Tinggal bersendirian selama 12 tahun di bilik akhir adalah satu tempoh yang cukup menyeksakan. Penantian itu bukan satu tempoh yang singkat. Hati bukan hanya berkecamuk, tetapi meronta kala gambaran tali gantung bagaikan bayang-bayang membelit diri.
Teman-teman di bilik bersebelahan silih berganti. Gelaran banduan akhir itu sendiri menjadi satu hukuman yang cukup berat. Debaran bertambah kencang setiap kali menjelang hari Khamis dan Jumaat kerana pada awal pagi hari itulah biasanya kami dapat melihat wajah dunia buat kali terakhir. Manakala riwayat teman-teman yang bukan beragama Islam biasanya berakhir pada pagi selasa.
Sering juga aku bertukar getar perasaan dengan teman-teman senasib yang menghuni deretan kamar di blok akhir ini. Banyak perkara yang kami kongsi bersama. Acap kali juga selepas bertemu dan berbicara, keesokannya aku mendapat tahu yang dia sudah pergi menemui Tuhan. Dalam tempoh tersebut, kira-kira 20 orang temanku menemui ajal di tali gantung.
Aku sering menangis sendirian. Entah di mana hilangnya ego ku selama ini. Aku bagaikan sudah mati sebelum hukuman dilaksanakan. Buat ke sekian kalinya di bilik sempit ini, aku sujud pada Yang Esa dengan penuh ikhlas, khusyuk dan rasa kehambaan yang begitu mendalam.
Inilah kata orang tua-tua, “Sudah terhantuk baru terngadah”. Saban hari dilalui dengan penuh debaran. Sesak nafasku mengingatkan saat itu. Sejak dijatuhkan hukuman, saban hari aku bertemankan buku-buku tentang cara menunaikan solat yang betul. Buku-buku agama pula mendedahkanku banyak perkara yang selama itu aku jahil tentangnya.
Aku juga banyak bertanya kepada ustaz di penjara pelbagai perkara berkaitan agama. Malah aku juga banyak berpuasa untuk menggantikan puasa yang pernah ku tinggalkan. Ya Allah! betapa selama ini aku mensia-siakan waktu yang diberikan oleh Tuhan. Ustaz sering menggalakkan agar aku sentiasa mengingati Allah dan usah memikirkan perkara yang sudah berlaku.
Ku amati pesanan. Aku cuba buang jauh-jauh perasaan kesal yang bersarang di hati. Namun gagal. Semakin ku cuba, semakin dekat ia menghampiri. Satu demi satu bayangan dosa silam menerjah di fikiran. Teringat aku betapa besarnya dosa terhadap ayah ibu dan keluarga. Lebih meruntun hati, apabila melihat ibu terjatuh bagaikan orang tidak sedarkan diri, saat aku dijatuhkan hukuman.
Kalimah suci dan solat singkirkan keresahan
Aku mengambil masa yang agak lama untuk menyingkirkan perasaan takut, bimbang, kesal dan rasa bersalah. Biarpun tidak mampu membuang perasaan itu sepenuhnya tetapi makin lama aku semakin boleh menerima hakikat.
Hatiku semakin tenang kala aku mendampingi kalimah-kalimah suci dan menghabiskan waktu siang dan malam dengan berbicara bersama Nya. Antaranya menunaikan solat-solat sunat seperti sunat dhuha, witir dan sebagainya. Dia bagaikan sahabat karib yang sentiasa bersamaku tanpa mengira waktu. Bermula dengan saat menyucikan diri hingga salam terakhir Dia mendakap kejap aku dalam cinta suci Nya yang tidak pernah aku peroleh sebelum ini.
Sejarah pilu
Mengimbas kembali sejarah pahit yang menghantar aku ke sini, aku menjadi penghuni sejak 28 tahun yang lalu, ketika masih muda kerana kesalahan mengedar heroin. Aku disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1957, yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati.
Inilah bahana dadah. Pada mulanya aku sekadar mengikut kawan untuk berseronok. Bermula dengan minuman keras, kemudian mula berjinak-jinak dengan candu dan ganja. Selepas itu menyentuh heroin yang masih baru diperkenalkan di negara ini. Waktu itu harganya sangat murah, cuma 15 sen untuk satu tiub.
Aku mula bergelumang dengan benda-benda kotor ini sejak usia 18 tahun. Waktu itu tidak pernah terlintas di fikiran tentang akibat yang bakal aku hadapi. Walaupun begitu aku tidak pernah mencuri. Untuk menampung keperluan harian, aku menjual “barang” tersebut kepada kawan-kawan yang satu kepala denganku.
Aku tidak pernah ada masalah untuk mendapatkan bekalan atau menjual. Pelanggan datang sendiri. Ada kala waktu tidur pun mereka telefon untuk mendapatkannya. Masa itu aku hidup mewah. Kereta besar, rumah besar, tetapi tidak kaya. Duit senang dapat, dan senang habis. Namun apabila pulang ke kampung aku lebih suka naik teksi.
Kalau aku tayang apa yang aku miliki pun tiada guna kerana keluarga dan saudara-mara tidak akan percaya. Paling tidak pun aku akan ditempelak dengan sindiran sinis. Mereka akan kata kereta yang aku bawa itu kereta curi atau kereta hasil jualan dadah. Jarak kampung dengan ibu kota bukannya jauh. Mereka tahu aku tidak ada kerja, mana mungkin mampu hidup mewah.
Satu hari tu, aku ditangkap bersama tiga orang lagi kawan. Sebelum ditangkap, kata polis mereka sudah tiga bulan membuat intipan. Ketika keluar dari rumah aku diserbu oleh dua buah kereta polis. Hendak melawan pun tidak berguna, kerana semua bukti lengkap. Dan aku sedar aku memang bersalah
Atas dasar setia kawan dan memikirkan yang lain mempunyai isteri dan anak yang masih kecil, biarlah aku tanggung semua kesalahan itu. Setelah 4 tahun berulang-alik ke mahkamah, akhirnya aku dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Tiga orang lagi kawanku dijatuhkan hukuman lima tahun penjara dan enam sebatan.
Sepanjang tempoh itu hanya Tuhan yang tahu perasaanku. Setiap kali ke mahkamah, terasa separuh nyawa bagaikan melayang. Apabila dipanggil bela diri, aku sudah dapat mengagak apakah hukuman yang bakal dihadapi. Ia umpama dua persimpangan antara hidup dan mati. Dalam hati berdebar bukan kepalang. Sebaik sahaja dijatuhkan hukuman aku terasa bagaikan pokok yang layu tidak bermaya.
Aku ditempatkan di ruang terasing bersama teman-teman lain yang bakal menerima hukuman serupa. Di bilik itu aku banyak menghabiskan masa dengan bermunajat kepada Tuhan dan memohon keampunan daripada Nya. Aku mula mempelajari agama yang sebelum ini tidak pernah aku pedulikan, terutama pada hari Jumaat. Aku benar-benar insaf.
Diberi pengampunan
Akhirnya Tuhan mendengar suara hati ini. Setelah lebih sedekad menjadi penanti, aku dikhabarkan dengan berita gembira yang tidak pernah kusangka. Allah sebaik-baik Tuhan, aku diberi pengampunan dan ditukarkan kepada hukuman penjara seumur hidup. Allahu Akbar! hanya air mata kegembiraan yang mampu menceritakan perasaanku ketika itu.
Saat itu, aku terasa seperti mati hidup semula. Aku panjatkan rasa syukur yang tidak terhingga terhadap yang Maha Esa. Dalam masa yang sama aku terasa gari yang selama ini membelenggu hidupku telerai. Aku ingin manfaatkan sepenuhnya peluang kedua yang diberikan Allah.
Terasa seolah-olah dunia ini telah kembali kepadaku. Aku tetap teruskan amalan yang menjadi penawar resahku suatu ketika dahulu seperti surah Yasin dan doa haikal. Namun kegembiraanku tidak bertahan lama. Kala mendengar berita pilu tentang pemergian ibu tercinta membuat aku tersentak dan hanya mampu menangis sendiri. Ia bagaikan balasan terhadap dosa silamku. Hati aku hancur kerana tidak dapat menatap wajah yang amat dirindu selama ini dan banyak terluka dek perbuatan anaknya.
Biarpun begitu, saat menanti kematian di tali gantung bagaikan gambaran ngeri yang sentiasa menghantui diri sehingga kini. Bila dikenang Kembali, aku sedar betapa ruginya aku yang terpaksa menghabiskan sisa-sisa hidup dalam ruang berdinding besi ini. Aku banyak bermuhasabah diri dan meningkatkan keimanan. Terlalu banyak yang dipelajari di sebalik tembok besi ini.
Tempoh 12 tahun bersendirian menghuni bilik akhir dan menjalani hukuman di ruang yang sangat terhad ini begitu menginsafkanku. Hari ini hatiku semakin lembut. Lebih bersifat penyabar dan bertawakal kepada Allah.
Untuk anak-anak remaja, atau sesiapa sahaja baik lelaki mahupun perempuan, belajarlah mengekang diri dari terus dikuasai nafsu dan keinginan yang tidak berkesudahan. Tolong jangan ulangi sejarah kelam yang pernah kulalui. Gemerlapnya cuma seketika. Jadikan kisahku sebagai ikhtibar. Bukan bahagia menjadi penghuni bilik akhir, tetapi hari ini bagaikan ramai yang berminat. Dan setelah terperangkap di dalamnya, ingatlah, bukan mudah untuk mencari jalan keluar. Wallahu a’lam
___________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram