Suasana malam di Pekan Narathiwat, Selatan Thailand, baru -baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

ADAKAH slogan ‘Cuti-Cuti Malaysia’ sudah bertukar menjadi ‘Cuti-Cuti Thailand?’ Sepanjang cuti Hari Keputeraan Nabi Muhammad dan Hari Malaysia serta cuti penggal persekolahan dari 14 hingga semalam (22 September) menyaksikan berduyun-duyun rakyat Malaysia merentas sempadan memasuki Thailand.

Dianggarkan lebih 100,000 pelancong Malaysia dilapor memasuki Thailand sepanjang cuti tersebut. Menurut Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain, ramai ke Thailand melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah. Juga melalui ICQS Kota Putra, Kuala Nerang.

Bukit Kayu Hitam di Kedah, Padang Besar dan Wang Klian di Perlis, Pengkalan Hulu di Perak serta Pengkalan Kubur dan Rantau Panjang di Kelantan merupakan pintu utama rakyat Malaysia ke negara Gajah Putih itu. Mereka boleh membawa kenderaan sendiri dengan syarat memiliki insuran negara tersebut.

Ramai warga Malaysia memilih memandu sendiri untuk menjimatkan belanja lantaran tidak perlu menggunakan pengangkutan awam atau menyewa kereta. Malah mereka lebih mudah mengurus percutian kerana semua menurut jadual sendiri berbanding jika menggunakan pakej pelancongan.

Dari pintu masuk Bukit Kayu Hitam, Padang Besar, Wang Klian, Pengkalan Kubur dan Pengkalan Hulu mereka mudah memandu terus hingga beratus-ratus kilometer ke dalam wilayah Thailand menuju lokasi tarikan pelancong seperti Hatyai. Malah dilaporkan rakyat Thai sendiri tidak ke Hatyai waktu ini kerana telah ‘diserang’ oleh rakyat Malaysia.

Kisah rakyat Malaysia memilih berkunjung ke Thailand sudah lama diperkatakan. Fenomena ini berlaku bukan sahaja pada musim cuti, tetapi pada hujung minggu apabila ramai rakyat Malaysia mengambil kesempatan berlibur ke sana.

Dari satu sudut, keghairahan rakyat Malaysia memasuki Thailand menggambarkan tahap kemampuan kewangan atau kuasa membeli rakyat Malaysia bertambah baik. Tambahan nilai ringgit Malaysia masih mengatasi mata wang Bhatt Thailand.

Namun kecenderungan melancong ke luar negara itu juga menimbulkan persoalan kenapa rakyat Malaysia seolah-olah meminggirkan destinasi pelancongan di negara sendiri? Jika arah aliran ini berterusan ia boleh menjejaskan industri pelancongan dalam negara.

Jika suatu ketika dahulu misalnya Langkawi menjadi destinasi pelancongan utama, kini nama pulau lagenda Mahsuri itu bagai ditenggelami oleh Hatyai, Danok, Phuket, Krabi atau Bangkok. Atau mungkin juga Bali, Bandung dan Padang di Indonesia.

Apa agaknya yang terlalu menyeronokkan di Thailand sehingga begitu ramai sanggup membelanjakan wang dan berbaris panjang di kompleks imigresen di pintu sempadan? Apa yang ada di negeri tersebut yang tidak ada di negara ini?

Jika berminat dengan pasar terapung di Hatyai, di Perlis pun ada pasar seperti ini. Pulau Langkawi juga tidak kurang hebat dan menariknya dibandingkan dengan Phuket atau Krabi. Pulau lagenda itu menawarkan pelbagai produk pelancongan untuk bersantai bersama keluarga.

Adakah kerana faktor makanan? Makanan masakan ala Thai boleh didapati di mana-mana tempat di negara ini. Kerana itu ia tidak wajar dijadikan alasan. Tanpa ke Thailand pun boleh menikmati pelbagai makanan ala Thai.

Tidak salah bagi warga Malaysia melancong ke luar negara. Ingin juga melihat negara orang. Tetapi apabila berduyun-duyun menyeberang sempadan wajar dicari puncanya. 

Kecenderungan ini begitu ketara kini bagai satu perubahan selera melancong yang mendadak.

Ramai yang mengaitkan punca perubahan ini kerana kos pelancongan dalam negara lebih mahal daripada Thailand. Ini termasuk kos tempat tinggal atau hotel, harga makanan dan harga barangan yang dikatakan lebih murah. Kerana itu lebih berbaloi membelanjakan wang di sana.

Ada yang mengatakan para peniaga di Malaysia mengambil kesempatan, khususnya pada musim cuti, untuk ‘mengenakan’ pelancong. Ini masa untuk membuat lebih banyak untung. Mereka dikatakan menjual makanan dan barangan dengan harga mahal menyebabkan pengunjung tawar hati.

Thailand dikatakan destinasi popular pelancong Malaysia kerana kepelbagaian aktiviti, pilihan makanan yang murah serta servis yang bagus. Ini menurut Pengerusi Konsortium Pakatan Pelancongan Dalam Negeri, Uzaidi Udanis.

Menurut beliau, walau pun harga minyak di negara itu mahal terutama bagi rakyat Malaysia yang membawa kenderaan sendiri, harga makanan di Thailand murah kerana kebanyakan produk makanan dan barang mentah mereka keluarkan sendiri. Ini membolehkan kos produk pelancongan negara itu lebih murah.

Ini ditambah dengan hakikat bahawa pelancongan di kawasan Selatan Thailand, yang sering menjadi tumpuan rakyat Malaysia, memberi fokus kepada pelancongan kekeluargaan. Ini dianggap daya penarik rakyat Malaysia membawa keluarga melancong ke sana.

Dalam menghadapi persaingan hebat Thailand, adalah penting ektor pelancongan di Malaysia berusaha menyemarak serta mengembalikan kegemilangan pelancongan dalam negeri. Bukan sahaja untuk rakyat tempatan tetapi sebagai menarik pelancong luar.

Kemudahan pelancongan perlu sentiasa terkini atau ‘up to date’. Yang ada perlu ditambah baik. Mungkin pelancong tempatan sudah jemu dengan apa yang ada. Kerana itu yang lama wajar diperharui, yang malap disegarkan kembali.

Perkhidmatan atau servis mesti bagus sepanjang masa. Hentikan perangai mahu mengaut banyak untung, elak mengenakan caj tinggi untuk kediaman, makanan atau barangan. Ini tidak baik untuk kemajuan sektor pelancongan. Tidak guna untung segera tetapi merugikan diri sendiri dan negara untuk jangka masa panjang.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram