KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengarahkan rangkaian jenama aiskrim, Inside Scoop menghentikan serta-merta penjualan semua produk aiskrim yang dicampur dengan ubat batuk tradisional Pei Pa Koa atau lebih dikenali Cap Ibu dan Anak bagi tujuan keselamatan kepada orang ramai.

KKM dalam kenyataan menegaskan memandang serius penjualan produk aiskrim yang dicampur dengan ubat batuk tradisional Cap Ibu dan Anak itu.

Jelasnya, Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) telah membuat semakan terhadap aktiviti penjualan tersebut di premis yang ditularkan mendapati bahawa aiskrim tersebut disediakan bersama picagari yang berisi ubat batuk Pei Pa Koa.

Menurut KKM, ubat batuk Cap Ibu dan Anak adalah produk berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di bawah kategori tradisional.

KKM memberitahu, ubat batuk itu digunakan untuk melegakan sakit tekak dan batuk yang mana kontraindikasi bagi wanita hamil seperti yang dinyatakan pada label produk itu.

Kementerian itu menjelaskan Seksyen 13B (2) Akta Makanan 1983 tidak membenarkan penyediaan atau penjualan apa-apa makanan yang diadukkan.

Sekiranya disabitkan kesalahan, KKM menegaskan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Baca artikel lain: KKM akan padankan pakar perubatan seiring pembangunan infrastruktur

“Semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut.

“Pihak industri makanan adalah diingatkan supaya bertanggungjawab untuk memastikan semua produk makanan yang dijual mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya walaupun bagi tujuan pemasaran dan melariskan jualan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, KKM turut menasihatkan orang ramai supaya lebih peka dengan isu keselamatan makanan dan perlu sentiasa berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan yang tidak sesuai atau tidak selamat untuk dimakan.

“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook PKKM,” katanya.

Sementara itu, Inside Scoop dalam hantaran di Facebook memohon maaf kepada semua pihak atas penjualan aiskrim berkenaan.

Rangkaian jenama aiskrim tempatan itu turut memaklumkan pelanggan yang telah membuat pesanan aiskrim perisa Pei Pa Koa secara dalam talian akan menerima bayaran balik.

“Susulan nasihat daripada KKM, kami mengucapkan selamat tinggal kepada perisa aiskrim Pei Pa Koa berkuat kuasa serta-merta.

“Kami benar-benar memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul dan menghargai timbang rasa anda,” jelasnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram