Terus membantu menggerakkan ekonomi Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME), Richworks melancarkan inisiatif yang diterjemahkan melalui program Siri Sokongan Jelajah Bina SME Seluruh Malaysia (Bina SME) – Bina Perniagaan & Kewangan Berjaya yang bakal bermula Oktober ini.

Mentor usahawan merangkap Pengerusi RichWorks, Datuk Wira Dr. Azizan Osman berkata, program yang dijalankan secara percuma ini bakal memanfaatkan 10,000 usahawan kecil dan sederhana yang masih bergelut untuk mengembangkan perniagaan.

“Program ini akan dijalankan secara percuma dan meliputi beberapa buah negeri antaranya Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan dan Johor.

“Sasaran kami ialah untuk membantu 10,000 usahawan SME yang ingin kembangkan perniagaan mereka. Peserta haruslah mempunyai perniagaan yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan beroperasi enam bulan ke atas dan kami akan membantu menilai kembali operasi mereka dengan melihatkan secara keseluruhan aspek.

“Kami juga berhasrat bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri bagi meluaskan program ini ke negeri Sabah dan Sarawak jika ada permintaan disana,” kata Azizan.

Dalam pada itu kata Azizan yang berpengalaman selama 16 tahun dalam melatih dan membimbing usahawan, rata-rata pengusaha SME tidak berjaya menguruskan perniagaan dengan baik kerana pelbagai cabaran dan kurangnya ilmu dalam pemasaran.

“Kira-kira 90 peratus usahawan yang ditemui RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks) tidak berjaya mencapai kewangan lebih baik melalui perniagaan yang dijalankan.

“Sebenarnya ramai usahawan yang ‘stuck’ pada tahap yang sama kerana mereka tidak tahu bagaimana untuk kembangkan lagi bisnes. Dan program ini akan membimbing bagaimana memberi fokus utama dalam aspek perniagaan dan berdepan dengan cabaran daripada segi kewangan, persaingan dan kenaikan kos.

Tambah Azizan, RichWorks turut menetapkan hala tuju bagi memilih dan membantu 1000 peserta daripada program tersebut secara intensif.

“Daripada jumlah 10,000 yang hadir, kami akan memilih seribu usahawan yang kemudiannya akan dibimbing secara personal selama tiga bulan.

“Pasukan kami akan memantau secara dekat 1000 usahawan ini dan memberi tunjuk ajar bagi memastikan mereka berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Malah kami akan turut membantu menyediakan kemudahan daripada segi pinjaman modal bersama institusi kewangan terpilih,” tambahnya lagi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd, Ketua Pegawai Operasi, Suley Nordyana Yahya dan Ketua Pegawai Bimbingan dan Mentoran, Hafiz Jasmi.