KENYATAAN NAIB Presiden DAP, Teresa Kok yang mengkritik langkah Jabatan Kemajuan Malaysia (JAKIM) mengkaji cadangan mewajibkan restoran dan syarikat penyedia makanan memiliki sijil halal seolah-olah sengaja memberi gambaran salah terhadap Islam dan pentadbiran dalam Malaysia.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenyataan Ahli Parlimen Seputeh itu juga bersifat terburu-buru dan tidak tertib.
Tegas beliau, dengan menimbulkan gambaran bahawa pelaksanaan (cadangan) pensijilan halal di restoran dan kedai makan melanggar hak dan kebebasan orang bukan Islam, Kok turut memberi gambaran seolah-olah pengamalan Islam di negara ini merupakan ‘ancaman’ kepada mereka.
“Ini sudah tentulah suatu gambaran yang tidak bertanggungjawab, tersasar dan kelihatan bertujuan memecah-belah.
“Jika diteliti, jelas bahawa cadangan JAKIM itu hanya berkait dengan orang Islam, iaitu hak mereka untuk menikmati makanan yang disahkan halal dan juga hak untuk tidak diberi gambaran salah mengenainya.
“Dengan kata lain, restoran dan kedai makan milik bukan Islam tidak seharusnya menerima pengunjung beragama Islam ke premis mereka tanpa sijil halal dan tidak juga dibenarkan ‘memberi gambaran’ bahawa produk yang ditawarkan ‘boleh dinikmati oleh orang Islam’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Kok sebagai ahli politik veteran seharusnya sedar kenyataannya itu memberi gambaran yang salah terhadap Islam dan pentadbiran Islam di negara ini, khasnya mengenai kedudukan dan kebebasan orang bukan Islam dalam kerangka tersebut.
Ujar beliau, sebagai ahli Parlimen penyokong kerajaan, Kok sepatutnya cakna semua dasar baharu kerajaan harus melalui proses yang teratur dan panjang, termasuk mendapat kelulusan Kabinet yang turut dianggotai oleh DAP sebelum boleh dilaksanakan.
“Oleh kerana cadangan ini masih berada pada peringkat kajian JAKIM, adalah lebih munasabah dan sopan sekiranya beliau memanfaatkan saluran dalaman kerajaan sama ada untuk membantah, memberi cadangan balas mahupun mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara ini.
“Sebaliknya, tindakan beliau mengeluarkan kenyataan terbuka telah menimbulkan polemik, ketidaktenteraman dan salah faham awam yang tidak perlu sama sekali.
“Susulan itu, sebagaimana dijangka beberapa laporan polis dibuat terhadap beliau di seluruh negara, sekali gus mendorong polis menyiasatnya di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.
Untuk rekod, baru-baru ini, Kok dalam satu kenyataan di media sosial dilaporkan berkata, pelaksanaan pensijilan halal harus bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.
Beliau berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.
Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), berkata JAKIM sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.
Kenyataan Teresa itu mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Malah, polis membuka kertas siasatan terhadap Teresa bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang mendakwa sijil halal akan menambah beban peniaga dan memalukan negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini pihaknya menerima lima laporan di seluruh negara berkaitan kenyataan itu.
Kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram