Pada zaman Nabi s.a.w. ada seorang lelaki yang dikenali di kalangan para sahabat sebagai seorang yang begitu suka bergurau dan membuat mereka ketawa. Adakalanya gurauan lelaki itu dianggap keterlaluan, tetapi dia tetap diterima baik oleh Rasulullah serta para sahabat.
Nama lelaki itu adalah Nu’ayman ibnu Amru dari Bani Najar di Madinah. Nu’ayman mempunyai keperibadian yang sangat menarik. Beliau bukan sebarang sahabat, tetapi seorang yang turut berjuang menegakkan Islam dalam peperangan-peperangan besar bersama Nabi seperti perang Badar, Uhud, Khanda’ dan lain-lain. Beliau juga adalah salah seorang sahabat Nabi yang berkahwin dengan saudara perempuan Abdul Rahman bin Auf r.a.
Sungguhpun begitu, personaliti Nu’ayman sedikit berbeza. Beliau amat gemar berjenaka dan mengusik para sahabat lain. Malah Rasulullah sendiri sering menjadi mangsa usikannya. Namun mengenali keperibadian Nu’ayman, Baginda tidak sedikit pun memarahinya malah turut ketawa dengan usikan lelaki tersebut.
Bukan buahan percuma
Pada suatu hari, satu kabilah dari luar Madinah telah tiba dengan membawa buah-buahan eksotik dan mahal. Nu’ayman mengambil buah-buahan itu dan berjanji akan membayar harganya kemudian.
Selepas itu dia memberikannya kepada Rasulullah sebagai hadiah dan Baginda memakan buah-buahan itu dengan enaknya. Tetapi kemudian apabila penjual buah-buahan itu datang menuntut wang mereka, Nu’ayman berkata,
“Aku tidak menjamahnya. Rasulullah yang memakannya jadi mintalah bayaran darinya”
Penjual buah itu kemudian menemui Nabi dan meminta wang mereka. Baginda terkejut dan berkata,
“Ia diberikan kepadaku sebagai hadiah.” Lalu Baginda memanggil Nu’ayman dan bertanya,
“Wahai Nu’ayman, bukankah kamu katakan ini adalah hadiah dari padamu?”
Jawab Nu’ayman dia mahu Baginda menjadi orang yang pertama merasa buah-buahan itu dan berasakan Baginda juga paling layak merasainya, tetapi dia tidak mempunyai wang.
“Jadi ya Rasulullah, bayarlah kepada orang itu” kata Nu’ayman.
Rasulullah s.a.w. ketawa mendengar kata-kata Nu’ayman dan membayarnya.
Begitulah Nu’ayman yang suka mengusik dan mengenakan Rasulullah. Dalam satu kisah yang lebih ekstrem, seorang tetamu Rasulullah mengikat untanya di luar rumah Baginda. para sahabat yang kenal benar dengan sikap Nu’ayman memberitahunya ada seekor unta di luar. Nu’ayman kemudian menyembelih unta tersebut dan memberi dagingnya kepada orang ramai.
Apabila tetamu itu keluar, dia terkejut dan menjerit,
“Di mana untaku. Di mana untaku?”
Rasulullah kemudian bertanya kepada para sahabat mengenainya, dan mereka memberitahu Nu’ayman mengambil unta itu dan telah menyembelihnya. Mereka juga memberitahu Baginda di mana dia berada.
Rupanya Nu’ayman bersembunyi di dalam parit dan menutup dirinya dengan pasir serta daun, dan Rasulullah kemudian mengangkatnya, menyapu pasir dari mukanya sambil ketawa bersama-sama Nu’ayman.
Baginda s.a.w. kemudian membayar harga unta tersebut kepada tetamunya, malah memberi lebih lagi dan kemudian memakan daging unta yang telah disembelih itu. Sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah terhadap Nu’ayman menunjukkan Baginda boleh menerima gurauan, turut ketawa dan menghargai personaliti seperti sahabat ini yang gemar berjenaka dengan niat yang baik.
_________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram