PENYANYI Aisha Retno, 24, tidak berniat mencipta sensasi susulan tindakannya mencampur adukkan tarian moden dengan pakaian tradisional Kelantan menerusi muzik video single terbaharunya, Samudera.
Sebaliknya Aisha atau Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam,24, hanya berniat untuk mempersembahkan sekaligus memperkenalkan budaya dan tradisi negeri Cik Siti Wan Kembang itu kepada umum menerusi klip video terbabit.

“Saya akur mengenai itu, ramai juga yang menyentuh bab pemakaian saya dalam muzik video itu.
“Saya tahu isu baju tradisional ini sangat tinggi sensitivitinya. Sebab itu, sebelum membuat keputusan untuk memakai busana Cik Siti Wan Kembang dalam muzik video, saya rujuk dulu dengan pihak yang arif.
“Saya pakai busana itu bukan semata-mata untuk nampak cantik, tapi sebenarnya saya nak sampaikan mesej bahawa tidak salah untuk mempersembahkan tarian moden sambil menggayakan persalinan tradisional.
“Dan dalam muzik video itu pun saya tidak mengenakan busana berkenaan dalam keadaan berkemban, sebaliknya saya tutup bahagian yang terdedah dengan kain.
“Apa pun kalau ada yang kurang senang, saya mohon maaf,” katanya kepada URTV.
Aisha berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran lagu Samudera di ibu negara.

Muzik video Samudera yang dilancarkan secara rasmi di Youtube sejak 13 September lepas telah menerima lebih 55,000 jumlah tontonan.
Pada masa sama, Aisha turut mendedahkan mengenai usahanya menguasai dialek Kelantan demi single terbaharunya itu.
Samudera adalah salah satu cara dia mencabar diri dan keluar dari zon selesa.
“Ramai ingat saya orang Jawa tapi sebenarnya saya ada darah Kelantan di sebelah keluarga bapa.
“Meskipun ayah saya orang Kelantan, saya tidaklah fasih bertutur dalam dialek negeri itu sebab jarang menggunakannya di rumah.
“Tapi, saya perbaiki dan lebih mendalami bahasa Kelantan dengan bantuan ayah saya. Prosesnya bukan mudah. Seperti bahasa Jawa, bagi saya bahasa Kelantan juga agak susah untuk dipelajari.
“Tapi, kita tak boleh ambil ringan pasal bahasa dan budaya. kalau mahu ketengahkan, biarlah dengan betul dan kena berhati-hati,” ujarnya yang mengambil masa dua bulan bagi menguasai dialek Kelantan dengan baik.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

