Perjalanan setiap orang menuju ke alam barzakh berbeza-beza bergantung pada bagaimana persediaan mereka. Jika banyak amalan kebaikan yang dilakukan, sudah pasti perjalanannya dipermudahkan. Namun jika tidak cukup persediaan selama berada di alam dunia, perjalanan menuju ke alam barzakh menjadi sukar.
Walaubagaimanapun menurut Halmi Jaafar, Pengarah & Motivator G-Hard Motivation and Training terdapat perbezaan yang jelas antara orang Islam dan orang kafir ketika menghadapi saat sakarat.
Bagi kita umat Islam, pasti beranggapan proses saat sakarat bagi muslim adalah lebih ringan berbanding orang kafir kerana kita berada di landasan agama yang benar.
Hakikatnya, tanggapan itu silap. Sebenarnya bagi orang kafir, ketika menghadapi saat sakarat, kesakitan yang ditanggung lebih ringan berbanding umat Islam. Mengapa Allah berikan keringan sakarat kepada orang kafir sedangkan mereka tidak mahu menyembah Allah?
Jawapan kepada persoalan ini dijawab oleh Zaid b. Aslam dalam hadis riwayat Ibnu Majah,
“Jika masih ada satu dosa pada diri seorang mukmin yang tidak tersentuh oleh amalannya, maka akan disulitkan baginya kematiannya supaya dengan sakarat dan kesulitan itu akan dapat mencapai darjat syurga.
Sesungguhnya bagi orang kafir pula, jika telah berbuat baik di dunia, maka akan dipermudahkan kematiannya untuk menebus pahala kebaikannya di dunia dan seterusnya berjalan menuju ke neraka”
Terang Halmi, apa yang disebutkan dalam hadis di atas menunjukkan dengan jelas tentang sifat ihsan Allah kepada setiap hamba Nya waima orang kafir sekalipun. Walaupun mereka ini tergolong di kalangan orang yang ingkar dan tidak beriman kepada Allah S.W.T. tetapi kerana sifat ihsan dan adil itulah mereka tetap diberikan ganjaran atas segala amal perbuatan baik yang telah mereka lakukan di dunia.
Kita tidak dapat menafikan, dalam melayari kehidupan di dunia yang hanya sementara ini, sudah pasti di kalangan orang-orang kafir ada yang membuat kebaikan dan kebajikan sama ada bersedekah, berbuat baik, amanah dan sebagainya.
Bahkan terdapat juga di kalangan mereka yang turut menyumbang untuk pembangunan umat Islam seperti pembinaan masjid atau bantuan kemanusian seperti di Somalia, Rohingya, Palestin dan banyak lagi tempat.
Segala bantuan dan kebajikan ini sudah pasti tidak memberi pahala kepada mereka, namun dengan segala macam bantuan dan kebaikan yang dilakukan inilah dibalas Allah sewaktu mereka menghadapi sakaratul maut.
Bukankah dalam surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8 Allah telah menjelaskan bahawa setiap amalan yang dilakukan umat manusia, sama ada Islam atau tidak akan dibalas sesuai dengan apa yang mereka lakukan.
“Barangsiapa yang melakukan perbuatan baik sekalipun sekecil zarah nescaya ia akan melihat (balasan) nya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah nescaya ia akan melihat (balasan) nya.”
Cuma perbezaan perbuatan baik umat Islam akan dibalas dengan pahala. Sebaliknya bagi yang belum Islam, perbuatan baik mereka tidak dibalas dengan pahala tetapi balasan kebaikan itu hanya diperoleh saat sakarat (menghadapi kematian). Lagi banyak nilai murni dan kebaikan yang mereka lakukan maka semakin ringan sakarat mereka nanti. Wallahu a’lam
________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram