SERAMAI 98 pemain golf remaja dari Malaysia dan beberapa negara luar menyertai Kejohanan China (Hainan) Junior Golf 2024 (pusingan Malaysia) yang diadakan selama tiga hari di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam, bermula esok.

Kejohanan yang bertujuan mencungkil bakat-bakat muda dalam sukan golf itu dianjurkan oleh Persatuan Golf Hainan sejak 2013 dan ia melibatkan penyertaan daripada pemain golf amatur berusia muda dari China dan juga negara-negara Asia Tenggara.

Sebanyak 69 perserta lelaki dan 28 perseta perempuan menyertai kejohanan kali ini dengan peserta Malaysia terdiri daripada 76 pemain, China (12 pemain), Korea (2 pemain), Singapura (3 pemain), Thailand (seorang) dan Amerika Syarikat (seorang).

Kejohanan pusingan Malaysia yang diadakan kali ini adalah kali kedua diadakan dengan kerjasama Persatuan Golf Hainan dengan Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel) dan ia merupakan kejohanan yang diiktiraf oleh Persatuan Golf Malaysia.

Pengarah Eksekutif SportExcel, Sivananthan Chinnadurai berkata, kejohanan ini adalah terbuka kepada pemain golf muda amatur dan ia dibahagikan kepada empat ketagori lelaki dan empat ketegori perempuan mengikut umur dan handikap tertentu yang ditetapkan oleh penganjur.

“Kesemua juara kelapan-lapan kategori tersebut layak untuk menyertai pertandingan peringkat akhir Kejohanan China (Hainan Junior Golf) 2024 di Hainan yang akan diadakan akhir bulan September ini,” katanya dalam sidang akhbar mengenai kejohanan tersebut di Kelab Golf Glenmarie, hari ini.

Ketegori-kategori yang ditawarkan untuk kejohanan kali ini adalah peserta lelaki dan perempuan yang berumur enam hingga sembilan tahun (Kategori D), berumur 10 hingga 12 tahun (Kategori C), 13 hingga 16 tahun (Kategori B) dan 16 hingga 18 tahun (Kategori A).

Juara untuk kategori itu akan ditawarkan pakej menyertai kejohanan final secara percuma, penginapan dan pengangkutan sepanjang berada di China dan hanya perlu membeli tiket penerbangan.

“Bagaimanapun, kebiasaannya SportExcel akan berkongsi kos dengan ibu bapa bagi pembelian tiket penerbangan para pemain yang layak ke final,” tambahnya.

Untuk pemenang tempat kedua bagi setiap kategori, mereka juga ditawarkan untuk bertanding di peringkat akhir perlawanan di Hainan tetapi perlu menanggung sendiri semua kos penyertaan, penginapan, pengangkutan dan penerbangan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM4,000.

Pemenang tiga tempat utama dalam setiap kategori akan menerima piala, manakala pemenang lima tempat utama masing-masing akan menerima sijil kemenangan.

Naib Pengerusi Persatuan Golf Hainan, Mo Zhuanfei berkata, kali pertama kejohanan pusingan Malaysia ini diadakan adalah pada 2019 dan ia telah menjadi medium kerjasama dua negara dalam membangunkan bakat remaja dalam pembangunan sukan golf remaja.

Ditanya adakah kejohanan berkemungkinan diadakan setiap tahun, Zhuanfer menyatakan pihaknya berminat dengan cadangan tersebut dan kemungkinan ia dimulakan dengan pihak Malaysia menganjurkan kejohanan itu di Hainan pula selepas ini.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram