Pertama: Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, sumber akidah mereka ialah Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah Rasulullah s.a.w. serta apa yang dianuti oleh salafussoleh dan apa yang mereka faham daripada nas-nas wahyu.
Mereka tidak mendahulukan (mengutamakan) akal, kasyaf, zauq atau mimpi-mimpi berbanding nas naqli dan mereka juga tidak mendahulukan kata-kata seorang syeikh atau wali berbanding Kalam Allah dan kalam Rasulullah s.a.w.
Kedua: Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah tidak menisbahkan diri mereka dalam akidah kepada seseorang individu tertentu atau kepada mana-mana kumpulan tertentu, tetapi nisbah mereka adalah kepada sunnah dan salaf. Mereka tidak menisbahkan diri kepada al-Asy’ari, al Maturidi Jahm, Ja’d, Zaid atau Ubaid, dan begitu juga mereka tidak menisbahkan diri kepada Mu’tazilah, Murji’ah atau Qadariyyah.
Sebaliknya mereka menisbahkan diri kepada sunnah dan para sahabat (berdasarkan hadis yang bermaksud) “Apa yang aku dan sahabat-sahabatku berada di atasnya”.
Ketiga: Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah tidak menisbahkan diri mereka dalam aspek kesufian dan penyucian jiwa kepada individu tertentu atau kepada tarekat tertentu. Mereka tidak menisbahkan diri kepada al-Jilani, al-Rifa’I, al-Qadiri, atau al-Tijani, mahupun kepada tarekat Naqsyabandiyyah, ‘Alawiyyah, Syaziliyyah atau kepada yang lain-lain.
Sebaliknya kesufian, penyucian jiwa dan akhlak mereka bersumberkan kepada orang yang bersabda, (iaitu Baginda s.a.w. yang bermaksud), “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik” dan orang yang akhlaknya adalah al-Quran. Sebagaimana mereka tidak membezakan diri mereka daripada umat dalam prinsip-prinsip agama dengan nama selain daripada Sunnah dan Jamaah, begitu juga mereka tidak membezakan diri mereka dalam kesufian dan penyucian jiwa dengan nama selain daripada Sunnah dan Jamaah.
Keempat: Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah menyembah Allah sebagaimana yang diperintahkan dengan khusyuk dan tunduk, tidak mereka-reka ibadah daripada diri mereka sendiri mengikut hawa nafsu mereka ataupun daripada orang lain, dan tidak menyembah Nya dengan menampar, memukul gendang, menari dan bergoyang.
Kelima: Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah tidak memperuntukkan sedikitpun daripada ibadah kepada selain Allah seperti doa, istighathah, penyembelihan, nazar dan lain-lain ibadah sebagaimana yang dilakukan oleh beberapa golongan dan puak yang bertentangan dengan cara Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah
Keenam: Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah menganjurkan untuk menziarahi kubur kerana ia mengingatkan kepada akhirat. Memberi salam kepada penghuninya dan mendoakan mereka bukan dengan tujuan mengambil berkat daripada-nya atau berdoa kepada penghuni kubur tersebut selain daripada Allah, atau memohon pertolongan daripadanya, atau mengusap kubur, bertawaf di sekitarnya, menyembelih di sisinya dan seumpamanya.
Ketujuh: Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah menetapkan semua sifat bagi Allah Azza wa Jalla yang telah Dia tetapkan untuk Diri Nya atau yang telah ditetapkan oleh Rasul Nya tanpa menafikan atau mentakwilkan sifat-sifat tersebut. Manakala golongan lain menafikan sifat-sifat Nya atau menetapkan sebahagian sifat dan mentakwilkan sebahagian yang lain.
Kelapan: Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah berkeyakinan bahawa iman itu adalah perkataan dan perbuatan, ia bertambah dan berkurang. Mereka tidak mengeluarkan amal jawarih daripada iman seperti golongan Murji’ah dan tidak mengkafirkan ahli kiblat hanya kerana dosa-dosa dan kesalahan besar seperti golongan Khawarij.
Kesembilan: Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah tidak mengkafirkan golongan lain yang berbeza pendapat dengan mereka hanya kerana perbezaan tersebut, kecuali golongan yang bersatu atas prinsip-prinsip kekufuran seperti Ismailiyyah dan Nusayriyyah
Kesepuluh: Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah berlepas diri daripada orang-orang kafir, ateis musyrik, dan murtad, dan mereka memusuhi serta membenci mereka. Mereka mencintai orang-orang beriman yang mengikuti mereka dan menolong mereka mengikut kadar iman dan amal soleh yang ada pada mereka. Bersambung…
Oleh: Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (E-book: Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah siapakah mereka?)
_________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram