Dikatakan Dajal berkemampuan meniru mukjizat Nabi Isa seperti menyembuhkan penyakit dan menghidupkan orang mati dengan bantuan syaitan. Malah Dajal mempunyai kehebatan yang amat hebat untuk menipu dan memperdaya pelbagai golongan manusia termasuklah kaum Yahudi dan umat Islam sehingga ramai yang menjadi pengikutnya.
Sebenarnya manusia tidak perlu rasa terlalu kagum dengan keajaiban yang mampu dilakukan oleh Dajal kerana Allah sudah menunjukkan keajaibannya lebih daripada itu.
Tentang keajaiban ini, ulama telah senaraikan beberapa kategori. Pertamanya irhas, yang bermaksud tanda-tanda sebelum kenabian. Contoh yang boleh dilihat adalah peristiwa awal kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. selain itu juga peristiwa Nabi dibelah dadanya pada usia 5 tahun.
Selain itu mukjizat, merupakan anugerah yang Allah berikan kepada Nabi untuk membuktikan kekuasaannya. Seperti Nabi Musa yang dikurniakan tongkat sakti sehingga boleh mengalahkan tukang sihir paling hebat pada zaman itu.
Seterusnya karamah, merupakan anugerah yang Allah berikan kepada orang biasa. Karamah ini tidak semestinya berlaku dalam keadaan ajaib seperti yang difikirkan oleh manusia biasa.
Kadangkala orang menilai karamah ini benda yang ajaib sahaja. Tapi sebenarnya karamah ini perkara yang boleh berlaku sehingga tak terjangkau dek akal.
Dan manusia selalu fikir keajaiban itu berlaku apabila seseorang itu mampu berjalan atas air dan pelbagai lagi tapi sebenarnya pengertian itu lebih luas. Sebagai contoh, Imam Thabari yang mampu mengarang kitab tafsir sehingga 30 jilid dan kitab tarikh (sejarah) sehingga berpuluh jilid.
Bahkan para sahabatnya pernah meminta Imam Thabari meringkaskan karyanya kerana mereka merasakan tidak mampu untuk membaca kerana tidak ada masa.
Walhal, setelah diringkaskan para sahabatnya masih tidak mampu untuk membacanya. Hendak kata, ajaibnya masa yang Imam Thabari ada sehingga mampu melakukan semua itu.
Perkara ini kalau kita nilai sesuatu yang ajaib. Memang ajaib! Bayangkan, kita semua diberi masa selama 24 jam tapi tidak boleh hendak menghasilkan walaupun sebuah karya. Apatah lagi sebanyak Imam Thabari.
Mengambil contoh lain, Hasan Al-Banna. Ketika berdakwah di serata negara Islam, dia boleh berada di banyak tempat dalam masa yang singkat. Sedangkan dia berkenderaan sama seperti manusia yang lain.
Kalau difikirkan logik akal, masa manusia terbahagi sama, tapi mengapa ada manusia lain boleh lakukan lebih lagi daripada kita? Seolah-olah mereka ada 25 jam sehari. Allah mungkin mengurniakan manusia ini masa yang panjang, memendekkan perjalanannya ke sesuatu tempat dan dimudahkan langkah mereka. Jadi boleh dikatakan sebagai sebuah keajaiban yang juga Allah kurniakan kepada Dajal.
Tiga perkara di atas adalah keajaiban yang membawa kepada kebaikan, namun ada dua jenis keajaiban yang memburukkan iaitu sihir dan istidraj.
Sihir ini merupakan satu kelebihan tapi membawa kepada keburukan kerana manusia boleh mensyirikkan Allah. Sihir ini membuatkan manusia meminta pertolongan makhluk selain daripada Allah.
Kemudian Istidraj adalah dikurniakan Allah dalam bentuk kekayaan dan nikmat. Tetapi segala kenikmatan itu membawanya jauh daripada Allah. Rasulullah s.a.w bersabda
“Apabila kamu melihat Allah memberikan nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat, ketahuilah orang itu telah menerima istidraj daripada Allah.” (HR Ahmad, at-Thabrani & Baihaqi).
Konklusinya, apa-apa sahaja keajaiban yang dibawa oleh manusia bukanlah tidak boleh dikagumi tetapi tidaklah sampai mensyirikkan Allah. Dan manusia tidak perlu untuk merasa pelik dengan keajaiban yang dibawa oleh Dajal kerana Allah telah menjadikan pelbagai kejadian pelik dan ajaib sejak dahulu lagi dengan kekuasaan Allah.
Apa yang penting kuatkan iman dan tingkatkan takwa. Patuh dengan segala suruhan Allah yang wajib dan tinggalkan segala larangan Nya. Insya Allah pasti kita akan dipelihara dari terpedaya dengan tipu daya Dajal. Wallahu a’lam
_________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram