FILEM Abang Adik dipilih mewakili Malaysia di Anugerah Akademi ke-97 atau Oscar yang bakal berlangsung pada Mac hadapan.
Filem arahan Jin Ong itu bakal bertanding dalam kategori Filem Cereka Antarabangsa.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) hari ini, pemilihan naskhah itu selepas beberapa siri penilaian Jawatankuasa Pemilihan Filem (JKPF) Finas yang terdiri daripada barisan profesional dalam bidang perfileman dan pematuhan syarat penyertaan ditetapkan oleh penganjur.
“Filem terbitan More Entertainments Sdn Bhd ini merangkul 19 anugerah antarabangsa, sekali gus satu pencapaian yang membuktikan filem Malaysia mampu bersaing dan menyerlah di peringkat global.
“Antara pencapaian tertinggi adalah Anugerah Filem Terbaik, Festival Filem Asia New York (Uncaged Competition Ke-22) dan merangkul Golden Mulberry, Black Dragon Critics Award serta White Mulberry Award untuk Filem Cereka Terbaik di Far East Film Festival Ke-25 di Udine, Itali.
“Di peringkat tempatan, filem ini mencatatkan kemenangan di Malaysia Global Golden Awards (MGGA) 2024 dengan meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik,” menurut kenyataan itu.
Malah, Abang Adik turut mencatatkan kejayaan luar biasa di China dengan kutipan pawagam mencecah RM2.2 juta sehingga 30 September lalu selepas mula ditayangkan sejak 21 September lalu.
Filem berkenaan mencetuskan fenomena pada tahun lalu dengan kutipan pecah panggung RM14.6 juta di Taiwan dan RM1.55 juta di Hong Kong sekaligus menjadikannya filem Malaysia pertama yang mencatatkan rekod tayangan tertinggi.
Sementara di Malaysia, filem Abang Adik mencatatkan kutipan RM5.7 juta ketika ditayangkan pada Disember tahun lalu.
Abang Adik mengisahkan kehidupan dua beradik yang yatim piatu lakonan Jack Tan dan pelakon dari Taiwan, Wu Kang Ren.
Mereka hidup tanpa dokumen dan tinggal di Pudu, Kuala Lumpur iaitu kawasan yang terkenal dengan pasar basah.