Hari itu, 31 Ogos 1957. Waktu kira-kira pukul 5.00 pagi. Sekitar Stadium Merdeka, hujan turun dengan lebatnya. Suasana begitu sejuk dan dingin.
Awal pagi itu, Tun Abdul Razak, yang merupakan Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Persiapan Kemerdekaan sudah sampai di stadium yang dibina di sebuah bukit rendah berdekatan Jalan Birch tersebut.
Stadium tersebut telah dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) setelah diarahkan oleh Tunku Abdul Rahman apabila tarikh kemerdekaan telah ditentukan.
Namun pagi itu, Tun Abdul Razak yang sampai awal di stadium mula gelisah. Beliau menyaksikan, akibat hujan lebat, air bertakung di tengah-tengah padang di mana askar Melayu akan mengadakan perbarisan kehormat sebentar lagi bagi menyambut hari kemerdekaan negara.
Mujurlah apabila masa berganjak ke pukul 7.00 pagi, hujan mula reda. Lantas beliau menghubungi Tunku selaku Pengerusi Jawatankuasa Persiapan Kemerdekaan untuk melaporkan akan keadaan stadium yang mana beransur baik.
Pun begitu, Tun Abdul Razak mencadangkan agar ketibaan Raja-Raja Melayu, Duke serta isteri dan Pesuruhjaya Tinggi dilewatkan satu jam. Masih banyak persiapan yang perlu dibuat kerana tertangguh akibat hujan.
Walaupun hujan masih renyai, keadaan stadium mula sesak dengan orang ramai yang berpusu-pusu masuk ke dalamnya. Tidak kira bangsa. Melayu, Cina, India semua berkobar-kobar ingin menyaksikan hari bersejarah yang akan berlangsung sebentar lagi.
Pukul 9.00 pagi, hujan mulai reda. Langit mula cerah. Matahari mula memunculkan diri. Rintik-rintik hujan semakin mengecil sebelum hilang daripada pandangan.
Melihat keadaan ini, Dato Abdul Razak mengarahkan perabot dan perhiasan dibawa keluar ke kedudukan dengan segera sebagai persiapan menyambut kemerdekaan.
Tunku pula telah bersiap sedia di rumahnya. Beliau mengenakan baju Melayu hitam, berkain samping berselit keris bersarung gading di pinggang serta bertengkolok songket. Tunku hanya menantikan saat untuk bertolak ke stadium sahaja.
Sampai di stadium, suasana riuh rendah dengan suara rakyat jelata. Tunku berdiri gagah sambil menyaksikan ribuan masyarakat berbilang kaum menanti dengan teruja. Pada masa ini Tunku menanti menerima ketibaan Duke of Gloucester yang memakai pakaian istiadat ketenteraan British berpangkat Filed Marshall.
Apabila Duke of Gloucester yang merupakan bapa saudara kepada Queen Elizabeth II tiba, laungan “God Save The Queen” bergema. Duke diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray.
Ketika itu, Raja-Raja Melayu pula duduk dipayungi oleh sembilan kaki payung kuning. Yang Di-Pertuan Agong duduk di tengah-tengah, di kirinya Tunku dan di kanannya Duke.
Duke kemudiannya bangun menyerahkan ‘Instrumen Kemerdekaan’ yang mana merupakan suatu pengakuan British bahawa ia menyerahkan kedaulatan Pulau Pinang dan Melaka kepada negeri baru ini dan seterusnya menarik ‘perlindungan’ yang diberikan kepada negeri-negeri Melayu.
Selepas menerimanya, Tunku kemudiannya membacakan pengisytiharan Kemerdekaan yang antara lainnya menyebut: “Dengan nama Allah, Persekutuan Tanah Melayu untuk selamanya sebuah negara yang demokratik dan Merdeka”.
Ketika membacakan ini, suara Tunku tenggelam timbul dalam pekikkan orang ramai yang melaungkan, MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! oleh rakyat berbilang kaum dari sebuah perjuangan yang suci.
Bahkan, ribuan air mata turut tumpah menyaksikan detik peristiwa bersejarah ini.
*****
MELANGKAH masuk ke dalam Stadium Merdeka pada hari ini, suasananya seakan mengimbau zaman dahulu. Cuma, mungkin apa yang berlainan adalah panorama sekeliling binaan ikonik ini yang pada zaman sekarang berlatarkan bangunan pencakar langit.
Setelah beberapa tahun ditutup, PNB Merdeka Venture Sdn Bhd, anak syarikat PNB (Permodalan Nasional Berhad) mengumumkan telah membuka semula Stadium Merdeka kepada umum bermula 17 Ogos lalu sempena bulan kemerdekaan.
Sebelum itu, PNB telah bekerjasama dengan Jabatan Warisan Malaysia dalam usaha membaik pulih stadium ini untuk mengembalikan ia sama seperti keadaan pada tahun 1957.
Dengan kos sebanyak RM2 juta, kerja-kerja pembaikan telah dimulakan sejak tahun 2017 membabitkan pemulihan tempat duduk kepada kapasiti asal iaitu sebanyak 20,000. Kerja lain termasuk pembinaan semula papan paparan dan baik pulih jubin lantai asal tanpa menjejaskan struktur dan rupa asal stadium tersebut.
Kerja-kerja tersebut akan menggambarkan semula hampir 100 peratus rupa asal stadium ini sewaktu ia mula-mula dibuka dahulu. Pengunjung yang menjejakkan kaki ke dalam lokasi yang menjadi salah satu monumen penting dalam sejarah kemerdekaan negara ini akan merasai keadaan asal stadium ini seperti sewaktu ia dirasmikan pada tahun 1957.
Menurut Ketua Komunikasi PNB Merdeka Venture, Liza Karim, mereka mengalu-alukan kedatangan pengunjung ke stadium ini setelah dibuka, tambahan pula di bulan kemerdekaan ini.
“Kita akan hidupkan kembali stadium ini dengan pelbagai aktiviti. Antaranya acara sukan, konsert, bazar jualan, program riadah dan pendidikan supaya lokasi bersejarah ini akan menjadi tempat tumpuan pelancong,” ujarnya dalam lawatan media ke stadium itu baru-baru ini.
Acara pertama yang berlangsung selepas stadium ini dibuka semula ialah perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor antara pasukan Selangor dan Singapura pada 17 Ogos lalu.
Stadium Merdeka menjadi lokasi Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Datanglah ke sini. Tataplah isi stadium ini. Walaupun zaman telah berubah, namun masih dapat kita hayati dan seakan bergema laungan ‘MERDEKA’ yang dilaungkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di sini.
MERDEKA! Selamat menyambut hari kemerdekaan ke-67 Malaysia.
FAKTA TAMBAHAN
- Stadium ini mula dibina pada Julai 1956. Dibina khas untuk menyambut hari kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.
- Reka bentuk dan pembinaannya dibuat oleh Stanley Edward Jewkes, seorang arkitek Amerika yang juga jurutera dari cawangan Kejuruteraan Ibu Pejabat, Jabatan Kerja Raya Persekutuan.
- Stadium ini siap sepenuhnya pada Ogos tahun 1957 dan kos pembinaannya menelan belanja RM2.3 juta. Sebahagian daripada kos pembinaan tersebut dibiayai melalui kutipan derma orang ramai.
- Batu asas Stadium Merdeka telah diletakkan pada 15 Februari 1957 dan dirasmikan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Perdana Menteri Malaysia Pertama pada 30 Ogos 1957 iaitu sehari sebelum pengisytiharan kemerdekaan diumumkan.
- Stadium Merdeka terletak kira-kira 600 meter dari Menara Merdeka 118 yang kini menjadi latar kepada monumen sejarah ini.
- Pada 17 Ogos 2024, stadium ini dibuka kembali dan menjadi tuan rumah bagi Piala Sultan Selangor. Ia kali pertama Piala Sultan Selangor diadakan di Stadium Merdeka. Sebelum ini, ia diadakan di Stadium Shah Alam atau Stadium Kebangsaan Singapura.
- Stadium ini menjadi lokasi Pestabola Merdeka yang diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman. Ia kejohanan bola sepak tahunan untuk meraikan kemerdekaan, menyaksikan pertarungan Harimau Malaya dengan pasukan terbaik dari Asia. Pestabola Merdeka diadakan saban tahun bermula tahun 1957 sehingga tahun 1988 dan pernah dianggap sebagai ‘Grand Old Lady of Asia’ kerana menjadi pertandingan bola sepak tertua di Asia.
- Stadium ini menjadi lokasi pertama berlangsungnya pertandingan tilawah Al Quran antarabangsa secara tahunan yang ketika itu dikenali sebagai ‘pertandingan membaca Quran’.
- Pada 1 Julai 1975, stadium ini jadi tumpuan dunia apabila berlangsungnya perlawanan tinju antara Muhammad Ali dan Joe Bugner.
- Berlangsungnya konsert Michael Jackson di stadium ini pada tahun 1996.
- Berlangsungnya kejohanan Hoki Piala Dunia 1975 di stadium ini.
- Pada Februari 2003, Stadium Merdeka diisytihar sebagai Warisan Kebangsaan.
_______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram