JEMAAH Menteri bersetuju menstruktur Lembaga Koko Malaysia dengan memasukkan komoditi kelapa di bawah agensi itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata penstrukturan itu tidak memerlukan perbelanjaan atau perjawatan tambahan, sebaliknya menggunakan sumber tenaga sedia ada.
“Ini (penstrukturan) satu pendekatan di mana kita tidak mahu berlakunya pembaziran, sebaliknya menggunakan sumber yang ada untuk kita memanfaatkan kelapa ini bukan khusus untuk Bagan Datuk, tetapi kelapa di seluruh negara termasuk di pantai barat dan pantai timur serta Sabah dan Sarawak.
“Insya-Allah kita akan realisasikan dengan kerjasama semua pihak dan kita tidak harus kerja secara bersendirian untuk mempromosikan sesuatu produk, terutama produk boleh jana pendapatan tambahan untuk penduduk luar bandar atau penduduk desa,” katanya pada sidang media hari ini.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian selepas merasmikan penutupan Jelajah Hari Terbuka ‘Malaysia MADANI, UNISEL Depani’ dan Kelapa Fest Bagan Datuk 2024 di Dataran Waterfront Bagan Datuk.
Ahmad Zahid berkata, publisiti berkaitan penstrukturan itu mungkin tidak meluas dan beliau sendiri akan bertanya kepada menteri terbabit mengenai sejauh mana keputusan Kabinet itu telah dilaksanakan, selain nama baharu bagi agensi berkenaan.
Beliau berkata, setakat ini terdapat kira-kira 215,000 ketua isi rumah di seluruh negara terbabit secara langsung sebagai pekebun kecil kelapa.
Baca artikel lain: Pemisahan Kementerian Komunikasi dan Digital sejajar peredaran masa
Berhubung program hari ini, Ahmad Zahid berkata pihaknya berazam menganjurkan program seumpama itu pada minggu pertama Oktober setiap tahun.
“Kita akan jalinkan kerjasama dengan UNISEL (Universiti Selangor) dan juga persatuan agropelancongan serta melibatkan Pejabat Ahli Parlimen Bagan Datuk untuk mengadakan program ini.
“Tahun hadapan kita akan tambah luaskan penyertaan dalam bidang ini selain daripada UNISEL dan persatuan agropelancongan untuk membawa pengusaha-pengusaha dalam industri kelapa menyertai Kelapa Fest ini,” katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara mengumumkan UNISEL sebagai universiti keenam Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
Setakat ini terdapat lima universiti di bawah MTUN iaitu Universiti Malaysia Perlis, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah dan Universiti Kuala Lumpur.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

