Kumpulan Leave a Nest melancarkan projek hutan LVNS dengan kerjasama Alphaswift, sebuah syarikat pengeluar dron Malaysia terkemuka, Cyberview Sdn Bhd, Pemaju Tech Hub Cyberjaya dan ACET Innovate Sdn Bhd, sebuah syarikat Firma bioteknologi Malaysia yang menghasilkan enzim dan baja bio.
Kerjasama ini bertujuan untuk memperkukuh usaha penghutanan semula Malaysia sejajar dengan matlamat Kerajaan Malaysia untuk memelihara kekayaan biodiversiti dan warisan semula jadi negara.
Pengarah Leave a Nest Malaysia, Dr.Yuko Ueno berkata, pelancaran projek ini bakal memanfaatkan teknologi yang dibawa oleh Alphaswift dan ACET Innovate Sdn Bhd di mana dron berteknologi tinggi, pesawat elektrik hibrid A-22 Falco akan membawa dan menyemai bebola benih untuk mekanisme penghutanan semula yang lebih efektif.

“Projek ini bermula di Jepun di mana ia merupakan inisiatif demonstrasi yang tertumpu kepada pemulihan hutan dan penggunaan sumber yang berkesan. Dan ini merupakan langkah permulaan di mana kami masih memerlukan kepakaran dalam pelbagai bidang bagi memastikan Projek Hutan LVNS mencapai matlamat sasaran.
“Buat masa ini projek akan menumpukan usaha penghutanan semula di Sabah dan Sarawak, namun kami memerlukan sokongan dan kerjasama daripada pihak kerajaan dan syarikat korporat bagi memastikan projek ini dapat dijalankan secara menyeluruh di Malaysia.
“Banyak penebangan hutan secara haram berlaku di mana proses penghutanan tidak dilakukan semula di kawasan terbabit, di sinilah usaha kami akan mengambil tempat,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Dr. Shian Lee, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Alphaswift , penggunaan dron akan membantu mempercepatkan lagi proses penanaman bebola benih di mana ia mengurangkan kos sehingga 80 peratus berbanding kaedah tradisional.
“Dron berteknologi tinggi, pesawat elektrik hibrid A-22 Falco, direka khusus untuk masa penerbangan yang panjang, menjadikannya sesuai untuk misi ini. Dengan kapasiti muatan sehingga 500 biji benih dan kemudahan mengisi minyak petrol, dron ini boleh sampai ke kawasan yang paling terpencil dan tidak boleh diakses.
“Dilengkapi dengan peranti mekanikal tersuai daripada Leave a Nest, ia menjatuhkan satu bola benih pada satu masa dengan tepat. Penyemaian dron adalah sehingga 50 kali lebih cepat daripada penanaman manual. Penggunaan pantas ini adalah penting untuk menangani keperluan penghutanan semula yang mendesak, terutamanya di kawasan yang terjejas oleh kebakaran hutan atau pembalakan haram,” jelasnya.
Ketua Pegawai Eksekutif ACET innovate Sdn Bhd, Ahmad Firdaus Ezani menambah, kaedah bebola benih ini dibangunkan di Jepun dan disesuaikan dengan penggunaan benih pokok hutan untuk tujuan projek ini.
“Bola benih yang kami hasilkan adalah terdiri dari benih pokok-pokok hutan bertujuan penanaman semula. Ia merupakan teknik yang digunapakai oleh petani di Jepun di mana ketahanan tanah liat sebagai permukaan menjadikannya selamat daripada menjadi makanan pemangsa,” katanya.
Projek Hutan LVNS telah ditubuhkan oleh Kumpulan Leave a Nest pada 3 Mac 2023, dengan penyertaan 14 syarikat Jepun. Projek ini merupakan inisiatif demonstrasi yang tertumpu kepada pemulihan hutan dan penggunaan sumber yang berkesan. Sejak penubuhannya, Leave a Nest telah melancarkan Anugerah Sains Hutan Dana Penyelidikan Leave a Nest dan Projek Hutan LVNS.
Menurut kajian ‘State of the Malaysian Rainforest 2023’, Malaysia berisiko kehilangan 2.3 juta hektar hutannya, yang berpotensi mengurangkan kanopi negara daripada 55.3 peratus kepada 47.4 peratus.
Penebangan hutan yang ketara ini menggariskan keperluan mendesak untuk inisiatif penghutanan semula, terutamanya di kawasan di mana penutupan hutan paling berisiko. Projek Hutan LVNS berusaha untuk mengatasi trend ini dengan melaksanakan inisiatif penghutanan semula yang akan membantu Malaysia mengekalkan litupan hutannya pada ambang kritikal 50 peratus.

