MAHKAMAH Sesyen Kota Bharu menetapkan 8 dan 9 Disember depan bagi perbicaraan kes seorang pengurus syarikat agensi pelancongan Hafizul Hawari, 38, yang didakwa atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api.  GAMBAR: BERNAMA

MAHKAMAH Sesyen Kota Bharu menetapkan 8 dan 9 Disember depan bagi perbicaraan kes seorang pengurus syarikat agensi pelancongan Hafizul Hawari, 38, yang didakwa atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api. 

Hakim Zulkifli Abllah memaklumkan perkara itu dalam prosiding sebutan semula kes tersebut yang dijalankan hari ini, dan turut memohon pihak peguam bela menghantar representasi sebelum perbicaraan bermula nanti.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri memaklumkan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang arahan bagi memindahkan kes tersebut ke Selangor, berikutan pada prosiding sebelum ini Nik Mohd Faris Syazwan memohon untuk memindahkan kes ke Mahkamah Sepang kerana anak guamnya berhadapan dengan pertuduhan lain di Selangor melibatkan kes cubaan membunuh.

Pada 24 April lepas, Hafizul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki senjata api jenis pistol Glock 19 Austria yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali, jika sabit kesalahan.

Beliau juga didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki 33 butir amunisi PMC 380 AUTO tanpa lesen yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga, Hafizul dituduh memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga kad pengenalan milik tiga individu berbeza mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Dibawah pertuduhan ketujuh pula, Hafizul didakwa memandu kereta jenis Honda Civic berwarna putih menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan itu, tertuduh boleh didenda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000 atau penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau kedua duanya sekali.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam kereta itu di perkarangan sebuah hospital swasta di sini, pada 2 petang, 15 April lepas.

Pada 25 April lepas, Hafizul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang atas dakwaan cuba membunuh isterinya Farah Md Isa, 38, di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal 1, KLIA  pada pukul 1.09 pagi, 14 April lepas.

Dia juga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap pengawal peribadi isterinya, Mohd Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian pada lokasi, tarikh dan masa yang sama.

 — BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram