Ahmad Zahid Hamidi bersama Anthony Loke ketika penamaan calon PRK DUN Mahkota.

CUBA kaji keputusan pilihan raya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota berikut:

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac 2022. 

Barisan Nasional (BN) – 6,611 undi 

Pakatan Harapan (Amanah) – 11,445 undi

Perikatan Nasional (PH-Bersatu) – 7,614 undi

Majoriti BN menang – 5,166 undi

Jumlah pengundi berdaftar : 65,074 orang

Peratus Keluar Mengundi  : 55.7 peratus

*BN-PH belum bergabung*

Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 28 September 2024

BN –27,995 undi

PN-Bersatu – 7,346 undi

Majoriti BN menang – 20,684 undi

Jumlah pengundi berdaftar : 66,318 orang

Peratus Keluar Mengundi  : 53.84 peratus

*BN-PH bergabung*

* UMDAP gagal wujud keterujaan pengundi

Perbandingan kedua-dua keputusan pilihan raya ini membuktikan tiada apa yang signifikan apabila BN (UMNO) bergabung tenaga dengan PH pada PRK Mahkota pada 28 September lalu.

Jika undi BN-PH pada PRN 2022 digabung, undi keseluruhan kedua-dua ‘gergasi’ politik ini ialah 28,056 undi manakala pada PRK 2024 biarpun kedua-dua parti sudah bergabung secara rasmi dalam kerajaan, perolehan undi BN ialah 27,995 undi.

Peratusan keluar mengundi pada PRK 2024 ialah 53.84% berbanding PRN 2022 iaitu 55.7 peratus – tiada banyak bezanya, tetapi apa yang menarik untuk diperhatikan ialah  biarpun BN-PH turun ke gelanggang sebagai satu pasukan namun ia tidak mampu mencetuskan keterujaan dalam kalangan pengundi di DUN  itu untuk keluar mengundi. 

 Jumlah pengundi berdaftar pada 2022 ialah 65,074 orang manakala pada 2024 jumlah pengundi mendaftar ialah 66,318 orang. Walaupun ada peningkatan namun peratus keluar mengundi terus rendah.

 Keadaan itu membuktikan pengundi DUN Mahkota yang keluar mengundi kekal seadanya atas sebab itulah jumlah undi diperolehi calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah tiada yang luar biasa sangat, cuma membuktikan PH khususnya DAP menunaikan janji mereka untuk pastikan BN menang.

 PN pula melalui Calonnya daripada Bersatu, Mohamad Haizan mengekalkan undi sekitar 7,000  undi yang diperolehi oleh parti itu pada PRN lalu. Dalam PRN 2022, PN mendapat 7,614 undi  manakala dalam PRK 2024 (7,347 undi) – kurang 267 undi. Maknanya, penyokong PN tidak berkurangan dań kekalahan PN bukanlah luar biasa.

*Bukti gabungan ‘luar biasa’, jangan alergi label ‘UMDAP’

Penulis bersetuju dengan kenyataan pemimpin UMNO dan PH bahawa kemenangan di Mahkota adalah keputusan ‘luar biasa’. Memang ‘luar biasa’ apabila dua parti khususnya UMNO-DAP yang bermusuh berpuluh-puluh tahun dan pernah melabel antara satu sama lain sehingga ke tahap UMNO dituduh punca masalah negara bersedia mengenepikan semua itu ‘Untuk Malaysia Dicintai Aman, Progresif’ (UMDAP).

 DAP tidak pernah kisah dengan label itu, sebaliknya mereka membantu UMNO untuk menang di Mahkota sekaligus membuktikan Johor adalah kubu kuat UMNO.

 Oleh itu pemimpin UMNO tidak perlu sensitif atau alergi sangat dengan label ‘UMDAP’. Sudah terbukti ia memberi keuntungan politik kepada mereka. Tanpa kerjasama PH khususnya DAP, belum pasti BN mampu memperolehi undi sebanyak itu biarpun peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina dikatakan rendah. Itu senario biasa kerana ia pernah berlaku pada PRN Johor 2024.

  

Justeru pemimpin UMNO seperti Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki tidak perlu bimbang dengan label ‘UMDAP’ kerana ia bukan satu propaganda seperti mana beliau dakwa, sebaliknya satu dimensi politik baru untuk UMNO.

  Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr, Puad Zarkashi pun sudah teruja dengan kerjasama UMDAP dengan menegaskan persefahaman antara kedua parti itu adalah kunci utama kelangsungan Kerajaan Perpaduan.

 Cuma sedikit ingatan untuk Asyraf Wajdi dan Puad, kemenangan di Mahkota dan sebelum itu di Nenggiri bukan bermaksud UMNO sudah kembali kuat. Ia memandangkan kedua-dua kawasan itu adalah kubu UMNO dan ia bertambah kukuh dengan kewujudan UMDAP. Nanti kita tengok bagaimana keputusan di kawasan  lain yang bukan kubu UMNO.

Apa nasib parti Amanah selepas ‘pengorbanan luar biasa’?

Masihkah kita ingat sebelum PRK DUN Mahkota, parti Amanah bersemangat untuk bertanding di situ. Walaupun kalah kepada BN pada PRN 2024 di kawasan berkenaan namun Amanah percaya dengan adanya gabungan ‘luar biasa’ antara BN-PH, parti itu boleh menambah kerusi DUN di Johor.

 Bagaimanapun hasrat Amanah ditentang habis-habisan oleh UMNO kerana kerusi itu dimenangi oleh UMNO dalam PRN 2024. Disebabkan sudah ada kesepakatan ‘siapa menang dia bertanding’, maka Amanah terpaksa akur, apatah lagi DAP turut bersetuju DUN Mahkota milik UMNO.

 Kini selepas BN menang, Amanah antara parti paling awal dalam PH mengulangi pendirian mahukan Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di Johor. Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda berkata, penubuhan Kerajaan Perpaduan di negeri itu adalah untuk mengekalkan momentum perpaduan dan sokongan rakyat.

Katanya, kesepakatan serta kerjasama itu jelas ditonjolkan ketika kempen di DUN Mahkota dalam membantu calon BN memenangi PRK terbabit.

“Saya menyaksikan kesungguhan jentera pilihan raya dan kempen PH (Pakatan Harapan) terutamanya dari Amanah yang turun dari seluruh negara, bergilir-gilir memastikan mesej perpaduan sampai ke seramai mungkin pengundi di Dun Mahkota,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun kenyataan, Hasbie dijawab oleh Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr.Muhamad Akmal Saleh yang menegaskan, tiada keperluan untuk memaksa kepimpinan kerajaan BN Johor dalam membentuk kerjasama perpaduan bersama PH di negeri itu.

 Ini kerana kata beliau, Johor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan barisan Exco sudah terbukti mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik sehingga menyumbang kepada kemenangan dalam PRK DUN Mahkota.

 Katanya, atas dasar itu momentum berkenaan perlu diteruskan sehingga habis penggal pentadbiran sedia ada.

“Ini terbukti apabila kejayaan di PRK Mahkota mencatatkan majoriti berkali ganda yang mana ia adalah hasil kepercayaan rakyat kepada kerajaan negeri Johor sedia ada. Jadi biarkan momentum yang baik ini diteruskan…tiada keperluan untuk memaksa Menteri Besar (berbuat demikian),” katanya .

 Pendirian tegas UMNO bukan sahaja dizahirkan oleh Dr.Muhamad Akmal tetapi juga beberapa pemimpin lain. Keadan itu sekaligus memberi isyarat kepada parti Amanah, jangan bermimpi untuk berada dalam kerajaan di Johor.

 Amanah harus ‘bermuhasabah’ dan memahami bahawa Johor adalah kubu kuat BN-UMNO, sebab itulah gabungan itu boleh menguasai 40 daripada 56 kerusi  DUN. Daripada 40 kerusi itu, 33 kerusi DUN adalah milik UMNO.

 

Tidak perlu tubus Kerajaan Perpaduan di Johor kerana BN-UMNO sudahpun mentadbir dengan baik. Mungkin atas sebab itu juga, DAP ‘tidak banyak bunyi’ dalam isu berkenaan. 

 Keadaan itu memungkinkan impian parti Amanah tidak akan kesampaian. Selain itu keampuhan hubungan UMDAP seperti mana ditunjukkan di DUN Mahkota mewujudkan tandatanya, apakah nasib Amanah selepas ini? Ia memandangkan PH kini sudah ada UMNO – satu parti yang selama ini menjadi idaman PKR dan DAP untuk bekerjasama dalam usaha meraihkan sokongan pengundi Melayu. 

Tidak mustahil selepas ini, UMNO akan meminta lebih banyak kerusi milik Amanah untuk bertanding dalam PRU16 dengan alasan, ia mampu memberi kemenangan kepada PH melalui UMDAP. Jika itu berlaku ‘tapak politik’ Amanah semakin ‘mendap’ kerana terbukti kerjasama UMDAP lebih kukuh berbanding AMDAP  (Amanah-DAP) yang menumpang ehsan PKR-DAP untuk menang kerusi dalam pilihan raya.

Mengenai pencapaian Perikatan Nasional dalam PRK DUN Mahkota, penulis berpendapat gabungan itu khususnya Bersatu memerlukan perubahan dan strategi luar biasa’ jika mahu ‘meranapkan’ UMDAP. Cabaran untuk PN-Bersatu amat getir apatah lagi apabila mereka ibarat ‘disuruh berenang tetapi ‘tangan dan kaki diikat’ memandangkan akaun parti sudah dibeku. 

 Kesimpulannya, DUN Mahkota memang luar biasa tetapi bukan dari segi keputusan sebaliknya  drama politik semasa dan selepas PRK berakhir.