Sewaktu menetap di daerah Gombak, Selangor, lebih 20 tahun yang lalu, saya kerap melalui jalan Gombak lama dari arah Setapak menuju ke Greenwood. Ketika itu, jalan tersebut tidaklah secantik seperti sekarang. Di kiri kanannya banyak hutan belukar. Pada waktu malam, kebanyakan jalan sudah mulai sunyi, apatah lagi ketika itu bukan semua kawasan yang diterangi dengan lampu jalan.
Kini, walaupun sudah berpindah ke negeri di selatan tanahair, sesekali saya masih turun ke Selangor dan ada kalanya melalui jalan tersebut. Walaupun jalan itu kini sudah cantik dan selesa, namun saya tidak akan dapat melupakan satu peristiwa yang berlaku sekitar penghujung tahun 80-an dulu.
Ketika itu, lebih kurang pukul 9.00 malam, saya dalam perjalanan pulang dari menghadiri sebuah seminar di sebuah hotel di Genting Highlands. Seperti biasa, saya melalui jalan Gombak lama untuk pulang ke rumah.
Sewaktu hampir sampai di simpang tiga antara menuju ke Greenwood dan Mimaland, kereta saya ditahan oleh seorang gadis belasan tahun. Lagaknya bagaikan hendak berjalan jauh kerana menyandang beg yang agak besar.
“Bang, boleh tumpangkan saya?” kata gadis itu setelah saya memberhentikan kereta. Wajahnya agak pucat, bagai orang sakit.
Menurut gadis itu, dia mahu pulang ke kampungnya di Bentong, Pahang. Saya jelaskan padanya bahawa saya tidak melalui jalan yang menuju ke arah lebuh raya Karak. Tidak mengapa, kata gadis itu. Dia tidak kisah walaupun tidak sehaluan. Dia pinta saya turunkannya di persimpangan ke arah Bentong sebaik sampai di Greenwood nanti. Saya setuju.
Di dalam kereta, saya berborak dengan gadis itu. Namanya Haryati. Kata Haryati, dia merupakan salah seorang pelajar tahun akhir dalam bidang pentadbiran di sebuah institusi pengajian tinggi di Shah Alam.
Cerita Haryati, dia tinggal di Batu 4, Gombak bersama seorang rakan yang juga pelajar di institusi yang sama. Kebetulan Haryati sedang bercuti, sebab itu dia mahu pulang ke kampungnya di Pahang.
Ikut perancangan, Haryati akan pulang bersama-sama rakannya. Tetapi di saat-saat akhir, rakannya itu mempunyai rancangan lain dan terpaksa membatalkan hasrat untuk mengikutnya. Terpaksalah Hayati pulang seorang diri.
Apa yang menimbulkan pertanyaan di hati saya, suara Haryati agak lemah, kadangkala dia terbatuk-batuk. Saya bertanya adakah dia sakit? Demam, ringkas saja jawapan gadis itu.
Tidak lama perbualan kami, lebih kurang lima minit sahaja sebelum kereta yang saya pandu sampai di Greenwood. Sebelum turun, sempat saya bertanya bagaimana Haryati akan meneruskan perjalanannya.
“Saya akan tumpang orang lagi, bang. Insya-Allah, mesti sampai di Bentong nanti,” jawabnya sambil tersenyum lantas menutup pintu kereta dan saya meneruskan perjalanan pulang.
Sampai di rumah, seperti biasa saya mandi. Entah mengapa, malam itu saya berasa tidak sedap badan. Seakan hendak demam. Saya telan panadol, kemudian tidur. Keesokan harinya apabila terjaga, kepala saya berdenyut-denyut. Suhu badan saya juga tinggi. Anehnya, dalam keadaan yang demam itu, saya asyik teringat pada Haryati. Firasat saya mengatakan ada sesuatu yang tidak kena dengan gadis itu.
Namun, kerana tubuh yang lemah akibat demam, saya hanya terperap di rumah bertemankan ubat yang diberi doktor. Pada hari ketiga, barulah keadaan saya beransur pulih.
Tidak menunggu lama, saya capai kunci kereta. Destinasi saya hanya satu iaitu institusi pengajian tinggi tempat di mana Haryati belajar. Gombak dan Shah Alam bukannya jauh sangat. Saya turut mengajak seorang kawan baik saya yang pernah menuntut di IPT tersebut. Dia tahu lokasi dan selok belok bangunan di pusat pengajian tersebut.
Di dalam perjalanan, saya ceritakan padanya apa yang berlaku. Saya juga beritahu sahabat baik saya itu bahawa saya sendiri hairan mengapa bayangan gadis itu asyik mengganggu fikiran saya. Bagaikan ada satu rahsia yang terpendam. Hati saya bagaikan mendesak supaya saya mencari siapa Haryati. Itulah yang ingin saya ketahui.
Berdasarkan maklumat daripada perbualan saya dan Haryati malam itu, kami cuba bertanyakan tentang gadis tersebut di sekitar dewan kuliah para pelajar yang mengambil jurusan yang sama. Apabila saya nyatakan perincian tentang rupa paras Haryati, usianya dan kampungnya, beberapa pelajar yang saya tanya itu terdiam. Kening mereka berkerut dan saling berpandangan.
“Abang tunggu sini kejap,” kata salah seorang pelajar itu kemudian berlalu pergi. Sepuluh minit kemudian, dia datang membawa sekeping kertas yang mempunyai gambar pengenalan kad pelajar yang sudah di fotostat.
Ya! Inilah Haryati. Saya merujuk kepada gambar kecil di dalam kertas tersebut. Sekali lagi, pelajar-pelajar itu berpandangan kehairanan. Kata mereka, memang benar Haryati adalah pelajar di jurusan tersebut. Tetapi itu hanya dua tahun yang lalu. Maksudnya? Saya tidak faham dengan penjelasan para pelajar itu.
“Bang, Haryati sudah hampir dua tahun meninggal dunia kerana demam panas. Waktu itu, baru semester dua, dia hendak pulang ke kampungnya di Pahang. Tapi, tak sempat. Hanya jenazahnya yang dibawa pulang ke kampung!” penjelasan itu benar-benar mengejutkan saya.
Bermakna, Haryati yang saya tumpangkan pada malam itu bukan manusia? Adakah demam panas yang saya alami selepas menumpangkan Haryati ada kaitan dengan punca kematiannya itu? Hingga ke sudah saya tidak tahu jawapannya. – Ahmad Safuan, Johor.
_______