
BEBERAPA bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) penulis bertemu dengan seorang bekas pemimpin kanan UMNO di sebuah negeri selatan tanah air.
Dalam pertemuan hampir tiga jam itu, beliau melakarkan bagaimana akan berlaku pembentukan kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU-15 untuk menubuhkan kerajaan. Mendengar teori dan susun jalur bagaimana ia akan berlaku, penulis akui dari segi politik ada logiknya cuma tertanya-tanya bagaimanakah penerimaan ahli UMNO.
Tidak lama kemudian pada 4 Januari 2021, kira-kira dua bulan sebelum PRN Johor, tersebar rakaman suara seorang pemimpin kanan UMNO menggunakan loghat sebuah negeri di Pantai Timur meminta ahli UMNO berfikiran terbuka untuk menerima kerjasama dengan DAP jika ia terjadi. Pemimpin itu turut menyatakan kalau Pas boleh berkawan dengan DAP (satu ketika dahulu), kenapa UMNO tidak boleh melakukan perkara yang sama.
Kata pemimpin itu lagi, ahli-ahli UMNO jangan kolot dengan menganggap DAP sekarang sama macam DAP dulu sambil menjelaskan perubahan yang akan berlaku dalam barisan kepemimpinan DAP.
Melalui rakaman itu juga pemimpin berkenaan berkata, di peringkat pusat ramai tidak yakin parti itu boleh menang tanpa bantuan parti-parti lain (daripada pembangkang) memandangkan komponen Barisan Nasional (BN) ‘tidak boleh diharap’.
Beberapa minggu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan pada 12 Mac 2022, penulis turut dimaklumkan oleh seorang lagi pemimpin kanan UMNO bahawa pemimpin DAP ada mencadangkan kepada beliau supaya UMNO-DAP bergabung selepas PRU-15.
Katanya, pemimpin DAP tersebut berhujah dengan kekuatan UMNO menguasai pengundi Melayu manakala DAP menguasai pengundi Cina, mereka boleh menubuhkan kerajaan yang kukuh dan stabil.
Penulis memaparkan semula rentetan ‘peristiwa’ ini untuk membuktikan perancangan untuk membentuk kerjasama antara UMNO-DAP yang kini sudahpun berlaku atas dasar ‘melaksanakan perintah Yang di-Pertuan Agong’ bukanlah perancangan baru. Demi survival politik UMNO dan pemimpinnya kerjasama tersebut sudah lama diperkatakan atau mungkin dirancangkan. Peluang untuk merealisasikan rancangan itu terbuka luas apabila tiada parti mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan selepas PRU-15.
Walaupun UMNO-BN berpeluang membentuk kerajaan bersama dengan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai oleh Bersatu dan Pas, tetapi pemimpin UMNO ‘lebih tertarik dengan tawaran PH’.
Kini kerjasama itu sudah berlaku, pemimpin UMNO pun sudah selesa berada dalam kerajsaan. UMNO mendapat banyak faedah termasuk tujuh kerusi dalam Kabinet termasuk memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri serta banyak pemimpin UMNO menjadi Pengerusi GLC.
OLEH ITU, mengambil semangat Perhimpunan Agung UMNO dan bagi menjayakan misi BN-UMNO untuk mempertahankan kerusi DUN Mahkota pada 28 September ini dan membebaskan bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak serta mempertahanan survival politik, ahli-ahli UMNO TIDAK ADA PILIHAN mereka MESTI menerima kerjasama dengan PH dan menjalin hubungan erat dengan DAP.
Ia memandangkan, di DUN Mahkota terdapat 66,000 pengundi. Lebih kurang 54 peratus adalah pengundi Melayu manakala pengundi Cina (35 peratus) dan India (8 peratus).
Dalam keadaan undi Melayu akan berpecah bukan sahaja di Mahkota tetapi juga kerusi-kerusi lain sama ada Parlimen mahupun DUN, UMNO amat mengharapkan sokongan DAP untuk meraih sokongan pengundi Cina selain mengharapkan PKR membantu mendapat undi kaum India.
Tanpa sokongan DAP belum tentu UMNO akan mendapat sokongan pengundi Cina di Mahkota, tambahan pula PRK DUN tersebut tidak ada apa-apa signifikannya kerana siapapun menang BN tetap memerintah sendirian di Johor. Pengundi Cina mungkin tidak keluar mengundi tetapi DAP mempunyai kekuatan untuk memujuk pengundi Cina keluar mengundi calon BN daripada UMNO. Perlu diingatkan, pengundi Cina bukan bersama PKR atau Amanah tetapi pengundi Cina menyokong Pakatan Harapan kerana DAP. Ini fakta!
Begitulah juga usaha membebaskan Najib dari penjara yang mengheningkan suasana pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO pada Sabtu lalu. Air mata yang menitis, perasaan sebak yang menyelubungi serta tekad yang dilafazkan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) tidak akan ke mana.
Sebagai parti paling dominan dalam kerajaan dan pejuang tegar membongkar skandal 1MDB, DAP sama sekali tidak akan mengizinkan Najib dibebaskan. Pada 3 Februari 2024, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, DAP menghormati keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Tetapi soalnya adakah DAP akan bersedia menyokong sebarang usaha kerajaan untuk membebaskan Najib? Adakah DAP hanya akan mendiamkan diri jika isu dibawa kepada jemaah menteri. UMNO perlu akui, DAP ada kuasa, DAP ada pengaruh sangat besar dalam kerajaan. DAP bukan lagi berada di blok pembangkang yang UMNO boleh pinggirkan sahaja suara mereka. UMNO terpaksa akur jika DAP tidak bersetuju Najib dibebaskan.
Oleh itu tiada gunanya ahli-ahli UMNO mahu menolak kerjasama dengan DAP. Mereka sepatutnya senada dengan barisan kepemimpinan parti. Melalui cara itu mereka boleh memujuk DAP untuk bersetuju dengan usaha UMNO membebaskan Najib. Siapa tahu, DAP akan menggunakan semua peguam terbaiknya untuk menjayakan usaha berkenaan.
Ahli-ahli UMNO juga tidak harus melupakan jasa DAP yang bersedia menerima UMNO untuk bersama-sama membentuk dalam kerajaan. DAP bersedia menutup mata dan melupakan segala kata nista mereka terhadap UMNO.
DAP melakukan pengorbanan besar dalam soal itu. Dengan memiliki 46 kerusi Parlimen, DAP boleh sahaja mengenepikan permintaan Anwar untuk membentuk kerajaan dengan UMNO tetapi DAP ‘berjiwa besar’ demi kestabilan politik mereka bersedia menerima UMNO – parti yang mereka tumbangkan pada 2018 – selepas 61 tahun berkuasa.
Oleh itu setelah hampir 2 tahun bersama, tidak payahlah ahli-ahli UMNO beremosi lagi mahu menolak atau masih belum menerima kerjasama dengan DAP. Lagipun bantahan atau rasa tidak puas hati mereka hanya sia-sia kerana kepemimpinan UMNO sudah benar-benar komited untuk terus melaksanakan politik berkongsi kuasa bersama DAP.
Usahlah malu-malu untuk merangkul DAP ke mana-mana. Tidak elok melayan seorang sahabat baik seperti mana berlaku di Nenggiri. Tidak kisahlah kawasan itu majoriti Melayu atau tidak, UMNO perlu bersama-sama DAP ke mana sahaja.
Justeru diharapkan ahli-ahli UMNO terimalah hakikat bahawa mahu tidak mahu, suka atau tidak, DAP adalah sahabat UMNO dan DAP adalah penentu survival UMNO. Tanpa DAP sukar untuk UMNO bangkit semula, tanpa DAP susah UMNO untuk melakukan usaha membebaskan Najib dan tanpa DAP sulit sekali UMNO terus berada dalam kerajaan.
Inilah realiti politik yang harus ‘dihadam’ oleh ahli UMNO seperti mana ahli DAP ‘menghadam’ keputusan pimpinan mereka bekerjasama dengan UMNO. Kalau ahli DAP boleh, kenapa ahli UMNO tidak boleh?
Ingatlah kata-kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani;
‘’Kita semua terlalu didorong sentimen, terlalu emosi. Mengapa kita perlu takut dengan UMNO-DAP? Kita sudah kalah (dalam pilihan raya umum lalu). Kita hanya tinggal 26 kerusi di Parlimen, jadi kita mesti bertindak seperti orang yang kalah.’’
Penulis bersetuju dengan kenyataan Johari itu kerana kalau sudah kalah buat cara kalah, kalau orang sudah berbudi, kita berbahasa. Tanpa jasa DAP, belum tentu UMNO kembali berkuasa.Kerjasama UMNO-DAP (UMDAP) bukan ‘cobaannn’ tetapi betul-betul. Terimalah saja.
habis

