SAYA bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam siri lawatan kerjanya ke Switzerland selama enam hari, dari 4-9 September.
Syukur, Alhamdulillah, kami mendarat pulang ke tanah air semalam. Lawatan yang sangat bernilai tinggi khususnya untuk sektor pendidikan tinggi negara.
Lawatan Menteri ini adalah atas jemputan (dengan penajaan) dari World Trade Institute (WTI) dan World Economic Forum (WEF), kedua-duanya institusi global yang tersohor.
Saya menyertai selaku Penasihat Pendidikan Tinggi dan pastinya, sebagai ahli ekonomi dan Pengarah, Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), amat berharga buat saya.
Menteri menyampaikan pandangan beliau di World Trade Forum di WTI dan Roundtable on Role of Higher Education in ASEAN Community di WEF, yang dihadiri oleh wakil-wakil institusi antarabangsa dan negara-negara ASEAN.
Jadual yang sangat padat, di samping dua persidangan ini, Menteri juga mengadakan kunjungan rasmi bertemu rakan sejawatnya, Prof Martina Hirayama, Secretary of State for Education, Research, and Innovation, Switzerland, menumpu kepada pengukuhan kerjasama pendidikan tinggi Malaysia dan Switzerland.
Kami juga mengadakan lawatan ke University of Bern (UoB) dan juga Swiss Federal Institute of Technology (EPFL) yang tersohor.
Delegasi berpeluang melawat beberapa institut, makmal penyelidikan dan fasiliti yang canggih, antaranya, World Trade Institute, Center for Biomedical Engineering (ARTORG), Center of MicroNano Technology, Makmal Dilution Fridge Holding Quantum Computing dan Rolex Learning Center.
Menteri turut mengadakan perbincangan dengan Rektor UoB dan President EPFL.
Program lawatan yang bernilai tinggi ini bersandar kepada jaringan antarabangsa dua sarjana UKM iaitu Profesor Dr Sufian Jusoh, Pengarah, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) dan Profesor Ahmad Rifqi Md Zain, Pengarah Institute Microengineering and Nanoelectronics (IMEN).
Delegasi turut disertai bersama Naib Canselor USM dan UNIMAP serta beberapa ahli Lembaga Pengarah Universiti.
Pendedahan antarabangsa yang sedemikian memanfaatkan semua IPTA yang terlibat.
Saya sudah lama mengagumi kehebatan negara kecil Eropah ini. Switzerland tidak menganggotai Kesatuan Eropah (EU).
Dengan penduduk sekitar 9 juta orang (28% penduduk Malaysia) dan keluasan tanahnya yang kecil (41,285 km persegi, 13% keluasan Malaysia) dan ‘land lock’ (tiada sempadan laut), tiada kekayaan sumber asli, Switzerland kini adalah negara kedua paling berdaya saing di dunia.
Ekonominya bernilai USD939 bilion, ke 20 terbesar di dunia (Malaysia-USD446 bilion) dan pendapatan perkapitanya USD105,669, kelima tertinggi di dunia (Malaysia-USD13,315)
Di negara inilah letaknya pangkalan institusi utama dunia seperti World Trade Organisation (WTO), Bank for International Settlements (BIS) dan International Labor Organisation (ILO) yang mempunyai pengaruh yang besar ke atas ekonomi dan sektor kewangan dunia.
World Economic Forum (WEF) dan International Institute for Management Development (IMD), dua institusi ‘gergasi’ yang menilai daya saing setiap negara, termasuk Malaysia, berpangkalan di negara kecil ini.
Saya bertuah dapat bersama delegasi Menteri dalam perbincangan meja bulat di WEF di Geneva dan juga perbincangan kerjasama dengan wakil Bank Dunia yang hadir di World Trade Forum.
Saya juga sempat singgah di IMD di Lausanne. Ikhlas, hati kecil saya terkedu dan teruja ketika berada di WEF dan IMD. Satu impian peribadi kerjaya saya juga sebagai ahli ekonomi.
Sasaran kedua Ekonomi Madani, meningkatkan daya saing negara ke tangga ke 12 di dunia amat memerlukan Malaysia menjalinkan ‘brain network’ dengan kedua-dua institusi tersohor dunia ini, WEF dan IMD.
Kita tidak boleh hanya lihat dari jauh, memberi data dan maklumat, menunggu penarafan mereka. Insya-Allah, Prof Sufian (IKMAS) dan saya (MINDA) akan mengukuhkan brain network ini dari UKM untuk Malaysia.
Kita mesti memahami dengan lebih mendalam, menyelidik dan menggerakkan agenda meningkatkan daya saing negara secara asli dengan penuh komitmen.
Kita tidak boleh terperangkap dengan isomorphic mimicry, hanya menumpu kepada penubuhan institusi yang cenderung kepada ‘meniru bentuk’ tetapi ‘mengetepikan keberhasilan’, i.e. form over function.
Saya yakin ini juga selaras dengan usaha ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mereformasikan perkhidmatan awam negara kita.
Sekalung tahniah kepada Datuk Seri Zambry, mengangkat pendidikan tinggi negara di persada antarabangsa, khususnya dengan kejayaan lawatan kerja ini. Pendidikan tinggi negara sampai ke Switzerland.
Pastinya Profesor Sufian, Profesor Rifqi, Profesor Datuk Seri Abdul Rahman (Naib Canselor USM), Profesor Datuk Zaliman (NC UNIMAP) dan saya akan menyusul dengan perincian tindakan seterusnya bagi menjaya kerjasama pendidikan tinggi Malaysia-Switzerland dengan melibatkan kesarjanaan di UKM, USM, UNIMAP dan semua yang IPTA lain.
Terima kasih saya juga kepada Profesor Datuk Ekhwan Toriman, NC UKM, atas sokongan dan kepimpinannya yang kini agresif menggerak inisiatif pengantarabangsaan. UKM, Universiti Watan, kini melebarkan sayap, menempa nama di persada antarabangsa.
MINDA UKM: Bersama Membangunkan Negara
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram