KETIKA berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia malam tadi di Kota Kinabalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  berkata, Kerajaan Perpaduan bertekad untuk memartabatkan semua negeri termasuk wilayah Sabah dan Sarawak, selain berharap hasrat itu dilakukan secara bersama.

‘’Tiada negeri yang tidak bermasalah. Tetapi seperti mana saya sebut, timbalan-timbalan Perdana Menteri bersama saya, menteri dalam Jemaah Menteri… kalau mahu Malaysia ini berjaya, siapa sahaja Perdana Menteri, siapa sahaja jadi menteri, sesiapa sahaja pemimpin… dia mesti memimpin seluruh rakyat dan bangsa Malaysia.

“Keluhan anak kecil di Kundasang (Sabah) atau wanita sakit di Kapit (Sarawak) atau Manik Urai di Kelantan, itu keluhan yang harus kita dengar. Walaupun saya akui ada masalah yang harus kita selesaikan,” katanya.

Untuk mencapai imaian Anwar itu, ia perlu melibatkan semua rakyat tanpa mengira fahaman politik, kaum dan agama. Malah paling penting peranan parti-parti pembangkang tidak boleh diketepikan, mereka harus dirangkul bersama tanpa sebarang syarat demi kesejahteraan Malaysia tercinta ini.

 Secara kebetulan, ucapan Anwar disampaikan beberapa jam selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan dua draf dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

 Kata  Fadillah, pendedahan dokumen itu bagi membolehkan rakyat menilai dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai perjanjian terbabit.

  “Niat Kerajaan Madani adalah untuk mewujudkan suasana aman harmoni dan supaya semua ahli Parlimen lebih memfokuskan kepada usaha pemulihan ekonomi dan dapat memainkan peranan dengan lebih konstruktif sebagai semak dan imbang. Ini penting supaya kita dapat menumpukan sepenuh tenaga kita dalam memulihkan ekonomi negara dan mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat, demi kesejahteraan semua dan kemakmuran Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan.

 Meneliti dokumen itu, penulis mendapati antara beberapa persoalan yang bermain di fikiran. Pertamanya, kenapa kerajaan meletakkan syarat supaya pembangkang perlu menandatangani MoU kalau mahu mendapat peruntukan? Bukankah mereka menjadi Ahli Parlimen hasil keputusan rakyat dalam PRU-15 lalu? Sama ada mereka menjadi Ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang, rakyat yang tentukan. Maknanya, sebagai ahli Dewan Rakyat mereka berhak mendapat peruntukan tanpa sebarang syarat bagi membolehkan ia digunakan untuk rakyat di kawasan masing-masing.

 Tak kan bila pilihan raya semua rakyat perlu sokong parti kerajaan sahaja bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan? Lagipun sebanyak manapun peruntukan disalurkan, apabila pilihan raya, rakyat akan menilai sama ada seseorang ahli Parlimen berhak mewakili mereka lagi atau tidak.nMelakukan tindakan yang dilihat menyulitkan ahli Parlimen pembangkang mendapat peruntukan boleh menjadi ‘senjata makan tuan’ kepada kerajaan.

 Jangan lupa dalam PRU-14, BN tumbang setelah 61 tahun memerintah. Ketika itu BN-UMNO adalah kerajaan. Mereka mempunyai segala kemudahan termasuk wakil rakyat mendapat peruntukan tetapi kesudahannya apabila rakyat muak, mereka menolak UMNO mentah-mentah.

 Kalaulah dalam MoU itu menyatakan  Ahli Parlimen pembangkang perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang bagi memastikan ketelusan sebarang keputusan yang melibatkan kepentingan awam seperti mana dalam Perkara 2.1 (c), kenapa pula  pada Perkara 2.1 (d) menyatakan mereka tidak boleh membuat sebarang bangkangan atau halangan sia-sia atau mengganggu tindakan Kerajaan Persekutuan atau Dewan Rakyat sebaliknya bersama-sama berusaha menambah sebarang cadangan dasar demi kepentingan umum negara.

 Soalnya siapa yang akan menentukan apa yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen pembangkang adalah ‘halangan sia-sia’ atau tidak? Adakah selepas ini ayat tersebut akan menjadi ‘senjata’ bagi mengenepikan suara pembangkang membantah sesuatu tindakan kerajaan yang dilihat bermotif politik?

 Bagaimanapun paling menarik perhatian ialah dan dianggap punca PN menolak MoU itu ialah Perkara 2.1 (g,h,i,j)  berkaitan ‘Tututan Kebencian dan Hasutan Kebencian Mengenai Isu Bangsa Agama Dan Raja-Raja.

  Dalam MoU itu dinyatakan bahawa; 

‘’Mengutuk segala propaganda, maklumat palsu, atau sebarang idea yang bertujuan untuk menghasut dan menimbulkan ketegangan kaum, agama, dan/atau budaya serta melakukan sebarang diskriminasi dalam apa-apa bentuk, atau menimbulkan sebarang kebencian terhadap Institusi Diraja dan Raja-Raja Melayu, atau sebarang bentuk penderhakaan terhadap Institusi Diraja dan Raja-Raja Melayu.’’

 ‘Klausa’ ini tidak ada masalah yang menjadi masalahnya bagaimana istilah ‘menghasut’, ‘propaganda’ dan ‘maklumat palsu’ ditafsirkan?

 Perkara 2.1 (g,h,i,j) juga menimbulkan persoalan mengenai ayat ini;

‘’ hak asasi manusia dan kebebasan asasi untuk semua tanpa mengira bangsa, agama, bahasa, budaya, dan agama.’’

‘’ Mengisytiharkan bahawa Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia adalah berdasarkan prinsip bahawa semua manusia dilahirkan bebas dan saksama, bermaruah, dan mempunyai hak asasi dan kebebasan tanpa sebarang perbezaan dari segi bangsa, warna kulit, etnik, atau agama, dan mempunyai hak untuk mendapatkan perlindungan yang saksama daripada sebarang bentuk diskriminasi atau hasutan terhadap sebarang bentuk diskriminasi.’’

  Ayat ‘Kesaksamaan, Kebebasan dan Hak Asasi Manusia’ inilah yang memungkinkan Ahli Parlimen PN menolak MoU tersebut kerana seperti mana kata Hamzah, ‘’Beberapa syarat yang dikenakan dalam MoU ini dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.’’

 Seperkara lagi, apabila PN membuat keputusan menolak MoU itu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, MoU itu berbeza dengan perjanjian kepercayaan dan bekalan (CSA) yang diberikan kepada pembangkang ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.

 Kata Ahmad Zahid, pemerintah ketika itu memerlukan sokongan untuk meluluskan ucapan dan peruntukan belanjawan.

 ‘’Tapi pada kali ini dengan adanya 153 sokongan ahli Parlimen, CSA tidak diperlukan’’, katanya.

 Kalau itu hujah Ahmad Zahid, maknanya kerajaan tidak perlulah takut dengan suara pembangkang kerana kerajaan ada majoriti cukup kukuh iaitu 153 ahli Parlimen. Jadi kenapa perlu buat MoU sebelum memberi peruntukan kepada pembangkang? Kenapa tidak diberi sahaja peruntukan itu tanpa syarat memandangkan sudah pasti 153 ahli Parlimen berkenaan tidak akan meninggalkan kerajaan. Lagi pula sekarang sudah ada Akta Anti Lompat menghalang Ahli Parlimen berpaling tadah.

 Kesimpulannya, penulis bersetuju tidak harus ada gangguan ketika kerajaan sedang menguruskan negara tetapi masalahnya MoU itu sendiri kini dilihat ‘satu gangguan’ dan boleh menggugat kestabilan politik.

 Penulis percaya Anwar tidak ada masalah untuk mengkaji semula pelaksanaan MoU itu kerana beliau sudah berkata,’’mahu memartabatkan semua negeri dan Malaysia bebas daripada fahaman kolot atau jumud, sikap perkauman sempit serta kebencian antara satu sama lain.’’