Pada tahun 2016, kisah pelayaran seorang lelaki muda berusia 24 tahun dari Perancis mendapat perhatian media. Guirec Soudee telah memulakan ekspedisi pelayaran mengelilingi dunia seorang diri sejak tahun 2014.
Apa yang menjadi perhatian apabila pelayaran Guirec ditemani ‘seseorang’ dan sejak itu, kisahnya mula menjadi bualan dan sering dipaparkan media.
Ini kerana petualangan Guirec di laut ditemani seekor ayam betina bernama Monique. Sejak itu, populariti pemuda dan ayam ini mula meningkat naik dan mempunyai pengikut mereka sendiri baik dalam dunia nyata ataupun media sosial.
Kisah Soudee dan Monique mula mendapat perhatian dunia selepas kedua-duanya memulakan misi pelayaran dari Kepulauan Canary, Sepanyol pada bulan Mei 2014.
Guirec berlayar dengan perahu layar berukuran 30 kaki yang dinamakan sebagai Yvinec. Di saat awal memulakan pelayaran, Guirec mendapat idea untuk membawa seekor haiwan peliharaan sebagai teman ketika misi itu berlangsung.
Pada peringkat awal, dia memilih untuk membawa seekor kucing. Namun, selepas melakukan beberapa tinjauan, pemuda ini mengakui haiwan berkenaan tidak sesuai dibawa bersama kerana memerlukan penjagaan yang rapi.
Selepas beberapa lama melakukan pencarian, pemuda ini akhirnya menjumpai seekor haiwan yang dianggap sesuai untuk mengikuti beliau berlayar mengelilingi dunia.
Haiwan tersebut ialah seekor ayam yang diberi nama Monique. Ayam itu dijumpai Guirec ketika dia berada di Kepulauan Canary, Sepanyol. Pada ketika itu, Monique baru berusia lima bulan.
Sebelum itu, Guirec pernah meminta nasihat daripada pakar pemakanan untuk membawa ayam tersebut, kerana dia mengharapkan telur ayam sebagai salah satu bekalan makannya sepanjang berlayar. Namun menurut pakar, secara fisiologi ayam itu mungkin tidak akan mampu bertelur di atas kapal kerana faktor persekitaran dan tekanan yang dihadapi haiwan itu.
Pun begitu, Guirec tetap membawa Monique menjelajah dunia bersamanya. Apa yang mengejutkan, hari pertama ikut berlayar, ayam itu telah menghasilkan sebiji telur.
Dalam masa empat minggu kemudian, Monique telah menghasilkan 25 biji telur. Ia mengejutkan Guirec. Ternyata ayam itu tidak mengalami sebarang tekanan ketika perlu hidup di tengah laut dan mampu bertelur dalam persekitaran begitu.
Jelas Guirec, ayam kesayangannya itu adalah seekor haiwan menakjubkan. Ia jinak, mudah dijaga dan sentiasa mendengar arahan. Ayam itu juga cepat menyesuaikan diri dengan persekitarannya.
Monique haiwan yang manja dan gemar memeluk tuannya. Kadang kala ia akan tidur bersebelahan dan suka berkongsi bantal dengan Guirec. Monique juga gemar bertenggek di bahagian dek ketika tuannya bertindak sebagai jurumudi di bahagian tengah kapal.
Jika keadaan laut bergelora atau dilanda cuaca buruk, Guirec akan memindahkan ayam kesayangannya itu di dalam reban khas yang diletakkan di dalam kabin kapal.
Guirec menceritakan pernah menempuh beberapa kali saat genting ketika misi pelayaran bersama Monique. Kapalnya hampir beberapa kali karam ketika merentasi kawasan ribut atau ombak bergelora.
Sewaktu belayar di laut, Monique tidak kisah dengan makanan yang dihidangkan oleh tuannya. Apa yang dimakan oleh Guirec, itu juga yang akan dimakannya. Sesekali, ayam ini akan cuba mendapatkan makanan sendiri dengan menangkap ikan terbang (flying fish) yang sering muncul di bahagian dek kapal.
Pelayaran kedua sahabat ini telah merentasi lautan Atlantik dan Alaska, membeku di Greenland, menikmati kepulauan Caribbean, selain turut melalui laluan sempit Nortwest Passage.
Monique membuktikan ia ayam pelayar yang hebat. Dalam apa juga keadaan cuaca dan pengalaman ekstrem, ia tetap mampu menyesuaikan diri dan boleh menghasilkan ratusan telur untuk bekalan makanan tuannya. Selama beberapa tahun, Monique setia mengikut pelayaran solo Guirec merentasi pelbagai lautan dan cuaca.
Setelah menghabiskan pelayaran dan kembali semula ke Perancis pada Disember 2018, kedua sahabat ini menjadi popular dan mendapat perhatian ramai.
Ketika itu, Monique meraih populariti dan sering dipanggil oleh media dan muncul dalam pelbagai rancangan. Guirec pula sempat menulis dua buah buku yang menceritakan pengalaman pelayarannya.
Selepas itu, Monique tidak lagi berlayar dan ‘bersara’ dari laut. Ayam ini tinggal di kediaman Guirec di sebuah pulau kecil di Brittany, sebuah wilayah yang terletak di barat utara Perancis.
Namun, setiap yang hidup pasti akan mati. Begitu juga dengan Monique. Pada 1 Mac 2023, Guirec mengumumkan berita sedih apabila memberitahu Monique yang berusia 9 tahun telah pergi buat selama-lamanya.
_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram