KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan tiga doktor awam.
Tiga doktor awam tersebut ditahan kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kartel yang memalsukan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Pulau Pinang.
KKM dalam kenyataan hari ini menegaskan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang elemen penyelewengan kuasa oleh warga KKM.
“KKM mengambil maklum penahanan tiga doktor kanan kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kartel yang memalsukan tuntutan hilang upaya Perkeso di Pulau Pinang oleh SPRM, baru-baru ini.
“Kementerian tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan perkhidmatan kesihatan awam sentiasa berada pada tahap yang terbaik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, SPRM menahan keseluruhan 32 individu susulan siasatan berhubung kegiatan kartel yang dikatakan terbabit pemalsuan tuntutan hilang upaya Perkeso di Pulau Pinang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, selain tiga doktor dari hospital di Seberang Jaya dan Bukit Mertajam, baki yang ditahan turut membabitkan 19 pencarum Perkeso.
Turut ditahan untuk siasatan berhubung kes sama adalah lapan ejen, pegawai perubatan dan dua ‘runner’ melalui siri serbuan dijalankan SPRM baru-baru ini.
Julai lalu, media melaporkan Ahli Dewan Negara, Dr R A Lingeshwaran menggesa Kementerian Sumber Manusia menjelaskan dakwaan beberapa doktor yang mengendalikan tuntutan hilang upaya Perkeso digantung, dikaitkan dengan kartel memalsukan permohonan sedemikian.
Beliau dilapor memaklumkan Dewan Negara bahawa mereka digantung sehingga diberitahu kelak selepas Perkeso mendapat tahu mengenai kegiatan itu di sebuah hospital di Pulau Pinang.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram