TAHUN 1988, saya berpeluang mengerjakan ibadah haji ketika usia mencecah 38 tahun. Kumpulan saya seramai 39 orang bertolak ke Tanah Suci melalui sebuah syarikat swasta yang berpejabat di Kelantan. Kami turun di Jeddah.

Segala perkara berkaitan mengerjakan haji, saya sudah bersedia dari awal, termasuk hal-hal berkaitan kesihatan. Tetapi oleh kerana buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke Tanah Suci, hati saya agak berdebar. Pelbagai perkara remeh-temeh bermain di dalam fikiran.

Sejak dalam penerbangan lagi, saya kerap terfikir bagaimana agaknya cuaca di Tanah Suci nanti. Adakah sama seperti di Malaysia? Sekiranya cuaca terlampau panas atau terlampau sejuk, ia pasti akan mengganggu ibadah haji yang akan saya laksanakan.

Saya masih ingat, ketika dalam perjalanan menaiki bas dari Jeddah menuju ke Mekah, hati saya begitu gembira apabila semakin menghampiri Masjidilharam. Saya dapat lihat dari jauh Masjidilharam tersergam indah dan peluang saya untuk melakukan ibadah juga nampaknya mudah.

Kemudian, apabila melangkah kaki turun dari bas, saya rasakan keadaan cuaca di sana sama seperti di Malaysia. Tidak terlampau panas dan tidak terlampau sejuk. Timbul satu perasaan dalam hati saya…

Selepas berjalan beberapa puluh meter bersama anggota rombongan menuju ke sebuah rumah yang disewa berhampiran Masjidilharam, tidak semena-mena badan saya mula terasa begitu lemah. Tiba-tiba sahaja badan jadi seram sejuk dan menggigil. Walhal, ketika dalam bas sebentar tadi, saya benar-benar sihat. Tiada sebarang tanda yang menunjukkan saya akan demam.

“Man, badan aku rasa macam nak demamlah,” saya mengadu pada seorang kawan sebaik kami masuk ke dalam rumah yang disewa itu.

Saya melihat jam di tangan, pukul 6.00 petang. Oleh kerana badan berasa terlalu lemah, saya membuat keputusan untuk berbaring seketika di atas katil sementara menunggu masuk waktu Maghrib. Dek kerana badan yang lemah dan letih, akhirnya saya terus terlena.

Apabila terjaga dari tidur, badan terasa lemah dan sakit-sakit. Bahu, leher dan belakang jadi lenguh seperti berbaring terlalu lama. Mata juga terasa terlalu berat untuk dibuka. Saya bangun dan mengintai ke luar melalui tingkap di hujung katil. Ah, matahari semakin terbenam, sudah pukul 6.25 petang. Bermakna semakin menghampiri waktu Maghrib. Baik saya berehat seketika lagi. 

Sewaktu memandang-mandang sekeliling bilik yang baru diduduki itu, tiba-tiba saya diburu perasaan aneh. Pelik, kenapa di atas meja berhampiran katil saya ini ada beberapa bungkusan plastik berisi panadol, air penyejuk badan dan ubat demam yang masih belum digunakan. Tadi sebelum tidur, ubat-ubat ini tiada di sini.

“Siapa pulak yang demam dalam bilik ni?” hati kecil saya bertanya seorang diri.

Kebetulan, seketika kemudian saya terdengar pintu bilik dibuka. Seorang kawan sebilik berdiri di muka pintu sambil tersenyum. Lelaki berusia 50-an yang saya panggil Pak Saleh itu terus bertanya.

“Macam mana, dah sihat?” soal Pak Saleh pada saya yang masih duduk di atas katil.

Dah sihat? Saya tercengang. Bila pula saya sakit?

“Kan awak dah tiga hari demam?” soalnya lagi.

Saya semakin pelik. Demam tiga hari? Apa semua ni…

Saya semakin terkejut apabila Pak Saleh menghampiri saya, kemudian bercerita bahawa saya sudah tidur selama tiga hari tiga malam tanpa makan dan minum! Saya tidur begitu lena sehingga tidak sedarkan diri walaupun dikejutkan kawan-kawan sebilik!

“Ya Allah, betul ke Pak Saleh?” soal saya semula.

“Betul, saya tak tipu!” tegas Pak Saleh berulang kali dengan muka serius.

Saya terpinga-pinga. Saya tidur selama tiga hari? Tak mungkin. Tak mungkin! Seingat saya, saya tidur sekejap saja. Ketika bangun tidur sebentar tadi, saya lihat jam baru pukul 6.25 petang. Bermakna saya baru tidur lebih kurang setengah jam yang lalu.

“Tak… dah tiga hari! Cuba awak tengok tarikh pada jam tu!” tegas Pak Saleh lagi.

Memang benar kata Pak Saleh. Tarikh yang tertera pada jam kami semuanya menunjukkan kami sudah sampai di Mekah selama tiga hari. Ertinya, saya sudah tidur selama tiga hari tiga malam.

Saya beristighfar beberapa kali kerana tidak percaya dengan apa yang berlaku. Kalau ikutkan logik, saya pasti tersedar apabila terdengar bunyi azan dilaungkan kerana Masjidilharam tidak berapa jauh dari bilik penginapan saya.

Menara masjid pun boleh dilihat dari bilik penginapan kami. Tapi pelik, saya tidak mendengar langsung bunyi azan yang dilaungkan. Akhirnya, setelah berkali-kali ditegaskan oleh Pak Saleh, saya akur dengan ceritanya tadi. Tambahan pula semua sahabat yang lain turut mengesahkan perkara tersebut. Kata mereka, walaupun sudah dikejutkan berpuluh-puluh kali, saya masih tidak bangun.

Mereka berpendapat, mungkin saya mengalami demam yang teruk dan ingin berehat. Lantas, mereka belikan ubat-ubat demam untuk saya. Mendengar cerita kawan-kawan sebilik, saya terus termenung.

Selepas lama berfikir, akhirnya saya yakin, apa yang berlaku itu adalah angkara keceluparan mulut saya sendiri. Saya masih ingat, sebaik turun dari bas apabila kami menjejakkan kaki di Mekah, timbul satu perasaan bongkak dalam diri saya, apabila mendapati cuaca di Mekah tidak berbeza sangat dengan di Malaysia.

Lantas saya pun berkata, “Eleh… kalau cuaca macam ni, setahun pun aku boleh duduk Mekah.” Astaghfirullahal azim, belum sempat setahun, tidak sampai sejam saya sudah tewas dengan cuaca yang tidak seberapa itu. Besar sungguh kekuasaan-Mu, ya Allah.

Satu lagi perkara pelik berlaku selepas itu. Selepas mendengar cerita kawan-kawan sebilik tadi, saya berkata kepada diri sendiri bahawa saya sudah sihat. Tidak semena-mena badan saya yang masih lemah itu terus menjadi sihat dan bertenaga untuk melakukan ibadah, seolah-olah tidak pernah demam. Ubat-ubatan yang dibelikan oleh kawan-kawan itu kami simpan saja kerana saya tidak memerlukannya langsung!

TETAPI manusia ini memang cepat pelupa. Itulah kelemahan saya. Saya seperti terlupa bahawa saya telah mendapat kifarah di atas kesombongan saya. Selepas beberapa hari peristiwa pertama tadi, suatu tengah hari kami semua berkumpul di sebuah kedai untuk makan tengah hari bersama-sama.

Saya meninjau-ninjau lauk yang dijual di dalam kedai tersebut seperti ikan goreng, ayam dan pelbagai lagi. Semuanya tidak membuka selera saya. Semua sahabat saya sudah memilih untuk makan nasi, kecuali saya yang hanya memesan segelas air kosong.

“Tak ada seleralah nak makan nasi,” kata saya kepada kawan-kawan.

Entah apa yang terjadi, saya sendiri tidak pasti. Selepas peristiwa tersebut, selera makan saya terus putus. Mulut saya tidak dapat menerima sebarang makanan seolah-olah nafsu makan tidak wujud dalam diri saya.

Selama tiga hari saya tidak boleh menjamah walau sebutir nasi pun. Bahkan makanan lain juga tidak dapat membuka selera saya. Selama itu juga saya hanya mengisi perut dengan meminum air kosong untuk menambah tenaga.

BUKTI kebesaran Allah belum berakhir. Seminggu kemudian, saya dan anggota rombongan yang lain dibawa ke Madinah untuk melawat tempat-tempat bersejarah seperti Perkuburan Baqi’, Jabal Nur serta Masjid Nabawi.

Hari ke berapa, saya kurang pasti, satu lagi peristiwa pelik berlaku. Selesai sembahyang Subuh berjemaah, pagi itu saya bersama lima sahabat berkumpul di dalam Masjid Nabawi. Tujuan kami hanya satu iaitu untuk bersembahyang di dalam kawasan ar-Raudhah iaitu taman syurga.

Walaupun kawasan tersebut agak luas tetapi untuk masuk ke dalam kawasan tersebut mengambil masa yang lama. Maklumlah dalam kawasan tersebut terdapat makam Rasulullah dan mimbarnya yang merupakan salah satu tempat yang dimakbulkan doa oleh Allah, maka menjadi kewajaran tempat tersebut sentiasa dipenuhi jemaah.

Rasulullah pernah bersabda, “Di antara rumahku dan mimbarku adalah sebahagian daripada taman syurga.” Jadi berebut-rebutlah jemaah untuk bersembahyang dan berdoa di situ.

Kumpulan kami masih membaca al-Quran sambil menunggu giliran untuk masuk. Ketika rancak membaca, tiba-tiba saya terdengar sesuatu. Saya memasang telinga mendengar bunyi tersebut yang semakin lama semakin jelas di cuping telinga.

Ia suara bunyi zikir dari suara kanak-kanak, lelaki dan perempuan dewasa. Suara zikir itu begitu rancak sehingga mendebarkan dada saya. Lama-kelamaan, suara itu bergema dari setiap penjuru Masjid Nabawi. Tidak kira dari atas bumbung, kiri, kanan, malahan dari bawah tanah masjid juga turut kedengaran bunyi zikir tersebut memuji kebesaran Allah.

“Dengar tak bunyi orang berzikir di dalam masjid ni?” tanya saya kepada kawan yang duduk di sebelah, kerana saya tidak pasti dari mana datangnya suara tersebut walaupun sudah memerhatikan sekeliling kawasan Masjid Nabawi.

Sahabat saya hanya menggeleng-gelengkan kepala. Katanya, dia tidak mendengar apa-apa. Hati saya bertambah keliru apabila sahabat saya menunjukkan reaksi begitu. Lima minit kemudian, suara orang berzikir itu tiba-tiba semakin perlahan, akhirnya terus hilang!

Selesai bersembahyang di dalam kawasan Raudhah, saya terfikir kembali tentang apa yang berlaku selama saya berada di Tanah Suci. Semuanya memberikan pengajaran yang berguna buat diri saya ini.

Ketika di Mekah dahulu, mungkin saya demam dan tidur selama tiga hari berturut-turut gara-gara mulut yang celupar. Begitu juga apabila saya berkata tidak berselera makan nasi, sehingga Allah menutup terus selera saya selama tiga hari. Semuanya atas kehendak Allah.

Tetapi peristiwa mendengar zikir di seluruh Masjid Nabawi tidak dapat saya pastikan apa puncanya. Saya tidak tahu dari mana datangnya suara tersebut kerana saya tidak nampak ada kumpulan jemaah sedang berzikir secara beramai-ramai dengan suara yang kuat dalam Masjid Nabawi ketika itu.

Akhirnya saya simpulkan, tidak lain tidak bukan inilah yang dinamakan misteri Tanah Suci dan bukti keagungan Allah s.w.t.

Pencerita: Haji Shamsuddin Borhan

____