Kisah ini berlaku sewaktu aku menuntut di sebuah IPTA di negeri Selangor lebih 10 tahun yang lalu. Pada satu malam, aku dah berjanji dengan Jul untuk menyiapkan tugasan di bilik Studio AV.
Kami berjanji jumpa di bilik tersebut pada pukul 11 malam. Kenapa pukul 11 malam? Sebabnya, sebelum itu aku kena hadirkan diri pada meeting persatuan. Jadi pukul 11 yang paling awal aku boleh berbincang dan buat tugasan yang lecturer bagi bersama Jul.
Aku dah berada di Studio AV kira-kira setengah jam, namun batang hidung Jul tidak nampak juga. Lambatnya dia nak datang! Aku mesej, Jul tak reply. Aku telefon, dia tak angkat. Aku telefon kawan-kawan yang lain. Mereka kata Jul ada session dengan persatuan kompang dia. Aku ambil keputusan untuk terus menunggu di studio itu.
Tap… tap… tap… tiba-tiba bunyi air menitik daripada kepala paip. Dari celah-celah pintu studio yang memang aku tak tutup rapat itu, aku dapat dengar bunyi itu dengan jelas. Dari cermin kaca bilik, aku dapat lihat air menitik dari kepala paip sinki di pantry. Ishhh… siapalah yang guna studio ni tadi, kalau iyapun tutuplah kuat sikit kepala paip tu.
Memang betul pun! Bila aku ke pantry, aku lihat titisan-titisan air paip jatuh ke sinki. Aku ketatkan kepala paip. Aku masuk semula ke studio. Pintu studio saja aku buka luas-luas.
Selang beberapa minit, bunyi air jatuh dari kepala paip terdengar lagi. Alamak… apa kurang ketat ke aku tutup tadi? Atau ada ‘seseorang’ yang membukanya? Aku mengetatkan kepala paip semula. Yang hairannya, tadi aku dah ketatkan kepalanya, kenapa bila aku hendak mengetatkannya semula, ia seakan-akan telah dilonggarkan? Seperti telah dibuka sedikit! Pelik!
Dalam pada itu Jul masih tidak muncul-muncul. Aku masuk ke bilik studio, membuka laptop, membuka komputer studio, dan membuat kerja-kerja yang sepatutnya sebelum Jul datang.
Eh… tiba-tiba aku melihat air mencurah keluar dari kepala paip pada sinki di pantry. Walaupun pintu studio aku tutup rapat, tapi aku boleh melihat pantry dan kawasan sekitarnya dengan jelas melalui dinding kaca. Tadi aku dah ketatkan betul-betul, malah dua kali apa aku ketatkan kepala paip. Kenapa air keluar lagi? Laju pula tu!
Alamak… ini dah kes lain dah ni! Mungkin aku ketatkan kurang kemas. Nak buat tak tahu atau aku nak tutup? Kalau buat tak tahu, ishhh… berlambak-lambaklah air keluar membazir macam itu saja. Kalau aku tutup, sah-sahlah nanti akan keluar balik. Biar aku tutup sajalah! Kali ini dengan ekstra kuat. Biar air tidak menitik atau terkeluar lagi.
Bila aku buka pintu studio, trreeetttt… bunyi air keluar dari kepala paip dengan laju. Eh, kepala paip ni longgar lagi. Macam ada yang membukanya pulak! Sekali lagi aku menutup kepala paip dengan ekstra kuat. Bukan itu saja, bagi memastikan air tidak keluar lagi, aku menutup pengunci paip yang terletak di bawah sinki dengan kuat. Kali ini kalau keluar lagi, memang something wronglah ni!
Lama juga aku nantikan kalau-kalau air menitik itu berulang kembali, tapi tidak juga ia berbunyi. Memang sahlah sebelum ini bahawa sebenarnya air paip itu keluar adalah disebabkan aku tidak menutup kepala paip dengan kuat.
Sreeetttt…. Bunyi apa tu? Aku terkedu! Bunyi apa? Siapa yang buat bunyi itu? Aku diam memasang telinga! Sepi! Tak ada bunyi apa-apa pun!
Sreeettt… bunyi lagi! Macam mana aku boleh dengar bunyi seakan kerusi diseret! Siapa yang seret? Aduiii… macam-macam pula dugaan. Tadi kalau bunyi paip air, aku tak kisah, ini bunyi kerusi ditarik, betul-betul menguji tahap keberanian aku.
Kalau tadi aku tidak kisah. Aku buat selamba dengan paip yang terbuka sendiri sesudah ditutup, kali ini aku tak tahan lagi. Serasa semua rambut terpacak berdiri. Seram! Kenapa seram? Sebabnya kalau mengikut hukum akal, bilik studio sudah terkunci rapat, tapi bagaimana bunyi kerusi ditarik tadi boleh menembusi bilik kedap bunyi itu? Sangat pelik!
Terfikir aku untuk mencucuk thumb drive yang ada koleksi ayat-ayat al-Quran. Kelam-kabut aku seluk poket beg galas mencari thumb drive itu.
Sreeeettttt…. ishhhh… dia bunyi lagi! Aku tak berani nak menoleh ke arah dari mana bunyi itu datang. Manalah pulak thumb drive ni. Masa-masa kecemasan macam ini thumb drive itu tak jumpalah pulak! Aduh, baru aku teringat, thumb drive itu aku bagi Jul. Kelmarin dia kata nak copy koleksi ayat-ayat al-Quran dalam thumb drive tu.
Dalam seram-seram itu, mulut aku tak putus-putus membaca surah-surah yang aku hafal. Beberapa ketika kemudian, bunyi tersebut tiada lagi. Fuhhh… lega rasanya.
Kriukkk..kriukkk… hahhh… ada bunyi lagiii! Aku mengerling sedikit ke arah bunyi tersebut. Apa yang aku nampak dari penjuru mata? Kerusi itu tidak ditarik, tetapi berpusing perlahan dengan sendiri.
Mulut aku semakin kuat membaca surah-surah. Semakin berdegup kuat jantung, semakin kuat aku membaca surah-surah yang aku tahu. Walaupun kerusi yang berpusing itu terletak di luar bilik studio, namun aku boleh nampak jelas dari dinding cermin.
Aku meluru ke pintu studio dan menguncinya sekali lagi sekemas mungkin. Kerusi tadi masih terus berpusing perlahan. Berpusing pun berpusinglah, asal aku tidak dengar bunyinya, sudah! Dalam pada itu, Jul masih tidak muncul-muncul lagi!
Sekarang aku hanya memerhatikan saja kerusi itu berpusing sendiri. Kalau ‘dia’ nak apa-apakan aku, memang confirm tak boleh, sebab aku di dalam bilik studio sedangkan ‘dia’ di luar.
Sepanjang aku perhatikan kerusi itu berpusing, sepanjang itu juga bulu roma aku tidak reti nak turun. Meremang memanjang! Aku telefon Jul semula. Haram tidak berangkat! Aku sms, tak dibalasnya!
Untuk lebih selamat, aku masuk ke dalam bilik rakaman. Dengan pintu besi yang tebal dan kalis bunyi, ‘keselamatan’ aku lebih terjamin. Aku masuk dan pastikan pintu bilik rakaman tertutup dengan kemas. Sekarang aku berada di dalam bilik yang berada di dalam sebuah bilik lain.
Kerusi yang terus menerus berpusing itu terletak di luar dua lapis pintu bilik. Dari dalam bilik rakaman yang berdindingkan cermin tebal, aku masih boleh melihat kerusi tadi berpusing. Namun, aku tidak dengar bunyinya.
Beberapa minit kemudian, aku lihat kerusi itu berhenti berpusing. Namun aku tidak berani lagi untuk keluar memeriksannya. Aku tunggu Jul datang. Kenapa dia main kompang lama sangat?
Dari dalam bilik rakaman aku melihat ada air keluar lagi pada paip yang tadi tutup dengan ekstra ketat tadi. Memang pelik! Aku tutup paip tadi, malah aku dah tutup juga kunci paip di bawah sinki. Kenapa masih boleh keluar lagi. Deras pula tu! Aku rasa kalau deras macam itu, tentu bunyinya kuat, namun aku tidak mendengarnya.
Sudahlah air paip keluar semula, kerusi tadi masih lagi berpusing walaupun sekarang agak perlahan. Apa harus aku buat? Bulu roma aku meremamng kembali. Aku tak nampak siapa yang membuka paip! Aku tak nampak siapa yang memusingkan kerusi.
Aku mula cari jalan macam mana hendak memberhentikan kerusi itu daripada berpusing dan menghentikan air paip yang terus menerus keluar. Aku pun keluar dari bilik rakaman dan mula membuka Youtube.
Aku cari video ayat-ayat al-Quran dan mula menguatkan speaker. Tapi dari luar bilik rakaman dan dari dalam bilik kedap bunyi itu, bacaaan ayat al-Quran tidak sampai ke ‘pendengaran’ ‘dia’ yang memusingkan kerusi dan membuka paip air. Takkan aku nak buka pintu bilik. Kalau ‘dia’ tiba-tiba masuk menyerang aku pula, macam mana?
Aku nekad! Aku mesti buka pintu sedikit agar bacaan ayat-ayat al-Quran dari Youtube sampai ‘kepadanya’. Sebelum aku buka pintu, aku kuatkan speaker. Tak pernah aku kuatkan speaker studio yang bersambung dengan Macintosh aku sekuat itu. Habis tu, nak buat macam mana lagi? Terpaksalah aku kuatkan.
Aku melihat indicator pada skrin LCD Macintosh. Memang terlalu kuat. Aku perlahankan sedikit. Ketika aku memalingkan muka dari skrin LCD ke arah kerusi tadi, tiba-tiba satu lembaga hitam sedang duduk di kerusi yang telah berhenti berpusing tadi.
Wooooo… tak tahu aku nak cakap apa lagi. Kali ini bertambah hebat ujian menimpa! Wajahnya tidak kelihatan langsung. Walau kewujudannya tidak sampai dua saat, namun sangat meruntunkan semangat aku! Lemah rasanya kepala lutut aku!
Aku menguatkan semula volum bacaan ayat al-Quran pada Youtube. Serentak dengan itu lembaga hitam tadi tiba-tiba ghaib. Ghaibnya itu, aku yakin sangat kerana bacaan al-Quran dari Youtube. Namun aku rasa, sebelum dia ghaib, mungkin dia hendak menunjukkan fizikalnya. Sebab itulah ‘dia’ muncul sekejap.
Bukan itu sahaja, malah air yang tadinya terpasang, tiba-tiba terhenti. Memang pelik sangat. Seolah-olah ‘dia’ yang memasang air itu sama ‘orangnya’ dengan ‘dia’ yang memusingkan kerusi. Malah ‘dia’ jugalah yang duduk dikerusi yang berpusing sebelumnya. Cumanya ‘dia’ tidak mahu menampakkan susuknya.
Selepas aku rasa semuanya terkawal, aku bergegas meninggalkan studio AV tanpa menutup lampu, apatah lagi menutup komputer. Aku biarkan saja komputer terpasang dengan klip bacaan ayat-ayat al-Quran.
Sampai aku alami peristiwa yang sangat menakutkan itupun, Jul masih tidak muncul-muncul juga. Esoknya kecoh satu fakulti tentang aku, paip air, kerusi pusing, dan lembaga hitam. Nak tahu apa jadi pada Jul malam tu? Dia boleh tertidur setelah penat berlatih bermain kompang. Hampeh!
Catatan : Ajiman Hj. Julkiram, Kota Kinabalu, Sabah Â
_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare