Operasi menyelamat mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah jerlus di Masjid India sedang giat dijalankan. GAMBAR: Aizzat Jailani

PASAR malam di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur ditutup hari ini susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India yang menyebabkan seorang wanita warga India masih belum ditemukan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan memaklumkan penutupan pasar malam di Lorong TAR itu bagi memberi laluan kepada usaha mencari dan menyelamat mangsa tersebut.

Pada masa sama, katanya, ia juga mengambil kira faktor keselamatan kepada peniaga pasar malam.

Selain itu, DBKL turut memberitahu, Program Santai Seni @ TAR yang diadakan pada hari Ahad minggu kedua dan keempat serta dijadualkan esok, ditunda.

“Susulan kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, pagi semalam, dimaklumkan bahawa pasar malam Lorong TAR pada hari ini, 24 Ogos ditutup bagi memberi laluan kepada usaha-usaha mencari mangsa yang masih belum dijumpai serta mengambil kira faktor keselamatan para peniaga pasar malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel lain: Tanah jerlus Masjid India: Operasi pencarian diperluas, tumpu enam lurang kumbahan

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian tanah jerlus itu diperluaskan hari ini dengan memberi tumpuan kepada enam lurang kumbahan.

Enam lurang kumbahan itu terletak di hadapan Wisma Yakin; Jalan Melayu; persimpangan Jalan Melayu; Dataran Merdeka; Bank Pertanian berhampiran Lebuh Pasar dan Jalan Kinabalu.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.20 pagi semalam, seorang pelancong dari India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, tiba-tiba terjerlus ke lubang sedalam lapan meter ketika melalui kawasan Malayan Mansion, Jalan Masjid India.

Proses pencarian itu ditangguhkan sementara pada pukul 12.30 tengah malam tadi dan disambung semula pagi ini ekoran hujan lebat selain persekitaran gelap yang menyukarkan pencarian.

Buat masa ini, pasukan SAR hanya menemukan sepasang selipar milik mangsa berhampiran lokasi kejadian.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram