Islam telah menekankan kepentingan perkahwinan dan menguatkan perhubungan keluarga. Islam juga menekankan bahawa perkahwinan merupakan sunnah dan satu daripada cabang ibadah yang menjanjikan kelebihan dari Allah. Sabda Rasulullah s.a.w.
“Bila di antara kamu ada yang mampu berkahwin, hendaklah ia berkahwin, kerana nanti matanya akan lebih terjaga dan kemaluannya akan lebih terpelihara…” (HR Abu Daud)
Adapun rumah tangga adalah alam baru yang perlu ditempuh tanpa tempoh percubaan. Kebahagiaan atau sebaliknya amat bergantung kepada sejauh mana persediaan pasangan itu dalam bekerjasama dalam mewujudkan keharmonian dan persefahaman sesama mereka.
Dalam surah an-Nahl: 80 Allah S.W.T. berfirman,
“Dan Allah menjadikan bagimu rumah-rumahmu sebagai tempat tinggal…”
Islam telah menggariskan perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupan manusia, keamanan dan kesejahteraan dalam sesebuah keluarga adalah faktor terpenting bagi mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni, bahagia dan cemerlang.
Tugas setiap ahli keluarga hendaklah dilaksanakan dengan sempurna mengikut hak masing-masing. Suami mempunyai hak ke atas isteri dan anak-anak, demikian jugalah sebaliknya. Jika setiap anggota keluarga tahu melaksanakan hak mereka, pastinya akan wujud keharmonian dalam keluarga mereka.
Allah berfirman dalam surah al-Baqarah: 228 mafhum Nya,
“…dan isteri-isteri mempunyai hak yang sama seperti hak suami terhadap mereka dengan cara yang sepatutnya. Dalam pada itu orang-orang lelaki mempunyai satu darjah kelebihan atas orang-orang Perempuan. Dan ingatlah Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana”
Sebuah keluarga Islam wajib menjadikan Islam sebagai panduan dan cara hidup, sama ada akidah, syariah atau akhlak Islam perlu menjadi dasar hubungan kekeluargaan ini. Adalah menjadi tanggungjawab setiap pasangan suami isteri untuk mendukung dan menghayati konsep mawaddah dan rahmah seperti firman Allah dalam surah ar-Rum: 21,
“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya. Dan dijadikan Nya di antaramu rasa kasih dan sayang…”
Terdapat beberapa ciri untuk membentuk sebuah keluarga yang cemerlang, antaranya bertakwa, bekerjasama, saling memahami, sayang menyayangi dan bertanggungjawab. Ini disebut dalam surah as-Shura: 38,
“…dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka”
Konsep ketakwaan kepada Allah ini harus diterapkan dalam setiap ahli keluarga, iaitu taat kepada perintah dan menjauhi segala larangan Allah.
Solat lima waktu contohnya, tidak harus diabaikan oleh setiap ahli keluarga. Anak-anak yang masih kecil seharusnya dididik untuk mengerjakan solat supaya apabila mereka dewasa kelak, mereka memahami bahawa sembahyang itu merupakan satu tanggungjawab dan kewajipan sebagai umat Islam.
Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim dan Abu Daud bersabda,
“Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka ketika mereka berumur 10 tahun sekiranya mereka enggan, dan pisahkan tempat tidur mereka”
Keharmonian dan kebahagiaan sebuah keluarga terletak di tangan ahlinya sendiri. Malah di Malaysia, pihak berkuasa agama juga telah merangka pelbagai akta yang dinamakan Rang Undang-Undang Keluarga Islam melalui Jabatan Agama setiap negeri.
Tujuannya tidak lain bagi menjaga dan memelihara keharmonian dalam sesebuah keluarga agar tidak berlaku sebarang penganiayaan atau ketidakadilan antara pasangan. Ini menunjukkan betapa Islam begitu menitik beratkan hubungan yang harmoni dalam rumahtangga.
Tidak dinafikan kita berhak mendapatkan apa yang kita inginkan sekiranya ia setimpal dengan apa yang kita usahakan. Namun dalam masa yang sama kita juga perlu akur bahawa hidup berumahtangga adalah berpaksikan kepada saling melengkapi setiap kekurangan pasangan melalui sikap bertolak ansur. Insya’ Allah rumahtangga yang dibina akan harmoni sehingga ke akhir hayat. Wallahu a’lam
______________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram