PELAKON dan pengacara, To’ Puan Syamim Freida bersyukur atas sokongan yang diberikan keluarga dan suaminya, Yang Mulia Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Datuk Ardy Esfandiari Al-Haj selepas terbabit dalam filem terbitan produksi Indonesia berjudul Air Mata Mualaf.
Syamim yang sebelum ini dikenali sebagai Syamim Farid berkata, filem genre drama itu bakal ditayangkan tahun hadapan dan akan memulakan fasa produksi di Indonesia serta Australia.
“Alhamdulillah suami seorang yang menyokong dan memberi kebenaran untuk saya melebarkan sayap ke Indonesia bagi mengembangkan kerjaya seni. Itu yang sangat penting, restu suami.
“Tidak dinafikan ia bukan satu hal yang mudah untuknya memberikan keizinan kepada saya berada di negara orang bagi satu tempoh tertentu untuk bekerja. Jadi bila suami beri ‘lampu hijau’ saya bersyukur.
“Suami juga sentiasa memberikan galakan dan tahu akan minat saya terhadap dunia lakonan khususnya, termasuk ahli keluarga yang lain. Terharu apabila mereka turut memberikan galakan yang tidak putus-putus,” katanya kepada URTV.
Berkongsi lanjut mengenai penglibatannya dalam industri perfileman di Indonesia, Naib Juara Dewi Remaja 2014/15 ini berkata, dia mendapat tawaran berkenaan sejurus mengikuti kelas lakonan di negara itu.
“Awal tahun lalu, saya ada mengikuti kelas lakonan selama dua bulan di Indonesia. Ketika itu jadual agak padat kerana saya perlu ulang alik dari Indonesia ke Malaysia.
“Selepas tamat pengajian, saya terima tawaran terbabit. Filem tersebut belum lagi memulakan penggambaran, namun baru sahaja selesai majlis pelancaran, membaca skrip dan bertemu dengan para pelakon lain.
“Syukur mereka alu-alukan kehadiran saya dengan baik dan banyak memberikan tunjuk ajar,” ujarnya.
Tambah Syamim, dia teruja terlibat dalam naskhah it disebabkan tawaran yang diberikan agak berbeza dari sebelum ini.
“Di dalam naskhah ini, saya memegang watak sebagai Nina iaitu kawan baik kepada Angie yang dilakonkan oleh Acha Septriasa.
“Agak teruja sebab sebelum ini saya kerap diberikan watak antagonis menerusi drama tempatan dan kali ini situasinya berbeza,” katanya lagi.
Demi tuntutan watak, Syamim turut mengambil kelas belajar bahasa Indonesia bagi memudahkan proses penggambaran tidak lama lagi.
“Memandangkan ini satu pengalaman baharu dan perlu bertutur dalam bahasa Indonesia sepenuhnya di dalam filem ini, jadi saya ambil inisiatif dengan mengambil kelas bahasa Indonesia bersama seorang guru.
“Kami juga sudah memulakan latihan bersama para pelakon lain. Bila berpeluang berada dalam satu skrin dan dapat berlakon bersama, ia satu momen yang bermakna untuk saya secara peribadi sebenarnya.
“Tak sangka dengan peluang yang diterima, syukur Alhamdulillah atas rezeki dan saya tak akan sia-siakan kesempatan ini.
“Cuba memberikan kualiti lakonan yang terbaik, Insya-Allah,” tuturnya.
Selain Syamim dan Acha Septriasa, Air Mata Mualaf juga bakal dilakonkan oleh Achmad Megantara, Rizky Hanggono, Dewi Irawan, Matthew Williams dan ramai lagi.
Dalam perkembangan lain, Syamim baru sahaja muncul dengan program ‘podcast’, Tiga Is3 yang turut menampilkan dua personaliti Uyaina Arshad dan Adriana Adnan sebagai pengacara.
Ia mula bersiaran sejak 22 September lalu, setiap Ahad, jam 5 petang menerusi saluran YouTube FYP Media.
Tiga IS3 ialah sebuah program yang berkongsi pelbagai topik bual bicara menarik, meliputi kisah rumah tangga dan kehidupan harian wanita dalam mendepani situasi semasa yang mencabar ketika ini.