IBARAT SEBATANG POKOK

Ada manusia yang diumpamakan seperti rambutan jantan. Apabila tiba musimnya, ia berbunga seperti pokok-pokok rambutan yang lain juga, lebat bunganya, dan apabila kembang, wangi baunya, datanglah kelulut dan kumbang-kumbang menyedut madunya. Tetapi apabila pokok-pokok rambutan lain berbuah lebat maka rambutan ‘pondan’ itu tidak berbuah.

Ada manusia yang diumpamakan seperti manggis yang tiada pandai menyimpan rahsia, yang lurus dan terlampau bodoh. Beberapa pangsa dibuntutnya maka sebanyak itulah isinya. Telinganya besar tetapi pekak. Getahnya kuning seperti emas lapan. Bila menyelat yakni hampir-hampir masak jadi kehitam-hitaman dan warna buah-buah manggis yang cukup masak itu jadi kiasan oleh manusia iaitu hitam-hitam si buah manggis, sungguh pun hitam dipandang manis.

Ada manusia Melayu yang diumpamakan seperti enau-enau dalam belukar, berebut-rebut nak naik ke atas, masing-masing hendak menunjukkan pucuknya atau egonya.

Ada pula manusia Melayu yang diumpamakan seperti lalang, ke mana angin bertiup ke arah itulah ia tunduk, condong dan membongkok. Tetapi awas jangan membiarkan ia membiak, pokok-pokok lain akan kurus dan akhirnya mampus. Lalang-lalang hanya segan kepada gajah-gajah dan bila gajah-gajah lalu maka lalang akan layu.

Ada juga manusia yang diumpamakan seperti pokok rengas. Batangnya besar, banyak dahan dan cabang-cabangnya. Daun-daunnya lebat dan rendang. Tetapi awas! Manusia yang menghampirinya atau lalu di bawahnya tanpa memberi salam atau bertabik memberi hormat dengan berkata “Wahai Datuk Rengas atau Tan Sri Rengas: Izinkan anak cucu hendak lalu” maka akan disemburnya dengan racun yang halus seperti angin dan akan gatal-gatal seluruh badan seseorang atau beberapa orang manusia yang bersikap ‘kurang ajar’ itu hingga mengudis.

Dan lagi ada manusia yang diumpamakan seperti buluh. Kecil-kecil pakai kain dan baju, bersopan santun tetapi apabila sudah besar maka ia bertelanjang bogel, beramai-ramai, berumpun-rumpun di sepanjang lebuh raya, tebing-tebing sungai, di lereng-lereng bukit-bukau. Namun demikian gunanya amat banyak, boleh dibuat ampaian kain, dibuat pengait kelapa, atau buah-buahan, boleh dibuat tiang untuk menggantung sangkar burung tekukur atau merbuk dan lain-lain lagi.

Diri saya sendiri adalah umpama pokok buluh, boleh dibuat ampaian kain basah, dijadikan pengait kelapa atau joran kail dan lain-lain lagi tetapi ada kalanya boleh juga digunakan untuk membunuh ular lidi, ular sawa, malah juga ular tedung senduk…wallahuaklam.

NOTA : Tulisan di atas ialah hasil karya asli Ishak Haji Muhamad yang lebih dikenali sebagai Pak Sako. Rencana ini ditulis oleh Pak Sako sebagai mengenang jasa dan sumbangan Datuk Ahmad Boestamam yang meninggal dunia pada 1983.

Semasa hayatnya Pak Sako suka berjenaka dan selalu bertanyakan soalan kuiz secara spontan kepada generasi muda antaranya, Mengapa Kampung Songsang itu dinamakan Songsang? Soalan kedua, namakan lima jenis ikan dalam Sungai Pahang? Soalan terakhir, namakan pahlawan-pahlawan Pahang yang menentang Inggeris?

Pak Sako dilahirkan pada 14 November 1904 dan meninggal dunia pada 7 November 1991. Jasadnya disemadikan di pusara Kampung Tengah, Buntut Pulau, Temerloh, Pahang.

Ishak Haji Muhammad @ Pak Sako.