RAYUAN Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap mereka akan didengar pada 6 Jan tahun depan.
Prosiding kebankrapan itu adalah kerana mereka gagal melunaskan tunggakan cukai masing-masing sebanyak RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.
Peguam Wee Yeong Kang, yang mewakili bekas Perdana Menteri dan anak lelakinya itu, berkata rayuan tersebut difailkan pada 6 Ogos lepas.
“Prosiding pendengaran rayuan itu akan berlangsung di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Suhendran Sockanathan @ Saheran Abdullah menerusi aplikasi Zoom,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada 16 Okt 2023, Mahkamah Persekutuan memutuskan kedua-dua beranak perlu melunaskan cukai tertunggak selepas menolak rayuan mereka untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Baca artikel lain: Bekas CEO 1MDB bukan saksi yang boleh dipercayai – Peguam Najib
Najib dan anaknya merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memasukkan penghakiman dalam kes tunggakan cukai mereka.
Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.
Dua Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai daripada Najib dan Mohd Nazifuddin bagi tempoh 2011 dan 2017.
Mereka gagal mengetepikan penghakiman terus itu di Mahkamah Rayuan pada September 2021.
Pada 10 Mei 2022, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada mereka untuk meneruskan rayuan.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram