rezeki pastikan ia halal

Umat Islam diwajibkan agar mencari rezeki yang halal. Halal yang dimaksudkan ialah dari sudut hukum makanan tersebut, sumber kewangan dan cara mendapatkannya. Makanan yang jelas diharamkan oleh Islam adalah dilarang sama sekali memakannya sekalipun dibeli dengan duit yang halal.

Begitu juga dengan makanan yang halal dan bersih, sungguh pun halal, tetapi jika diperoleh dengan hasil duit yang haram seperti rasuah, mencuri maka tetap hukumnya haram.

Demikian juga dengan cara mendapat sesuatu rezeki. Jika diperoleh dengan merompak, menipu, rasuah dan sebagainya, maka ia tetap haram dan dilarang oleh Islam. Pendek kata sesuatu rezeki yang halal ialah rezeki yang asal hukum memakannya halal, bersumberkan duit yang halal dan mendapatkannya dengan cara yang halal.

Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Mencari rezeki yang halal adalah wajib bagi setiap orang Islam” (HR Dailami)

Sesungguhnya makanan dan minuman yang halal memberi kesan kepada keperibadian seseorang. Mereka yang hidup dengan memakan yang haram, bersumberkan wang haram dan menerusi cara haram akan menjadi orang yang resah gelisah, sentiasa dihimpit rasa berdosa serta menghadapi pelbagai masalah kehidupan.

Makan makanan yang haram mengotorkan hati dan jiwa, menghilangkan cahaya keimanan diraut wajah dan menjadi penyebab kepada permusuhan, perbalahan, perpecahan dalam masyarakat. Kerana itu Allah berfirman dalam surah al-Baqarah: 172,

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu”

 Dalam konteks sebuah keluarga, ibu bapa yang membesarkan anak-anak dengan wang atau rezeki haram akan mengakibatkan anak-anak tersebut jauh daripada rahmat, inayah dan redha Allah. Bukan sekadar itu malah dinaungi pula kemurkaan Nya.

Kesan dari itu, anak-anak sebegini akan membesar menjadi keras hati, sukar dididik, derhaka kepada ibu bapa dan akhirnya akan menyusahkan mereka, masyarakat dan negara.

Oleh itu adalah menjadi kewajipan ibu bapa memastikan anak-anak dan ahli keluarga mendapat rezeki yang halal dan diberkati Allah. Bahkan dengan makan makanan dan minuman yang haram boleh menyebabkan doa ditolak oleh Allah.

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. menceritakan tentang seorang lelaki yang menadah tangannya ke langit sambil berdoa, “Wahai Tuhanku!…” Sedangkan makanan, minuman dan pakaiannya adalah yang haram. Maka bagaimanakah dikabulkan permintaannya?”

Sebagai orang Islam, kita seharusnya berhati-hati apabila memberi makanan kepada ahli keluarga. Segala masalah yang berlaku seperti penceraian, gagal dalam perniagaan atau kehidupan, pelajaran, terlibat dalam maksiat dan sebagainya, boleh jadi berpunca daripada memakan rezeki yang haram.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyir r.a. beliau berkata,

“Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas. Dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhah yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya.

“Barangsiapa yang menjaga perkara syubhah maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barang siapa yang terjatuh dalam perkara syubhah, maka dia telah jatuh dalam perkara haram.

“Umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya.

“Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkan Nya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul darah yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati”

Oleh itu, jauhilah rezeki yang tidak diredai Allah agar kehidupan keluarga menjadi tenang hamoni dan bahagia. Wallahu a’lam

________________________________________

  

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram