Pembahagian ini sekadar menentukan apabila melebihi 1000 tahun hijrah sebagai golongan mutaakhirin, tetapi sebenarnya perkara ini merupakan perkara yang khilaf kerana ada yang menyatakan ulama muta’akhirin dikira selepas 300 hijrah dan ada yang menyatakan bahawa ulama mutaakhirin dikira setelah 500 hijrah.
Justeru ulama mutaakhirin ini merujuk kepada ulama-ulama terkemudian dan kontemporari, dan antara yang dapat kami bawakan adalah seperti berikut:
Pertama: Syeikh Abd al-Baqi al Ba’li al-Hanbali (m 1071H)
Beliau berkata, “Ahl al-Sunnah terbahagi kepada tiga kelompok iaitu al-Asya’irah, al-Hanabilah (Athariyyah) dan al-Maturidiyyah”
Kedua: Syeikh Abd al-Qadir al-Basri al-Hanbali (m 1095)
Beliau berkata, “Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah adalah para pengikut mazhab imam yang empat, begitu juga pengikut Athariyyah iaitu majoriti al-Hanbaliyyah, kemudian al-Asya’irah dan Maturidiyyah”
Ketiga: Syeikh Syamsuddin Muhammad al-Safarini al-Habali (m 1188H)
Beliau menyatakan dalam kitabnya, Lawami’ al-Anwar al-Bahiyyah wa Sawati’ al-Asrar al-Athariyyah, “Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah itu tiga kumpulan, al-Athariyyah, imam mereka iaitu Ahmad bin Hanbal, al-Asya’irah imam mereka Abu al-Hasan al-Asy’ari dan al-Maturidiyyah imam mereka Abu Mansur al-Maturidi”.
Keempat: Syeikh Muhammad ibn Mani’ al-Hanbali (m 1275H)
Beliau berkata sepertimana yang dinukilkan di dalam “Tafsir al-Qani’ fi al-Jam’ Baina Syarhai ibn Syati wa ibn Mani’, “Ahl al-Sunah wa al-Jama’ah itu terbahagi tiga kelompok seperti berikut,
- Al-Athariyyah, imam mereka adalah Ahmad bin Hanbal.
- Al-Asy’ariyyah imam mereka adalah Abu al-Hasan al-Asy’ari
- Al-Maturidiyyah imam mereka adalah Abu Mansur al-Maturidi
Kelima: Syeikh Abdullah bin ‘Audah al-Qadumi al-Hanbali (m 1331H)
Beliau berkata, “Kelompok yang selamat iaitu Ahl al-Sunnah adalah Ahli Hadis yang digelar ahli Athar dan imam mereka ialah Imam Ahmad bin Hanbal, begitu juga dengan al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah”.
Keenam: Syeikh Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baz (m 1420H)
Beliau dalam Majmuk Fatawa Ibnu Baz menyatakan, “Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah adalah mereka yang beramal dan berpegang teguh kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul Nya s.a.w. serta mengajak kepada kedua-duanya. Mereka adalah para sahabat Nabi s.a.w. dan pengikut-pengikut mereka yang berbuat baik.
Mereka ini adalah Ahl al-Sunnah, para sahabat r.hum dan sesiapa yang mengikuti jejak langkah mereka dengan kata-kata dan perbuatan, yang menghormati Kitab dan as-Sunnah serta berhujah dengannya dan bergantung kepadanya. Itulah yang dikatakan sebagai pengikut Sunnah.
Mereka adalah Ahl al-Sunnah yang berpegang kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul Nya, yang mengikuti jejak langkah para sahabat Rasulullah s.a.w. dan pengikut-pengikut mereka yang berbuat baik.
Mereka ini adalah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, para sahabat dan mereka yang mengikuti jalan mereka seperti Imam Malik, al-Syafie, Ahmad bin Hanbal, Thauri, Auza’i dan sesiapa yang mengikuti mereka dengan baik.
Mereka ini adalah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang mengesakan dan mentauhidkan Allah dan percaya bahawa Dia sahaja yang layak disembah serta beriman kepada nama-nama Nya dan sifat-sifat Nya. Mereka menyifatkan Nya tanpa melakukan tahrif (penyelewengan) tanpa tamsil (penyerupaan) tanpa takyif (menanyakan bagaimana) dan tanpa tajsim (menyerupakan Allah dengan makhluk)
Mereka ini adalah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang mengesakan Allah dan istiqamah di atas agama Nya, beriman kepada Nya dan kepada sifat-sifat Nya, serta mengkhususkan Nya dalam ibadah.
Mereka beriman bahawa Dia adalah Rabb al-‘Alamin dan Pencipta mereka, dan bahawa Dia memiliki nama-nama yang indah dan sifat-sifat yang tinggi. Firman Allah dalam surah al-Syura: 11,
“Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat”
Mereka menolak fahaman Jahmiyyah, Mu’tazilah, Rafidhah dan lain-lain daripada ahli bida’ah. Mereka ini adalah Ahl al-Sunnah yang mengikuti para sahabat dan istiqamah di atas jalan para sahabat dalam kata-kata, perbuatan dan akidah.
Akidah para sahabat adalah mentauhidkan dan mengesakan Allah, mengikhlaskan ibadah kepada Nya, mengikuti perintah Allah, meninggalkan larangan Nya dan berhenti di batas-batas Nya. Mereka beriman kepada nama-nama dan sifat-sifat Nya, mensifatkan Allah dengan cara yang layak bagi Nya tanpa tahrif, ta’til (menafikan sifat-sifat Allah) takyif atau tamsil.
Mereka beriman kepada perkara itu dan menerima sebagaimana datangnya, beramal dengan firman Allah dalam surah al-Ikhlas ayat 1 hingga 4,
“Katakanlah: Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah tempat yang segala sesuatu bergantung kepada Nya. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia”
Adapun 6 ulama yang disebutkan di atas hanyalah sebahagian sahaja. Terdapat banyak lagi pandangan daripada para ulama mutaakhirin yang dikongsikan oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam bukunya Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah: Siapakah mereka. Anda boleh memuat turun di link ini https://bukudrzulkifli.com/alinarah untuk bacaan penuh. Wallahu a’lam
_____________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram