MEMILIKI bakat seni dan meminati bidang tersebut sejak kecil menjadi pendorong utama buat pendatang baharu, Yang Mulia Tunku Ines Najihah Raden, 20, atau nama pentasnya, Ines untuk menceburi bidang nyanyian secara professional.
Sebagai permulaan, Ines telah merakamkan sebuah single berjudul Andai yang dicipta oleh komposer terkenal, Edry Abdul Halim sekitar Mac lalu.
Lagu bergenre pop itu menjadi taruhan pertama Ines untuk meletakkan namanya sebaris dengan penyanyi masa kini.
Puteri kesayangan Yang Amat Mulia Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Ibni Tuanku Ja’afar dan Yang Mulia Tunku Datuk Seri Mimi Wahida Raden itu juga teruja dengan penerimaan ramai untuk lagu Andai buat julung kalinya.
“Jujurnya saya amat gentar dengan penerimaan semua orang selepas mendengar single pertama saya, Andai.
“Sama ada suka atau tidak, tapi saya tetap positif dalam hal ini,” kata Ines dalam pertemuan bersama media baru-baru ini.
Lagu Andai dirakamkan di Studio Scifi, Damansara Perdana, Selangor dengan durasi selama 3:36 minit.
Sebelum itu, Ines mengikuti latihan vokal secara intensif bersama Cikgu Siti Hajar Ismail selama beberapa bulan. Sementara itu, Archie Nasution bertindak sebagai juru vokal sewaktu proses rakaman berlangsung.
Andai turut menampilkan Qaseh, sebagai featuring dalam lagu ini. Ines merupakan artis pertama di bawah naungan syarikat Raden Venture Plt. sementara edaran lagu oleh Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. (Rocketfuel).
Berhubung pemilihan lagu Edry untuk memperkenalkan dirinya dalam industri hiburan, pelajar tahun akhir jurusan Komputer Sains di Universiti Nottingham ini memberitahu dia amat mengagumi karya-karya hasil ciptaan figura itu.
Meminati lagu-lagu popular dendangan KRU termasuklah Tiga Kata, Ines juga merasakan pemilihan Edry sebagai komposer pertama lagunya itu amat tepat kerana komposer tersebut mempunyai kepakaran dan pengetahuan luas khusus dalam bidang muzik.
“Saya memberitahu Edry yang saya mahukan ‘dance track’ untuk single pertama kerana saya suka menari. Edry mencadangkan tiga lagu ciptaannya tidak lama kemudian, antaranya Andai.
“Bila mendengar Andai buat kali pertama, saya terus terpikat. Lagu ini ada kriteria yang saya inginkan.
“Selain menyanyi dalam persembahan, saya juga akan menari dalam video muzik nanti,” cerita Ines penuh bersemangat.
Proses perbincangan antara pihak Ines dan Edry dilakukan dalam alam maya kerana sewaktu itu Edry menetap bersama keluarganya di United Kingdom (UK).
Andai boleh didengar di semua digital platform (Joox, Spotify, iTunes, Apple Music, Deezer) di bawah saluran Rocketfuel dan Telco (Celcom, Digi, Umobile dan Maxis) dan saluran radio tidak lama lagi.
Lagu Andai bakal dilancarkan secara rasmi dalam satu majlis yang bakal dianjurkan tidak lama lagi. Begitu juga dengan video klip rasmi yang akan menyusul kemudian.
Selain Andai, Ines juga mempunyai dua lagu single yang lain hasil ciptaan Omar K.
Kedua-dua lagu ini sudah dirakamkan dan dijangka akan dilancarkan selepas lagu Andai nanti.