Abang Ngah ceritakan kepada saya, senja itu badannya terasa panas. Mula-mula di sekitar tapak kaki, macam disapu minyak panas. Abang Ngah picit-picit, tapi tidak hilang juga. Anehnya cuma sekitar tapak kaki saja. Abang Ngah basuh dan rendam kaki di dalam baldi, pun sia-sia.
“Gout kut, bang,” kata isteri Abang Ngah, Kak Mas.
Tak mungkin. Sebab kalau gout, tentu kaki Abang Ngah bengkak. Ini tidak, kaki Abang Ngah elok saja, cuma kemerah-merahan. Kalau dipicit pun ia tidak berasa sakit, cuma panas saja.
Sebelum Isyak, rasa panas itu naik hingga ke lutut, kemudian perlahan-lahan naik ke paha dan sekitar perut. Abang Ngah sudah tidak keruan sebab panas dan pijarnya lain macam. Seperti dibakar. Panas di tempat lain Abang Ngah masih boleh tanggung, tapi di bahagian yang sulit itu, memang tak boleh control.
Dari bahagian perut, kepanasan itu dengan begitu cepat naik hingga ke dada. Badan Abang Ngah basah dengan peluh. Dia buka kipas hingga nombor lima, langsung tidak berkesan. Dada mula terasa sesak, bagaikan orang kelemasan.
“Bawa abang ke klinik, cepat…” kata Abang Ngah kepada Kak Mas.
Di dalam kereta yang dipandu oleh jiran mereka, Oden, keadaan Abang Ngah tidak keruan. Menggelupur ke sana ke mari. Baju yang dipakai basah macam direndam dalam air. Kedinginan penyaman udara yang dibuka kuat pun tidak dapat menyejukkan badan Abang Ngah.
Dalam fikiran Abang Ngah tertanya-tanya, kenapa jadi begini? Sakit apa? Hendak kata dia mengidap darah tinggi, gout atau jantung, tidak pula. Atau ajal Abang Ngah sudah dekat? Sebab, kata orang nyawa biasanya dicabut bermula dari kaki dan berakhir di ubun-ubun.
Kak Mas menangis-nangis apabila Abang Ngah mula meminta maaf darinya dan minta halalkan segala makan minum.
“Kenapa dengan Abang Lan ni, Kak?” Oden bertanya.
“Tak taulah… tak lama lepas balik dari kebun tadi, tiba-tiba aja jadi macam ni,” jawab Kak Mas sambil menangis teresak-esak.
Abang Ngah hanya dengar saja mereka berbual, hendak menyampuk sudah tidak bertenaga lagi. Tapi apabila terdengar perkataan kebun, dada Abang Ngah tiba-tiba berderau!
Dari klinik, Abang Ngah dikejarkan pula ke hospital kerana kata doktor semuanya normal. Dia tidak dapat mengesan sebarang penyakit. Begitu juga di hospital. Malah doktor juga berasa pelik kenapa kulit Abang Ngah jadi merah dan dia rasa badannya panas, sedangkan apabila dipegang, biasa saja. Suhu badan Abang Ngah pun normal juga. Kalau begitu, apa yang menimpa Abang Ngah?
Doktor pun tidak tahu. Abang Ngah hanya ditempatkan di wad dan diberikan perhatian rapi. Mereka tidak memberikan Abang Ngah ubat kerana memang kesihatan Abang Ngah normal.
Hanya kalau keadaan bertambah serius, baru mereka akan lakukan sesuatu. Kata doktor, mereka perlu menunggu keputusan ujian darah dan air kencing dahulu.
Abang Ngah terus gelisah di atas katil akibat kepanasan. Entah pukul berapa, Abang Ngah pun tidak tahu, dia terkejut apabila melihat ada sesuatu yang besar meluru datang. Tubuhnya hitam, kepala hampir mencecah bumbung, wajahnya samar-samar.
“Kenapa kau bakar rumah kami?” tiba-tiba lembaga hitam itu bersuara. Suaranya mendesah, tetapi garau.
“Tttaaak…. Aku tak bakar!” Abang Ngah menafikan.
Abang Ngah berusaha menepis, tapi tangannya kejang. Sebatang jari pun tidak dapat diangkat. Tubuh Abang Ngah bagaikan diikat ke katil.
“Kenapa kau bakar rumah kamiiii!!!???” muka lembaga hitam itu kini hanya sejengkal saja dari muka Abang Ngah. Dapat Abang Ngah hidu tubuhnya yang berbau hanyir. Matanya berkilau, tetapi semuanya hitam.
“Ya… yaa… aku yang bakar… aku minta maaf…” akhirnya Abang Ngah terpaksa mengaku dan…
Lembaga hitam itu tiba-tiba menjauhkan dirinya dalam keadaan seperti melayang dan terus hilang. Keadaan samar-samar tadi bertukar terang. Abang Ngah memandang keliling, lampu terang benderang. Kak Mas dan jururawat memegang tangannya sambil bertanya, kenapa Abang Ngah meracau.
Ya-Allah… apa yang berlaku tadi? Abang Ngah yakin, dia tidak bermimpi. Dia belum tidur lagi. Semuanya berlaku dalam sekelip mata.
“Nurse… saya nak balik!” kata Abang Ngah kepada jururawat.
Walaupun ditegah, Abang Ngah tetap berkeras untuk pulang. Permintaan itu tidak dapat ditunaikan, sampailah pagi esoknya. Sampai saja di rumah di Batu 11 Hulu Langat, Abang Ngah terus minta tolong Oden untuk menghantarnya ke dusun pusaka emak, dua kilometer dari rumah Abang Ngah. Dusun itu terletak di lereng bukit dan sudah lama terbiar.
Tentu anda tertanya-tanya, kenapa Abang Ngah pergi ke dusunnya, bukan?
Cerita Abang Ngah lagi, petang hari sebelumnya dia seorang diri pergi membersihkan kebunnya itu. Selain menebas dan menebang belukar, dia juga membakar tiga rumpun buluh yang tumbuh di tepi tali air di hujung dusun itu. Bentuk rumpun buluh itu memang cantik. Ia tumbuh sebaris bagaikan ditanam seseorang.
Buluh kalau dibiarkan, nanti merimbun, susah hendak dibuang. Satu lagi, ia boleh jadi tempat ular bersarang. Lalu Abang Ngah ambil daun-daun kering dan bakar salah satu rumpun buluh tersebut.
Ketika api mula marak, tiba-tiba Abang Ngah lihat ada sesuatu berwarna hitam meluru keluar dari lubang tidak jauh dari perdu buluh berkenaan. Ya-Allah… ular!
Abang Ngah terus lari, bimbang kalau dikejar ular tersebut. Kira-kira 10 meter berlari, Abang Ngah berpaling ke belakang. Dia terperanjat kerana melihat ular hitam tadi berada kira-kira dua meter dari rumpun buluh yang sedang terbakar.
Yang Abang Ngah pelik, ular itu tidak melarikan diri. Ia sebaliknya mengangkat kepala seperti memerhatikan api yang sedang membakar pokok buluh berkenaan.
Itu tak mengapa lagi. Abang Ngah cukup terkejut apabila ular sebesar lengan dan sepanjang tiga meter itu kemudian tiba-tiba memusingkan kepala dan `memandang’ tepat ke arahnya. Beberapa saat kemudian ular itu mengangkat lagi kepala sampai semeter tingginya. Kepalanya dikembangkan seperti hendak mengejar dan mematuk Abang Ngah. Tanpa berlengah, Abang Ngah terus berlari ke motosikal dan memecut pulang ke rumah.
***
Pulang saja dari hospital, Abang Ngah ditemani Oden pergi semula ke rumpun buluh tersebut. Pangkal rumpun yang Abang Ngah bakar itu sudah hampir hangus semuanya. Tinggal batang-batang buluh yang sudah layu, hitam dan kering.
Di mana ular itu? Tidak kelihatan. Pulang dari dusun, Abang Ngah terus ke rumah Ustaz Ismail yang tinggal tidak jauh dari rumahnya. Waktu dirawat, Abang Ngah jadi tak sedar dan meracau. Dia mengamuk dan melingkar-lingkarkan badan di atas lantai macam ular.
Kemudian Abang Ngah menjerit dan marah kerana rumahnya dibakar, menyebabkan anak-anaknya semua mati. Hanya selepas Ustaz Ismail merawat Abang Ngah dengan ayat-ayat al-Quran dan berjanji akan menggantikan semula rumah yang dibakar itu, barulah Abang Ngah tumbang dan tidak meracau lagi. Pulang dari rumah Ustaz Ismail, badan Abang Ngah beransur sejuk.
Beberapa hari kemudian, Abang Ngah dan Oden pergi ke rumpun buluh tersebut. Sampai di situ mereka terhidu bau yang busuk. Datangnya dari lubang tidak jauh dari perdu pokok buluh itu.
Walaupun tidak nampak punca bau tersebut, tapi Abang Ngah percaya, ianya bau bangkai anak-anak ular berkenaan yang mati apabila dia membakar rumpun buluh berkenaan.
Kata orang kampung, rumpun buluh itu adalah rumah sekeluarga orang bunian. Ular hitam pula adalah jelmaan makhluk halus itu. Abang Ngah tanya hal itu kepada Ustaz Ismail, tapi dia hanya menggelengkan kepala.
“Itu semua syaitan dan jin. Jangan percaya sangat. Yang penting kau dah sembuh, tentang benda-benda ghaib tu kita serahkan kepada Allah. Kalau ia orang bunian, jin atau pun syaitan sekalipun, biarlah…” begitu jawab Ustaz Ismail.
Peristiwa ini berlaku pada tahun 2004. Abang Ngah juga sudah meninggal dunia pada pertengahan 2014 akibat angin ahmar dan serangan jantung.
Sekali-sekala pada musim buah, saya akan menziarahi Kak Mas dan mengajaknya ke dusun peninggalan arwah mak dan Abang Ngah. Namun saya mengelak daripada pergi ke tempat rumpun-rumpun buluh tersebut. Manalah tahu masih ada ‘ular’ lagi di situ.
Oleh: Mawardah, Petaling Jaya, Selangor.
______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram