TIGA tahun lalu dia muncul dengan single Hey Lady dan dikenali sebagai Adam Nordin. Kini seiring dengan penghasilan buah tangan terbaharu berjudul Detak Cinta, Adam mahu peminat muzik tempatan mengenali dirinya sebagai Adam Matiin.

Sesuai dengan penjenamaannya itu, Adam atau nama lengkapnya Muhd Alif Adam Abu Bakar,26, lebih bersedia untuk mencuba lebih banyak genre.

“Detak Cinta merupakan sepenuhnya hasil ciptaan saya. Susunan muzik pula oleh Alan Monosterio dan proses adunan pula dilakukan oleh Anep Monosterio.

“Proses rakaman berjalan sangat baik di Studio Asia Empire Records Malaysia. Saya sukakan muzik yang berkonsepkan pop balada, blues dan jazz,” katanya kepada URTV.

Adam yang merupakan bekas pelajar Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda (Muzik) kini bergelar tenaga pengajar di sebuah akademi muzik swasta di Singapura.

Sementara itu, Adam yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu cukup mengemari dunia muzik dan ingin lebih serius dalam bidang ini biarpun memiliki karier tetap.

“Saya jadikan penyanyi seperti Celine Dion, Anuar Zain, Mariah Carey, Afgan, Datuk Sheila Majid dan Whitney Houston sebagai rujukan.

“Saya lebih sukakan persembahan pentas seperti nyanyian walaupun mempunyai kerjaya tetap.

“Saya pernah mewakili Singapura dalam pertandingan akhir I-Sing di Malaysia tahun lalu. Alhamdulillah, saya memenangi program tersebut,” kongsinya.

Malah, pada 6 September lalu, Adam berpeluang menganjurkan showcase di negeri kelahirannya dan menyampaikan 22 buah lagu buat peminatnya.

“Saya teringin untuk mengulangi semula showcase tersebut mungkin di lokasi lain pada satu hari nanti.

“Saya bersyukur kerana minat saya ini turut disokong oleh keluarga.

“Malah, abang saya turut bermain gitar untuk single Detak Cinta ini. Minat kepada dunia muzik ini mungkin di warisi dariapda ibu saya berkebolehan bermain alat muzik seperti saksofon, trumpet dan beberapa lagi instrumen,” ulasnya yang turut berbakat bermain piano.

Detak Cinta bakal menemui pendengar secara rasmi bermula 27 September ini di ke semua platform digital.

“Saya berharap dapat sokongan semua pihak agar dapat memberikan ruang kepada saya untuk menwarnai industri hiburan.

“Insya-Allah, saya dan Asia Empire Record dalam perancangan untuk mengumpul bahan bagi melengkapkan album pertama.

“Buat masa ini, saya fokus untuk mempromosikan Detak Cinta di Malaysia, Singapura dan Indonesia,” katanya yang boleh menyampaikan lagu dalam enam bahasa.  

Adam juga aktif menyanyikan semula lagu-lagu pilihan ‘cover song’ dan kerap membuat sesi siaran langsung di TikTok sebagai cara untuk mendekati serta berkomunikasi dengan peminat.