Cambree Hensley dilahirkan di Oklahoma Norman Regional HelathPlex, Amerika Syarikat, pada bulan Ogos 2013. Pada awalnya, bayi perempuan ini nampak normal dan sihat sahaja.

Namun, ada sesuatu yang pelik pada kaki si kecil ini apabila sebahagian kaki kirinya diliputi tompok merah mirip gugusan anggur. Ibunya, sejak awal menyedari kehadiran tompok aneh itu, tetapi dia membiarkannya sahaja kerana menganggap tompokan itu cuma tanda lahir biasa.

Ternyata, dugaan si ibu silap. Apabila doktor melihat kelainan pada Hensley, mereka mendapati bahawa tanda tersebut bukan sesuatu yang lazim kerana ia menandakan masalah yang lebih serius.

Hensley kemudian ditahan dalam wad untuk dipantau doktor. Namun, pakar pediatrik dan dermatologi bercanggah pendapat. Sudahnya, mereka tidak dapat mengenal pasti kondisi sebenar yang dialami oleh kanak-kanak tersebut.

Bimbang keadaan si anak, ibu bapa Hensley segera membawa kes ini ke Cook Children’s Hospital di Texas. Selepas menerima kes Hensley, pihak hospital segera membentuk sebuah pasukan perubatan khas yang terdiri daripada pakar bedah saraf, genetik dan hematologi.

Selepas melakukan beberapa siri diagnosis secara terperinci, mereka mengesahkan bahawa kanak-kanak itu merupakan penghidap Klippel-Trenaunay Syndrome (KTS), penyakit yang hanya dialami oleh satu daripada 100,000 orang di seluruh dunia.

Pesakit KTS.

KTS ialah kelainan genetik yang sangat langka dan terjadi pada pembuluh darah. Seseorang dengan kelainan ini akan memiliki tanda lahir berwarna merah keunguan, mengalami pelebaran vena serta pertumbuhan jaringan tulang rawan yang berlebihan di daerah sekitarnya. Akibatnya, bahagian badan yang dibaluti tanda merah boleh berubah menjadi abnormal di mana menjadi lebih besar, panjang dan hangat.

Hasil laporan diagnosis menunjukkan, ciri-ciri yang dinyatakan itu ternyata ada pada Hensley. Berdasarkan pemeriksaan, kondisi anak ini agak berbeza dengan kanak-kanak lainnya. Ini kerana, dia didapati memiliki dua kali lebih banyak pembuluh darah daripada kebanyakan orang dewasa.

Keadaan itu menyebabkan Hensley sering sahaja berasa tidak selesa. Tambahan pula, bila mana aliran darah meningkat dan membengkak, setiap kali itulah dia akan berasa sakit.

Paling derita, rasa ngeri itu dialaminya setiap hari tanpa mengenal masa. Tambah membimbangkan, doktor memberitahu apabila pembuluh darah membengkak dan darah membeku, keadaan itu boleh menyebabkan fatal dan mengancam nyawanya.

Keadaan kaki kanak-kanak yang menghidap KTS.

Hensley merupakan salah seorang antara penghidap penyakit ganjil ini yang mendapat sokongan daripada kumpulan keluarga penderita KTS di Facebook. Melalui jaringan ini, kes Hensley telah dirujuk ke Hospital Boston Children di Massachusetts, sebuah hospital yang memiliki reputasi terbaik dalam merawat KTS.

Pada April 2015, Hensley dibawa ke Hospital Boston Children untuk ‘vena pemetaan’, yang mana ia digunakan untuk memantau aliran darah. Selain itu, doktor juga memasukkan lem khas ke dalam pembuluh darah utama kanak-kanak tersebut bagi meminimumkan aliran darahnya.

Dalam prosedur yang sama, doktor turut melakukan rawatan laser bagi menguatkan kulit di bahagian kakinya dan sclerotherapy untuk mematikan beberapa pembuluh darah.

Pada September 2015, dia sekali lagi menjalani terapi laser, pembedahan untuk mengangkat tiga pembuluh darah ekstra dan beberapa pendarahan membeku yang berbahaya pada kakinya.

Mahu tidak mahu, Hensley harus meneruskan kehidupannya sebagai pesakit KTS. Beberapa tahun selepas pembedahan, kesan penyakit itu membuatkan kaki kirinya mempunyai tompokan merah menjadi satu inci lebih panjang dan setengah inci lebih lebar daripada kaki kanannya. Akibat perbezaan itu, Hensley sering kehilangan keseimbangan dan kerap terjatuh setiap kali kakinya membengkak.

Tiada penawar untuk penyakit ini. Apa yang ada hanyalah prosedur yang boleh dijalankan mengikut keadaan pesakit untuk mengurangkan kesan atau kesakitan yang dialami akibat sindrom ini.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram