Dua lelaki warganegara Sierra Leone, Patrick Samba, 34; Ibrahim Jalloh, 36, dan seorang lelaki Liberia, Douglas Daniel Devine, 38, didakwa atas pertuduhan memukul seorang lelaki warga Jepun dan melarikan wang tunai berjumlah USD30,000 dalam kes jual beli “Gold Diamond” di Garden Mall Mid Valley ketika dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

TIGA lelaki masing-masing dua warganegara Sierra Leone dan seorang rakyat Liberia didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas satu pertuduhan merompak secara berkumpulan seorang lelaki Jepun, awal Ogos lepas.

Ketiga-tiga tertuduh,Patrick Samba, 34; Ibrahim Jalloh, 36, masing-masing warga Sierra Leone dan Douglas Daniel Devine, 38, yang merupakan warga Liberia, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Egusra Ali.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan terhadap harta ahli perniagaan warga Jepun, Hiroyuki Azuma, 58, dengan merompak wang tunai sebanyak AS$ 30 ribu di hadapan sebuah restoran dalam sebuah pusat beli-belah di Brickfields, pada 1.30 tengah hari, 9 Ogos lepas.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendak juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Dua lelaki warganegara Sierra Leone, Patrick Samba, 34; Ibrahim Jalloh, 36, dan seorang lelaki Liberia, Douglas Daniel Devine, 38, didakwa atas pertuduhan memukul seorang lelaki warga Jepun dan melarikan wang tunai berjumlah AS$30,000 dalam kes jual beli “Gold Diamond” di Garden Mall Mid Valley ketika dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah tidak mencadangkan sebarang jaminan ke atas ketiga-tiga tertuduh ekoran kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Bagaimanapun, peguam AR. Palaya memaklumkan kepada mahkamah bahawa ketiga-ketiga anak guamnya itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah samada disimpan oleh ejen masing-masing atau di kolej tempat mereka belajar.

“Mohon satu tarikh singkat bagi melakukakn pengesahan ke atas semua dokumen perjalanan mereka sebelum saya membuat rayuan bagi jaminan,” ujar peguam itu.

Hakim Egusra kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas kesemua tertuduh selain menetapkan 25 September depan bagi sebutan kes dan pengesahan dokumen perjalanan mereka.

Ketiga-tiga suspek dikatakan bertemu dengan mangsa dan rakannya bagi berbincang mengenai urusan jual beli emas dan berlian di sebuah pusat beli belah.

Secara tiba-tiba, kesemua suspek telah memukul mangsa dan rakannya sebelum melarikan diri bersama wang tunai berkenaan.

Dalam kejadian itu, mangsa serta rakan mengalami kecederaan ringan.