“ANAK-anak bukan tikus makmal yang kita nak uji kaji mereka. Sekejap ada peperiksaan sekejap tidak ada.” Ini pendirian tegas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, sebagai reaksi kepada gesaan dikembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Sebelumnya beberapa pihak, termasuk mantan Menteri Pendidikan, Datuk Mahdzir Khalid, mahu pemansuhan kedua-dua peperiksaan tersebut dikaji semula dan dikembalikan. Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga mahu UPSR dikembalikan.
Selain itu, terdapat juga tokoh akademik yang menyokong peperiksaan berkenaan dikembalikan. Antaranya Pakar Pusat Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Anuar Ahmad.
Untuk rekod, peperiksaan UPSR dimansuh pada 2021 sementara PT3 dimansuh pada tahun 2022. Pemansuhan kedua-dua peperiksaan tersebut diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Radzi Jidin.
UPSR untuk murid darjah enam mula diperkenal pada 1988 dan sering diguna sebagai kayu ukur memilih pelajar memasuki tingkatan satu Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Peperiksaan PT3 untuk pelajar tingkatan tiga mula dilaksanakan pada 2014 menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Peperiksaan PMR pula menggantikan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP).
Keputusan peperiksaan PMR juga antara kriteria diguna bagi memilih pelajar cemerlang memasuki tingkatan empat SBP atau MRSM.
Selepas pemansuhan UPSR dan PT3, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dilaksanakan sebagai kaedah penilaian pelajar. Sistem ini dianggap lebih baik kerana ia memberi fokus kepada pembangunan holistik pelajar.
Ini kerana PBS dan PDS memberi ruang dan peluang lebih luas membangunkan potensi pelajar secara menyeluruh dan berterusan. Keupayaan murid tidak hanya diukur daripada sudut akademik, tetapi merangkumi kombinasi lain seperti Pentaksiran Aktviti Jasmani; Sukan dan Kurikulum serta Pentaksiran Psikometrik.
Pemansuhan UPSR baharu tiga tahun sementara pemansuhan PT3 baharu dua tahun. Oleh itu gesaan agar ia dikaji semula tidak wajar. Polisi tidak harus diubah dalam tempuh begitu singkat, seolah-olahnya lain menteri lain pula pendekatan. Tidak kira siapa juga yang memimpin Kementerian Pendidikan perlu memastikan polisi kerajaan tidak diubah sesuka hati.
Tahniah kepada Fadhlina kerana bertegas tidak mahu menjadikan murid dan pelajar sebagai tikus makmal serta tidak akan mengembalikan UPSR atau PT3. Menurut beliau, mengembalikan peperiksaan yang sudah dimansuhkan tidak boleh dilihat daripada satu aspek sahaja.
Sebaliknya, sebarang cadangan ke arah itu memerlukan pandangan menyeluruh meliputi semua pemegang taruh. Tugas Kementerian Pendidikan ialah memastikan apa sahaja keputusan yang telah diambil tidak menjejaskan pelajar. Untuk itu kementerian akan terus kekal dengan apa yang dilaksanakan kini.
Bagi penulis, Fadhlina membuat keputusan tepat. Kenapa perlu dirombak sistem yang baharu sahaja dilaksana, sebelum pun dapat disaksikan sejauh mana hasil PBS dan PDS. Dalam tempuh singkat, tentu belum dapat dilihat sepenuhnya kesan pentaskiran tersebut.
Berilah masa untuk sistem itu benar-benar ‘menyerap’ dalam sisitem pendidikan. Beri ruang kepada pemegang taruh termasuk guru dan murid memahami dan membiasakan diri, bukan ‘mengejutkan’ mereka dengan rujuk kepada UPSR dan PT3 pada waktu ini.
Hasil PBS dan PDS akan mengambil sedikit masa kerana setiap yang baharu perlukan penyesuaian. Kerana itu juga Kementerian Pendidikan memberi tumpuan serius kepada pemerkasaan penilaian PBS dan PDS, serta memperkasa latihan untuk guru.
Pihak kementerian sendiri ada agenda yang lebih besar dan utama, khususnya Kurikulum Persekolahan 2027 dan Pelan Pembangunan Pendidikan baharu. Difahamkan, semua input, termasuk UPSR, sudah berada dalam sesi libat urus KPM melalui pelan pembangunan berkenaan.
Ada yang berpendapat pemansuhan UPSR dan PT3 menyebabkan pencapaian murid menurun dengan drastik, terutama pelajar luar bandar, dalam ujian kemasukan ke tingkatan satu dan empat SBP atau MRSM.
Pemilihan ke SBP atau MRSM berdasarkan teras utama iaitu pelajar pintar. Ada peperiksaan atau tidak, pelajar yang rajin dan ‘terbaik antara yang terbaik’ atau ‘cream of the cream’ tetap ada untuk mengisi kemasukan tersebut.
Sejak pemansuhan UPSR dan PT3, kemasukan ke SBP dan MRSM tidak terjejas. Tidak ada isu besar timbul. Semua sistem berjalan seperti biasa. Ini membuktikan penilaian PBS dan PDS telah menampakkan hasil dan sesuai diterima pakai.
Oleh itu kita perlu akur dan menyokong ketetapan kerajaan tidak mengembalikan UPSR dan PT3. Pada peringkat ini usah ada gangguan terhadap pelan jangka panjang kementerian dalam memperbaiki dan menambah baik sistem pendidikan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram