Penulis : Aisyah Mohd
Gambar : Koleksi Peribadi
Biasanya orang pergi ke Sapporo, Hokkaido di Jepun untuk bermain salji dan bersukan ski pada musim sejuk. Tapi apa ada pada bulan Julai, musim panas?
Pada awal Julai baru ini, saya dan dua beradik serta seorang anak saudara berpeluang bercuti ke Hokkaido. Percutian enam hari ini dirancang sejak enam bulan lalu dengan bajet RM5000.
Hasrat awal kami untuk menaiki keretapi ke destinasi-destinasi menarik sekitar Hokkaido dibatalkan. Sebaliknya, kami memilih untuk menyewa kereta comel Toyota Yaris sekalipun ia menjejaskan sedikit bajet kami – menyewa kereta dan kos minyak kereta. Namun demi keselesaan dan kemudahan bergerak, ia adalah pilihan terbaik.
Apapun paling penting ialah pengetahuan dan kecekapan menggunakan pelbagai aplikasi info di telefon bimbit agar perjalanan anda berjalan dengan lancar. Antaranya adalah google maps dan google translate kerana kebanyakan papan tanda dan maklumat dalam bahasa Jepun semata.

Kompak dan Canggih
Penerbangan dari KLIA selama tujuh jam diikuti dengan transit di Lapangan Terbang Narita Tokyo sebelum tiba dua jam kemudian di Lapangan Terbang Baru Chitose, Sapporo.
Kami menaiki bas dari lapangan terbang ke tempat penginapan di tengah kotaraya Sapporo. Ketika itu jam 7.30 malam. Suasana malam di kotaraya yang sibuk dengan aktiviti perniagaan di sebelah siang ini berubah sepi. Ini mungkin disebabkan kebanyakan warga kota menetap di luar kotaraya sibuk ini.

Tempat penginapan berupa inn hanya memerlukan penyewa menekan password khas untuk masuk ke dalam bangunan dan ke unit penginapan. Penyewa juga perlu whatsapp maklumat pasport dan rakaman gambar terkini para penyewa sebagai syarat pengesahan sewa.
Seperti dijangkakan, tempat penginapan kecil dan kompak, sehinggakan kami terpaksa solat bergilir-gilir di ruang sempit antara pintu bilik dan meja makan!
Kami memilih tempat penginapan yang menyediakan dapur dan kebanyakannya dilengkapi dapur induction, rice cooker, periuk serta perkakas masak seperti sudip, senduk dan sudu garpu.
Kami membawa bekalan bahan masakan untuk di masak sepanjang percutian ini kerana difahamkan kesukaran untuk mendapat makanan halal mahupun restoran halal di Hokkaido. Tidak seperti di Tokyo atau Osaka.
Tapi perkara paling menarik sepanjang percutian ini adalah tandas yang canggih. Awalnya kami mengambil masa agak lama semasa berada di dalam tandas. Panel fungsi tekan butang menggunakan tandas untuk membersihkan diri sangat efektif. Biasa yang menjadi masalah mencari butang untuk pam air tandas! Disebabkan sesetengah tandas kedudukann butang pam air terletak berasingan dari panel tersedia. Tambahan pula dalam bahasa Jepun!

Semarak Bunga-bunga
Bulan Julai di Jepun menandakan ketibaan musim panas. Waktu siang yang panjang, bayangkan solat subuh jam 1.55 pagi dan jam 5 pagi langit sudah cerah! Suhu pagi sekitar 22-25 Selsius di Sapporo begitu nyaman kerana sinaran mentari disulami angin dingin membuatkan berjalan kaki di sekitar kotaraya begitu menyeronokkan!

Apa tidaknya, pelbagai jenis bunga berwarna-warni seperti hydrangeas dan bunga mawar (bunga-bunga lain tidak pasti namanya) menghiasi sepanjang jalanraya dan pangkal tiang-tiang letrik di kotaraya Sapporo. Apa lagi, kerap lah kami berhenti untuk merakam gambar-gambar bunga yang begitu mengujakan perasaan!

Kami singgah di taman Odori Park berlatarbelakang Sapporo TV Tower. Kelihatan plot-plot bunga dengan plak-plak nama penajanya menaburi taman tersebut. Begitu indah sekali!
Di bahagian tengah taman kelihatan sebuah pentas dengan barisan kerusi. Rupanya ia merupakan hari pertama Festival Muzik Jazz. Ah, layan sebentar muzik segar ini yang disertai oleh pelbagai peringkat umur dari pemuzik professional, pelajar kolej muzik, sekolah menengah, rendah malah, tadika! Sungguh meriah!

Sempat juga kami singgah ke Tijo Market yang dikatakan terdapat gerai Donburi Chaya menjual makanan laut Halal. Tapi agak hampa kerana gerai belum buka lagi.
Kami meneruskan perjalanan menaiki tren ke Miyanosawa untuk bersiar-siar di Taman Shiroi Koibito. Menariknya di sini juga disediakan bilik solat. Ah, laman bunga berwarna-warni bagai melambai-lambai kunjungan kami…
Destinasi seterusnya untuk menyaksikan keindahan kotaraya Sapporo dari puncak Mount Moiwa Ropeway terpaksa dibatalkan kerana suasana berkabus tebal.
Keesokannya kami menaiki tren ke Otaru dan mengambil kereta sewa Toyota Yaris yang comel. Dalam perjalanan ke Cape Kamui, kami ternampak papan tanda besar Ladang Ceri lalu singgah untuk memetik buah ceri. Hmmm… segar lagi manis. Inilah kelebihan memandu kereta sendiri boleh singgah berhenti sesuka hati.

