bersatu dan Perikatan Nasional.
Jika ada yang mahu ‘merajuk ala Che Kiah’ berikutan keputusan Muhyiddin biarkan sahaja, dalam politik tidak boleh rajuk merajuk, pujuk memujuk kerana kepentingan parti mengatasi kehendak mana-mana kelompok atau individu. Namun penulis percaya, kesemua pemimpin Bersatu termasuk Azmin memahami dan menerima tindakan politik strategi Muhyiddin ini.

