Coolblog, jenama minuman tempatan terkenal di Malaysia dengan bangganya merasmikan pembukaan cawangan kelima di Emart Lintas Jaya pada 21 September lalu.
Majlis perasmian itu di meriahkan dengan kehadiran tetamu kehormat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Sueli Lew, Coolblog adalah jenama minuman ‘ice blended’ dan ‘smoothie’ Malaysia yang digemari ramai itu telah berjaya beroperasi di Sabah sejak hujung tahun lalu.
“Dengan sokongan kukuh dari Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Coolblog yakin dengan kemampuan untuk mempercepatkan rancangan pengembangannya dengan sasaran meningkatkan jumlah kedai dari 340 kepada 500 di seluruh Malaysia.
“Ini merupakan komitmen Coolblog untuk membawa lebih banyak kedai ke Malaysia Timur dan memperkenalkan minuman kegemaran kami kepada lebih ramai pelanggan.
“Pembukaan cawangan ini bukan sekadar perkembangan perniagaan, malah melambangkan sokongan kukuh daripada PERNAS yang telah menyediakan pinjaman francais untuk memudahkan pengembangan Coolblog.
“Inisiatif ini dilihat sebagai langkah penting dalam membantu usahawan tempatan, terutamanya dalam industri makanan dan minuman,” katanya.
Tambahnya lagi, pembukaan cawangan baru ini adalah satu langkah besar bagi mereka dalam misi untuk membawa jenama lebih dekat kepada semua rakyat Malaysia dan membantu usahawan tempatan berkembang melalui francais.
“Kami berterima kasih kepada PERNAS atas sokongan yang diberikan melalui pinjaman francais ini dan kepada francaisi kami yang berusaha untuk mencapai kejayaan ini,” kongsinya.
Sementara itu, Pengerusi PERNAS Datuk Hazimah Zainuddin berkata, pihaknya komited untuk membantu perniagaan tempatan seperti Coolblog agar terus berdaya saing dan berjaya di pasaran.
“Sokongan ini selaras dengan visi kami untuk memperkasa lebih ramai usahawan bumiputera,” ujarnya.
Selain memperluaskan perkembangan di Malaysia, Coolblog juga merancang untuk meneroka pasaran antarabangsa dengan rancangan menjelajah peluang baharu di luar sempadan negara pada 2025.
Hasrat global ini mencerminkan komitmen Coolblog untuk berkembang daripada jenama buatan Malaysia kepada menjadi pemain utama di pentas antarabangsa.
Majlis yang meriah ini turut menyaksikan interaksi mesra antara tetamu kehormat dan pengunjung setia Coolblog.
Coolblog berharap dapat terus menawarkan minuman ‘ice blended’ dan ‘smoothie’ yang sedap dan berkualiti tinggi kepada komuniti setempat melalui cawangan terbarunya di Emart Lintas Jaya.