Cape Kamui terkenal dengan panorama indah waktu senja di tanjung yang terdapat lighthouse ini. Jika berdaya untuk mendaki dan menuruni bukit mengikuti laluan denai yang disediakan, anda akan dapat melihat kejernihan air tasik jernih kebiruan nun di hujung tanjung.
Kami akhiri hari tersebut dengan bersiar-siar di bandar Otaru yang terkenal dengan terusan merentasi bandar ini. Sempat juga kami menunaikan solat di Masjid Al Noor.
Hari ketiga, kami memandu keluar dari Sapporo menuju ke Furano, Biei dan Asahikawa. Tempat-tempat tersebut terkenal dengan ladang- ladang bunga terutama lavenda, mawar dan bunga matahari.

Ladang- ladang ini terletak di atas bukit beralun, ibarat saujana mata memandang…sememangnya ideal untuk sesi fotoğrafı. Pada sebelah malam pula Hinode Park menganjurkan Pesta Bunyi & Cahaya. Suasana ungu ladang lavender di sirami limpahan cahaya lampu dengan iringan muzik menyemarakkan keindahan panorama. Kehadiran bulan separuh mengambang memukau pandangan.

Keesokkannya kami singgah di ladang bunga matahari di desa Hokuryu tetapi hampa kerana tiada bunga kelihatan.
Kami meneruskan lawatan ke ladang bunga Shikisai no oka pula. Pelbagai jenis bunga berwarna-warni ditanam dalam bentuk berjalur- jalur meliputi bukit yang beralun. Amat menarik untuk rakaman foto. Tidak hairanlah ia menjadi lokasi ideal untuk foto perkahwinan, kami menemui dua pasangan pengantin dan krew mereka sedang sibuk berposing!

Kawah gunung berapi dan Tasik
Dari keceriaan bunga-bungaan, kami beralih pula ke taman gunung berapi dan tasik di Noboribetsu. Bau hanyir asid sulfur yang mengeluarkan asap ini menyelubungi suasana berbukit bukau tersebut. Kami juga singgah di sebuah onsen (anak sungai air suam) untuk merendam kaki.

Pengembaraan diteruskan ke sebuah tasik biru buatan manusia dinamakan Blue Pond. Aiskrim berwarna biru lembut melengkapi pengalaman santai ini.

Kami menghabiskan masa di destinasi terakhir percutian ini di Hakodate, bandar di tepi laut. Apa lagi, kami mengunjungi pasar pagi untuk melihat pelbagai jenis ketam, yang paling terkenal King Crab. Sempat juga menikmati hidangan kukus ketam besar berwarna kemerahan ini yang baru ditangkap dari dalam tangki khas. Ketam gergasi ini dikongsi makan bersama kerana harganya yang mahal RM300 ! Enaknya…kulitnya lembut, isinya segar dan ia mudah dikopek untuk makan isinya, tambahan disediakan senduk-garpu panjang untuk mengorek isinya.

Sale Musim Panas
Percutian tidak lengkap jika tidak diselitkan dengan sesi shopping. Tambahan bulan Julai di Jepun menandakan sale musim panas! Terdapat banyak pakaian daripada fabrik cita Jepun yang terkenal di jual, sangat sesuai dengan cuaca di Malaysia.
Di Goryokakucho, terdapat deretan bangunan gudang lama batu-bata yang diubah menjadi pusat membeli-belah. Dinamakan Kanemori the red brick warehouse , anda boleh dapati pelbagai barangan seperti pakaian, perkakas rumah dan barang mainan kanak-kanak. Namun harganya tidaklah begitu murah walau setelah diskaun.

Di Sapporo, anda harus mengunjungi sebuah gedung empat tingkat yang menawarkan pelbagai jenis barangan merangkumi kecantikan, perkakas rumah, gajet elektronik dan sebagainya. Harga di tawarkan pula amat berpatutan.
Nama gedung Don Donki sememangnya ideal untuk shopping dan ia turut mempunyai cawangannya di Kuala Lumpur. Gudang yang dibuka 24 jam ini dibuka 24 jam ini sentiasa sesak terutama dengan golongan muda.
Maka waktu terbaik ialah waktu pagi dimana ia hampir kosong dan memudahkan anda untuk memilih, membelek sambil mengimbas bahan-bahan produk kecantikan untuk taraf halal menggunakan aplikasi khas tanpa mengganggu keselesaan pengunjung lain.
Bercuti di Hokkaido pun menyeronokkan juga walaupun tanpa hamparan putih salji. Cuaca tidak begitu panas seperti di Tokyo. Ia nyaman dengan hembusan bayu dingin laut.

