EKSPO Usahawan Selangor (SELBIZ) 2024 kembali untuk tahun ketiga dengan menghimpunkan 200 reruai usahawan yang terdiri daripada pelbagai sektor perniagaan. Program  yang bakal berlangsung pada 4 hingga 6 Oktober ini di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Setia Alam ini ini bukan sahaja tertumpu kepada usahawan-usahawan di bawah bimbingan Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) PKNS tetapi juga terbuka kepada semua usahawan yang lain.

Program yang dibawakan khas oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) ini mula dianjurkan pada tahun 2022 menggunakan tagline ‘Melangkah Lebih Jauh’ untuk edisi tahun ini, selaras dengan matlamat PKNS dalam membantu usahawan memperluaskan perniagaan mereka, bukan sahaja di pasaran tempatan, malah ke peringkat antarabangsa.

Bukan itu sahaja, SELBIZ 2024 juga menyediakan ruangan Fiesta Coffee dengan menawarkan sembilan reruai usahawan kepada orang ramai terutamanya pencinta kopi beserta 20 reruai makanan dan minuman viral untuk dinikmati oleh pengunjung.

Program selama tiga hari ini bermatlamat menjadi platform kepada orang ramai terutama usahawan untuk mendapatkan info keusahawan bukan sahaja daripada agensi yang terlibat tetapi juga daripada syarikat-syarikat utama di bawah segmen pemadanan perniagaan. Selain itu, terdapat juga perkhidmatan Klinik Usahawan Selangor dimana usahawan atau orang ramai boleh mendapatkan sesi bimbingan atau kaunseling mengenai perniagaan secara percuma.

Bagi memeriahkan lagi acara tahunan ini, PKNS dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan menyediakan kaunter jualan produk PKPS serta Jualan Ehsan Rahmah dengan harga yang lebih rendah.

Manakala bagi yang berkeluarga pula, pelbagai aktiviti yang disediakan seperti SELBIZ Obstacle Run, Magic Show, Petting Zoo dan Family Mini Game.

Menariknya, terdapat juga pameran kereta berjenama terkenal, BYD Dimana sebanyak tiga jenis kereta keluaran baharu akan dipamerkan dan pengunjung juga akan berpeluang untuk sesi pandu uji percuma sepanjang ekspo ini berlangsung.

Bukan sekadar memberi tumpuan kepada usahawan, SELBIZ kali ini juga menyediakan halwa telinga bagi pengunjung yang akan hadir iaitu Selawat @SELBIZ bersama beberapa tokoh-tokoh agama selain perkongsian secara interaktif berkaitan konsep perniagaan dalam Islam dan diiringi dengan persembahan daripada Kumpulan Hijjaz dan Selawat Taranum Voices.

Bagi menambahkan kemeriahan, pengunjung akan disajikan dengan Konsert Gempak yang menampilkan beberapa nama selebriti tanah air terkenal seperti Akim & The Majistret, Sarah Suhairi, Hael Husaini, 6ixth Sense, Syamel dan tidak dilupakan busking daripada kumpulan Karyara.