pandangan ulama tentang ahli sunnah

Istilah Ahl al-Sunnah wal Jama’ah telah lama dibincangkan oleh ulama Islam semenjak dahulu lagi. Pelbagai bentuk takrifan dibawakan oleh mereka dengan satu tujuan yang sama, iaitu menghimpunkan sesiapa sahaja yang dikira dalam ruang lingkup Ahl al-Sunnah ini.

Mereka tidak secara bermudah-mudahan mengeluarkan mereka yang berbeza pegangan aliran, dan mereka juga tidak memasukkan dengan sesuka hati sesiapa sahaja dipersetujui manhajnya.

Bagi menginsafi erti sebenar Ahli al-Sunnah menurut ahli ilmu, kami bawakan sebahagian dari pandangan ulama mutaqaddimin.

Ulama mutaqaddimin

Ulama mutaqaddimin ini merujuk kepada ulama-ulama terawal dan terdahulu. Antara ulama mutaqaddimin adalah seperti berikut:

Pertama: Imam Muhammad bin Sirin (m 110H)

Beliau mengisyaratkan bahawa Ahl al-Sunnah adalah orang-orang yang berkelayakan dan berkemahiran dalam meriwayatkan hadis-hadis. Jelas di sisi beliau, Ahl al-Sunnah adalah “ashab al-hadis”.

Imam Muhammad bin Sirin berkata,

“Dahulu masyarakatnya tidak bertanya tentang sanad. Namun apabila berlakunya fitnah (pertelingkahan para sahabat), mereka (para ulama) akan berkata.

“Namakan guru-guru kamu itu, jika guru kamu itu termasuk dalam kalangan Ahl al-Sunnah maka hadisnya boleh diterima. Jika guru mereka termasuk dalam kalangan ahli bida’ah hadisnya boleh diterima”

Kedua: Imam Ayyub bin Abi Tamimah al-Sakhtiyani (m 131H)

Beliau mengisyaratkan bahawa Ahl al-Sunnah ialah kelompok yang paling mengasihi dan menyayangi sesama umat Islam dan pengikut Rasulullah s.a.w. Imam Ayyub mengungkapkan,

“Apabila aku diberitahu tentang khabar kematian salah seorang Ahl al-Sunnah, seakan-akan aku kehilangan salah satu anggota tubuh badanku sendiri”

Beliau juga turut mengatakan Ahl al-Sunnah adalah ilmuan-ilmuan agama yang mampu mendidik manusia dengan ilmu yang sahih dan benar, bertepatan dengan al-Quran dan as-sunnah. Ujar beliau,

“Sesungguhnya antara kebahagiaan seorang pemuda dan orang bukan Arab adalah apabila direzekikan untuk berguru dengan ilmuan Ahl al-Sunnah”

Imam Ayyub juga menegaskan bahawa Ahl al-Sunnah adalah penegak agama Allah serta hukum-hakam Nya akan dibenci oleh musuh Islam seperti ahli bida’ah dan kesesatan. Beliau berkata,

“Orang yang menghendaki kematian salah seorang Ahl al-Sunnah adalah orang yang menghendaki untuk memadam cahaya agama Allah dengan lidah mereka, sedangkan Allah berkehendak untuk menyempurnakan cahaya Nya, meskipun dibenci oleh orang-orang kafir”.

Ketiga: Imam Sufyan bin Sa’id al-Thauri (m 161H)

Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah telah wujud sejak zaman beliau lagi. Imam Lalaka’i meriwayatkan di dalam Syarh Usul I’tiqad Ahl al-Sunnah bahawa Imam Sufyan berkata,

“Aku wasiatkan kepada kamu agar berbuat baik dan memuliakan Ahl al-Sunnah, kerana mereka itu menjadi semakin asing” Beliau berkata lagi

“Betapa sedikitnya Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah”

Kami nyatakan, yang dimaksudkan dengan sedikitnya Ahl al-Sunnah ini adalah para ulama yang mahir dalam membela Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah menghadapi syubhat kesesatan, bukan penganutnya. Penganutnya ramai, manakala alim yang mahir lebih sedikit berbanding bilangan masyarakat awam.

Keempat: Imam Fudhail bin ‘Iyadh (m 187H)

Beliau berpendapat bahawa Ahl al-Sunnah itu mempercayai bahawa iman itu ada kaitan yang rapat dengan kepercayaan hati, amalan anggota dan pengakuan lisan. Imam Fudhail mengatakan,

“Ahl al-Sunnah itu percaya bahawa iman adalah makrifat (kepercayaan hati), kata-kata dan amalan”.

Ini membuktikan entiti Ahl al-Sunnah telah pun wujud sejak seawal kurun kedua hijrah, lebih awal sebelum kelahiran dua orang tokoh imam Ahl al-Sunnah iaitu Imam Abu Hassan al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. 

Kelima: Imam Waki’ bin Jarrah (m 197H)

Beliau menyatakan bahawa,

“Ahl al-Sunnah berpendirian bahawa iman itu mempunyai kaitan yang rapat dan kesan yang besar dengan kata-kata dan perbuatan manusia. Manakala Murji’ah mengatakan iman itu kata-kata sahaja tanpa memerlukan kepada perbuatan. Jahmiyyah pula mendakwa, iman itu kepercayaan sahaja”.

Ini bermakna Ahl al-Sunnah mempunyai pegangan tersendiri yang berbeza dengan ahli bida’ah seperti aliran Murji’ah dan Khawarij. Ahl al-Sunnah berada di pertengahan antara dua kutub kemelampauan, penuh kesederhanaan dan ketertiban. 

Keenam: Imam Muhammad bin Idris al-Syafie (m 204H)

Ahl al-Sunnah di sisi Imam al-Syafie adalah kelompok yang melazimi dua kalimah syahadah dan beriman dengan sekalian sifat-sifat Allah dengan makna yang dikehendaki oleh Allah, bukan makna yang dikehendaki oleh ahli kesesatan dan para pelampau. Beliau berkata,

“Pendirian Ahl al-Sunnah yang aku anuti, dan dianuti jua oleh ulama sebelumku, begitu juga dipegang erat oleh Malik bin Anas, Sufyan dan lain-lain adalah: bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. itu adalah utusan Allah. Dan Allah “atas” Arasy Nya “dekat” dengan sekalian hamba Nya menurut kehendak Nya. “Turun” ke langit dunia menurut kehendak Nya”.

Beliau menegaskan lagi tentang pegangan beliau dan alirannya tentang Ahl al-Sunnah:

“Aku (dan sekalian Ahl al-Sunnah) beriman dengan kewujudan Allah, dan setiap perkara yang Allah khabarkan, dengan makna yang Allah hendaki. Aku (dan sekalian Ahl al-Sunnah) beriman dengan Rasulullah, dan setiap perkara yang Rasulullah khabarkan, dengan makna yang Rasulullah hendaki”

Ketujuh: Imam Ahmad bin Muhammad bin Hanbal (m 241H)

Imam Ahmad menjelaskan bahawa intipati utama Ahl al-Sunnah adalah memasuki Islam, mentaati Allah dan menghindari segala jenis kekufuran. Beliau berkata ketika menjelaskan takrif Iman dan Islam.

“Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah berpendirian bahawa akidah keimanan yang Allah arahkan kepada hamba Nya adalah memasuki agama Islam yang Dia redai sebagai agama buat sekalian hamba Nya. Islam ini adalah lawan bagi kekufuran yang dimurkai oleh Nya”.

Imam Ahmad bin Hanbal turut menjelaskan,

“Inilah mazhab dan pegangan ahli ilmu, ahli athar, Ahl al-Sunnah yang berpegang teguh dengan tali Islam, terkenal dengannya, yang diikuti menjadi panutan, mengikuti jejak langkah para Sahabat Nabi Muhammad s.a.w. hingga ke hari ini”.

Adapun 7 ulama yang disebutkan di atas hanyalah sebahagian sahaja. Terdapat banyak lagi pandangan daripada para ulama mutaqaddimin yang dikongsikan oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam bukunya Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah: Siapakah mereka. Anda boleh memuat turun di link ini https://bukudrzulkifli.com/alinarah untuk bacaan penuh. Wallahu a’lam 

______________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram