DALAM usaha mendapatkan penajaan wang ringgit untuk menampung kos pementasan teater Dang Anum (The Untold Story), pengarah, Amirul Haswendy Ashari, akui ada juga pihak yang berhasrat menaja gula paket.
“Pada awal memang agak terkejut sebab diikutkan kami perlukan penajaan wang tunai untuk menampung kos pementasan teater ini ke Melaka dan Johor, selain rakaman dokumentari khas di Batam serta Riau, Indonesia.
“Terfikir juga, nak buat apa dengan 700 paket gula yang banyak? Tapi apabila difikirkan semula, semua ini rezeki kepada penonton yang datang menonton teater ini kelak,” katanya berterima kasih kepada syarikat pengeluar gula tempatan, MSM.
Amirul turut meluahkan rasa terharu kerana rakan artis seperti Hairul Azreen dan isteri, Hanis Zalikha memberi sokongan membeli tiket korporat pada jumlah yang banyak.
Penjualan tiket korporat menonton teater ini adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar sekolah, IPT, NGO dan rumah kebajikan tempatan menonton pementasan.
“Sejujurnya, dana diterima dari Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) pada tahun ini terlalu sedikit, yakni tak sampai RM100,000 berbanding tahun lalu untuk menampung kos penganjuran teater di tiga lokasi.
“Pun begitu, kami tetap bekerja keras dalam sumber yang sangat minimum demi memastikan pementasan kali ini mencapai matlamat,” katanya yang memerlukan tambahan RM250,000.
Persatuan Seni dan Budaya Redholah (The Redholah) bakal mementaskan Teater Dang Anum (The Untold Story) pada hujung minggu ini bermula 27 sehingga 29 September 2024 bertempat di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin (Cempaka Sari), Putrajaya.
Antara pelakon adalah Adam Shahz, Ain Sufia, Along Eyzendy, AG Hafiz, Karl Dannish, Aman Salleh, Md. Husin dan Affan Mohd.
Tiket pementasan boleh dibeli melalui www.ticket2u.com.