Penyeluk saku ada di mana-mana. Ini antara yang paling tidak disukai orang ramai. Tahu-tahu saja, barang berharga sudah hilang tanpa disedari.

Ada ramai penyeluk saku di dunia ini. Tetapi, dalam dunia profesional penyeluk saku, nama Bob Arno dari Amerika Syarikat paling dikenali. Dia pernah dinobatkan sebagai penyeluk saku atau ‘pickpocket’ paling pantas di Bumi.

Dia juga dikatakan pencopet saku yang begitu profesional kerana mampu mengesan taktik dan kaedah yang digunakan seseorang pencopet, malah mampu mencopet kembali daripada pencopet tersebut. Hebat, bukan.

Itulah kelebihan dan keistimewaan luar biasa yang ada pada Arno. Bila-bila masa dan di mana saja dia mampu mengambil barang berharga daripada orang ramai. Termasuklah dompet, jam tangan, telefon, tali leher, tali pinggang, pen dan cermin mata.

Begitu pun, perbuatan ini dilakukannya bukan dengan niat mencuri. Tetapi semua itu adalah sebagai satu persembahan seni kriminologi yang dilakukan dalam kerjaya Arno.

Bob Arno, penyeluk saku paling pantas.

Bergelar penyeluk saku profesional, semuanya bermula atas dasar suka-suka dan hiburan semata-mata. Sejak itu, minatnya dalam bidang pencopetan semakin serius. Ketika berusia 15 tahun, lelaki kelahiran Sweden ini mula bereksperimen dengan kuasa hipnosis untuk digunakan dalam mencuri. Teknik ini adalah inspirasi daripada Dominique Risbourg – pencopet berkuasa pada masa itu.

Yakin dengan kebolehannya, pada usia 20 sehingga 23 tahun, Arno mula menjelajah ke seluruh Asia untuk mempamerkan kemahirannya. Di samping membuat pertunjukan, dia belajar banyak selok-belok teknik mencuri. Selepas itu, ketika umurnya genap 25 tahun, dia meneruskan penjelajahannya ke Eropah dan membuat persembahan di kelab malam serta teater.

Kerana kebolehannya, Bob Arno sering dijemput dalam pelbagai program.

Pada tahun 1993, beliau menjadi warga negara Amerika Syarikat dan mendirikan rumah tangga bersama wanita pilihannya bernama Bambi Vincent. Setelah berkahwin, Arno semakin bersemangat untuk mencari peluang bagi memperluaskan pertunjukan seni mencuri. Dari situ, Arno mula tertanya-tanya, apakah dia boleh membawa unsur-unsur kejahatan dari jalanan ini ke panggung?

Arno dan Vincent kemudian cuba melakukan kajian serius tentang jenayah jalanan. Dengan menggunakan kamera tersembunyi dan peralatan rakaman, mereka mendokumentasikan hal-hal kecurian di jalanan terutama yang terjadi kepada para pelancong.

Bagi melakukan yang terbaik, mereka cuba menempatkan diri di tengah-tengah aksi kecurian. Misalnya, Arno membiarkan pencopet mencuri dompetnya dan selepas itu dengan pantas dia mengambil semula barang miliknya. Apa yang menarik, perbuatan itu langsung tidak diketahui oleh penyeluk saku terbabit.

Arno yang telah kehilangan dompet sebanyak seratus kali berkata, motif rakaman tersebut adalah untuk mendidik orang ramai tentang jenayah jalanan yang semakin serius. Menurut Las Vegas Review Jurnal, semenjak kajian itu, Arno dan isterinya mula menggelar diri mereka sebagai ‘pemburu pencuri’.

Arno dan isterinya melakukan pelbagai dokumentasi jalanan berkaitan penyeluk saku.

Suatu yang tidak dirancang, video rakaman dokumentari tersebut akhirnya tersebar luas dan tanpa diduga telah menjadi popular. Ramai tertarik dengan kajian yang dilakukan oleh Arno dan isterinya itu. Ketelusan dalam mendedahkan perbuatan jenayah itu telah menjadikan rakaman tersebut diguna pakai untuk mendidik para ahli keselamatan dan masyarakat umum tentang kegiatan penyeluk saku.

Kata Arno, kita sukar untuk mengesan penyeluk saku jika berada di tempat orang ramai. Satu cara untuk mengetahui siapa sebenarnya pencopet ialah mereka sering memerhatikan gerak-geri anda. Kegiatan mereka biasanya tidak disedari kerana ada masanya penyeluk saku ini sering menggunakan jaket bertujuan untuk melindungi pergerakan tangannya dari dilihat.

Kemahiran Arno dalam memerhati dan ‘membaca’ bahasa tubuh seseorang menyebabkan dia dijadikan penasihat dan perunding di kalangan ahli keselamatan dan penguat kuasa undang-undang. Tidak hanya itu, dia sering dijemput untuk menunjukkan demonstrasi mengenai teknik-teknik licik dari para penipu dan pencopet.

Arno turut menulis dua buku berjudul Travel Advisory: How to Avoid Thefts, Cons, and Street Scams dan Scam-Proof Your Life: 377 Smart Ways to Protect You & Your Family from Ripoffs, Bogus Deals & Other Consumer Headaches.

Arno dan isterinya turut menulis buku berkaitan tip mengelak penyeluk saku.

Di samping itu, dia turut di undang sebagai penceramah oleh banyak organisasi terkemuka. Ceramahnya kerap meninggalkan kesan mendalam kerana bukan saja penuh dengan pendidikan tetapi juga sarat dengan komedi yang sangat lucu.

Semenjak popular, dia kerap tampil dalam pelbagai program televisyen. Pada bulan Disember 1983, Arno muncul dalam program bual bicara bertajuk Late Night with David Letterman. Arno menunjukkan ketangkasan tangannya dengan mengambil dompet dan jam tangan kesayangan Letterman. Aksinya itu begitu mengejutkan Letterman kerana semuanya berlaku terlalu cepat tanpa disedari pengacara itu.

Kerana kepantasan tangannya itu, Bob Arno pernah dinobatkan oleh Ripley’s Believe It Or Not sebagai manusia yang mempunyai ‘Jari Terpantas di Dunia’.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram