Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal GAMBAR: Abd Razak Aid

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menjadi pendamai dalam perbalahan antara Pas dan Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) berhubung isu arak.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, situasi yang berlaku antara Pas dan Gerakan hanyalah satu perbezaan pandangan.

Jelas beliau, Perikatan Nasional (PN) masih memerlukan Gerakan memandangkan gabungan parti tersebut mewakili rakyat berbilang kaum.

“Kami bukan Melayu far-right, xenofobik, Islamis atau ekstremis. Kami (PN) untuk semua.

“Saya rasa Pas setuju dengan saya dalam aspek ini, tetapi biasalah kadang-kadang adik dan abang bergaduh.

“Kita akan membantu kepimpinan PN untuk merapatkan jurang antara Pas dan Gerakan,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Untuk rekod, pada 27 Julai lalu, Gerakan menyatakan penglibatan syarikat minuman keras dalam acara seumpama itu tidak seharusnya dilarang.

Ia mengundang kritikan daripada pemimpin Pas, antaranya Ketua Penerangan, Mohd Fadhli Shaari dan Timbalan Presiden,Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, manakala Harakah menyifatkan pendirian itu sama dengan DAP.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, beliau memahami pendirian Pas dan Gerakan dalam isu berkenaan.

Begitupun, ahli Parlimen Machang itu tidak bersetuju minuman keras ’dijaja sebegitu rupa’ di sekolah, sama ada sekolah vernakular atau bukan.

“Kami tidak membantah sekolah vernakular dan sekolah vernakular ada hak untuk raih dana daripada mana-mana sumber.

“Tetapi anda tidak boleh secara terang-terangan promosi alkoholisme di sekolah seperti apa yang berlaku di sekolah di Sepang.

“Salah juga untuk (Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan) Aiman Athirah menunjukkan thumbs up dengan sepanduk. Ia penghinaan kepada agama, kaum dan masyarakat,” katanya lagi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram