PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan telah memberi kenyataan kepada pihak polis berhubung kenyataan kontroversi beliau semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Menerusi perkongsian di media sosial, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak pernah mempunyai niat untuk menghina institusi Raja dalam negara.
Menurut Muhyiddin, beliau hanya menyatakan fakta-fakta mengenai penubuhan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selain menceritakan kesusahan hidup rakyat disebabkan dasar-dasar kerajaan yang menekan orang ramai.
Muhyiddin berkata, terdapat pihak yang telah memutarbelit ucapan beliau termasuk menyunting video ucapan dengan niat untuk memfitnah kononnya beliau telah menghina Kebawah Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah dan menghasut rakyat supaya membenci Raja.
“Dalam kenyataan saya kepada pihak polis hari ini saya telah menjelaskan tuduhan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan berniat jahat.
“Saya hanya menyatakan fakta mengenai 115 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15.
“Tidak ada sepatah perkataan pun dalam ucapan saya yang menghina Raja atau mempertikai keputusan Yang Di-Pertuan Agong pada masa itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, perkara tersebut telah berlaku hampir dua tahun yang lalu dan sepanjang tempoh itu beliau tidak pernah menghasut atau mengajak rakyat untuk menghina atau membenci institusi Raja Berperlembagaan.
Menurut Muhyiddin, beliau juga tidak pernah menuntut untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selain telah mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Ke-10 dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 24 November 2022.
Katanya, beliau juga telah menyerahkan beberapa dokumen untuk tujuan membantu siasatan pihak polis.
“Antara dokumen yang diserahkan adalah dua pucuk surat daripada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat kedua-duanya bertarikh 20 November 2022 yang mengandungi titah perintah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 meminta mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang lain untuk menjadi Perdana Menteri menghantar Akuan-Akuan Berkanun kepada Istana Negara selewat-lewatnya pada 21 November 2022 sebelum jam 2 petang.
“Selain itu, sebanyak 114 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang telah diserahkan kepada Istana Negara pada 21 November 2022, jam 1.28 petang, sebelum tempoh asal ditetapkan tamat dan satu lagi Akuan Berkanun yang diserahkan kepada Istana Negara pada 22 November 2022.
“Turut diserahkan adalah Surat Akuan Penerimaan Akuan Berkanun daripada Setiausaha Sulit Kanan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim, bertarikh 21 November 2022 yang mengesahkan bahawa beliau telah menerima dokumen-dokumen tersebut dan dokumen-dokumen lain yang berkaitan,” katanya.
Muhyiddin menambah, beliau berharap pihak polis akan menjalankan siasatan dengan telus, adil dan saksama menurut lunas undang-undang setelah memberi penjelasan dan penyerahan dokumen-dokumen berkaitan.
Beliau juga berharap tiada pihak yang mempersoalkan taat setianya kepada institusi Raja Berperlembagaan.
“Sebagai seorang rakyat biasa, saya bernaung di bawah kebesaran dan kemuliaan Raja-Raja Melayu dan taat setia saya kepada institusi Raja Berperlembagaan jangan dipersoalkan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram