RANNY memandang jam tangannya. “Pukul 2.00…” bisiknya. Ini bererti waktu makan tengah hari sudah berakhir. Dia harus pulang ke pejabat segera. Tapi bagaimana… hujan lebat, payung pula tiada.

Redah hujan bermakna basah. Habis beg tangan nanti. Paling dibenci, kasut kulitnya jadi motorbot, dipenuhi air. Leceh, kena balik rumah mandi dan tukar baju, baru boleh ke pejabat semula.

Ranny berdiri di hadapan pintu masuk kompleks membeli-belah itu menanti hujan teduh. Bersamanya ada lebih 10 orang lagi, juga terperangkap dalam hujan sepertinya.

Dia semakin gelisah… sudah 15 minit dia berdiri di situ namun belum ada petanda hujan teduh. Setengah jam lagi ada mesyuarat, semua itu membimbangkannya.

Dia menghentak-hentak kasutnya ke lantai, melepaskan geram. Sambil mengeluh di dalam hati, dia berbisik: “Hujan menggendalakan semua urusan.”

Dia cuba memujuk hatinya supaya bersabar. Di suatu sudut Ranny terpandang seorang kanak-kanak perempuan melenting-lenting, gembira menadah lelehan air hujan dengan tangannya. Emaknya hanya memerhati gelagatnya dan sesekali bersuara: “Jangan main hujan… nanti demam!”

“Kenapa hujan boleh sebabkan kita demam?” kanak-kanak itu berkata sambil ketawa.

Si emak hanya tersenyum lalu mencium ubun-ubun anaknya. Sukar dia nak menerangkan kepada anaknya. Lalu kanak-kanak perempuan itu kembali bermain air hujan di teritis. Melihatkan keadaan itu Ranny tersenyum sendirian.

Dia terkenang zaman usianya sebaya kanak-kanak itu, kira-kira 20 tahun silam. Ranny bersama ibunya, Julia, suatu hari tergesa-gesa keluar dari kompleks membeli-belah Ampang Park. Masa begitu menghambat kehidupan Julia, mana hendak berkejar lagi ke hospital untuk menemani suami. Melayan anak berhibur.

“Oooo tidak…” tiba-tiba Julia mengeluh.

Langkahnya dan Ranny terhenti di hadapan pintu utama kompleks membeli-belah itu. Ramai orang berdiri di situ berteduh daripada hujan.

Di luar hujan lebat, tidak ada siapa pun berani meredahnya. Semakin dinanti makin lebat hujan. Bagi Julia inilah rahmat Allah. Dia teringatkan kata-kata arwah emaknya: “Hujan adalah rahmat dari syurga untuk membersihkan segala kotoran dan debu di bumi.”

“Ibu, jomlah kita redah,” Ranny mengajak ibunya. Semua orang yang berteduh di situ memandang Ranny lalu tersenyum.

“Apa?” tanya Julia.

“Jomlah kita lari, redah aje,” ulang Ranny.

“Tak boleh sayang. Kita kena tunggu hujan teduh sikit,” balas Julia.

Ranny terdiam dan hanya merenung titis-titis hujan yang mencurah-curah. Beberapa ketika kemudian dia bersuara lagi: “Ibu,  jomlah kita lari.”

“Nanti basah,” balas Julia lembut.

“Tak basah, bu. Pagi tadi ibu kata tak basah. Ibu lupa ya?” Ranny menarik-narik tangan ibunya.

“Pagi tadi? Bila pula ibu cakap kita boleh redah hujan tak basah,” Julia terpinga-pinga mengingat kembali kata-katanya pagi tadi.

“Ibu lupa? Bila ibu cakap dengan ayah pagi tadi tentang kansernya. Ibu kata… kalau Tuhan izinkan kita melaluinya, Dia juga boleh izinkan kita melalui apa saja,” kata Ranny.

Semua yang ada di situ memandang muka Ranny. Hujan di luar semakin lebat. Masa seakan terhenti, tidak ada sesiapa yang keluar atau masuk ke kompleks itu. Perhatian tertumpu pada si gadis kecil yang petah berbicara.

Julia hilang kata-kata untuk menjawab pertanyaan anaknya. Dia menghela nafas panjang-panjang sambil berfikir untuk menyusun ayat.

“Emmm… betul tu, sayang. Pandai anak ibu. Jom kita redah hujan. Kalau Tuhan dah tentukan kita basah, basahlah kita. Balik rumah nanti kita mandi ganti baju lain,” kata Julia.

Tanpa menghiraukan hujan yang masih lebat Julia dan Ranny berlari berpegangan tangan meredah hujan. Ranny ketawa keriangan kerana dapat main hujan. Emaknya pula menjerit-jerit dan ketawa bersama.

Dan kini… Ranny sudah dewasa. Emak pun sudah lama meninggal. Namun kenangan itu masih terasa. Kehangatan jejari emak yang menggenggam lengannya masih terasa. Riang hatinya melihat hujan yang turun bersama memori.

Tanpa mempedulikan hujan, Ranny menjinjing kasutnya dan berjalan meredah hujan. Sambil berjalan dia tadahkan tangannya ke langit.

Dia basah kuyup. Tapi dia tidak risau kerana pakaian boleh diganti dengan yang baru. Namun kenangannya bersama hujan tak ada siapa boleh mengganti atau merampas daripadanya.

Harta, duit dan kesihatan boleh dirampas sekelip mata tapi tidak ada siapa pun yang boleh merampas kenangan kita. Dalam kebasahan itu, air mata Ranny meleleh terkenangkan ibunya.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram