PENJAWAT awam dalam kalangan kumpulan pelaksana dijangka menerima kenaikan gaji paling tinggi iaitu sehingga 42.7 peratus menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan, gambaran secara umum berhubung peningkatan gaji penjawat awam itu akan dapat diketahui pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 pada 16 Ogos depan.
Menurut Fahmi, penjawat awam dijangka menikmati kenaikan gaji antara 15 hingga 42.7 peratus.
Beliau berkata, perincian berhubung kenaikan gaji terutama dari aspek jumlah yang diperuntukkan akan dapat diteliti dalam Belanjawan 2025 nanti.
“Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, yang akan mula diedarkan minggu depan adalah garis panduan berkait kenaikan gaji bagi penjawat awam.
“Insya-Allah bermula minggu depan kita akan dapat gambaran secara umum peningkatan gaji bagi penjawat awam dijangka sekitar 15 hingga 42.7 peratus.
“Peningkatan ini bagi kumpulan pelaksana dijangka paling tinggi manakala bagi kumpulan seperti KSU (Ketua Setiausaha Kementerian) dan ketua pengarah, peningkatannya mungkin lebih sederhana,” katanya.
Baca artikel lain: Kenaikan gaji penjawat awam di Terengganu ikut kerajaan Pusat
Beliau berkata demikian dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Mengulas lanjut, Jemaah Menteri juga telah diingatkan berhubung aspek implikasi kewangan susulan kenaikan gaji penjawat awam dalam mesyuarat hari ini.
Katanya, perkara berkaitan implikasi kewangan itu bukan sekadar dibawa dalam mesyuarat Kabinet, malah menerusi Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober ini.
“Ini adalah usaha Kerajaan MADANI untuk memastikan supaya penjawat awam dapat menikmati kenaikan gaji,” katanya.
Belanjawan 2025 yang dijadual dibentangkan pada Oktober ini, bertemakan “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera”.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua penjawat awam memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat selari dengan pelarasan gaji yang akan diumumkan kerajaan.
Sementara itu, Fahmi berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) masih meneruskan usaha pendaftaran syarikat bagi program Dasar Gaji Progresif.
“Sekiranya ada syarikat swasta yang belum mendaftar dan ingin mendaftar boleh daftar dengan KESUMA. (Ini) usaha kerajaan MADANI bukan sahaja bertujuan meningkatkan pendapatan penjawat awam tetapi juga membantu sektor swasta,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

