mati tersenyum kerana rahmat Allah
Biarawati Argentina bernama Cecilia dikatakan tersenyum ketika meninggal dunia. Dia merupakan seorang biarawti yang banyak melakukan kerja-kerja amal ketika hidup

Dalam artikel sebelum ini telah dijelaskan bahawa orang kafir dipermudahkan urusan sakaratnya disebabkan amal perbuatan yang mereka lakukan sepanjang hidup di dunia. Pada ketika sakarat itulah Allah menunjukkan ihsan Nya dengan membalas kebaikan yang mereka lakukan.

Justeru itu tidak mustahil juga apabila kita mendengar kisah orang-orang yang kufur dengan Allah ini turut meninggal dalam keadaan tersenyum wajahnya.

Menurut Ustaz Halmi Jaafar, Pengarah & Motivator G-Hard Motivation and Training situasi itu sebenarnya bukan bermakna Allah S.W.T. memberi rahmat pada mereka sewaktu meninggal atau kerana amalan dan kepercayaan mereka betul, tetapi itulah ihsan yang mungkin selama ia berada di dunia terlalu banyak nilai-nilai murni yang dilakukan dan dibalas ketika menghadapi sakarat yang diringankan sebagaimana yang disebut dalam hadis di atas.

Bahkan ada juga timbul desas-desus mengatakan,

“Eh! orang bukan Islam mati tersenyum, sedangkan kita orang Islam mati dalam keadan menderita.”

Memang benar kerana sakarat mereka telah diringankan kerana kebaikan yang dilakukan itulah. Walau bagaimanapun ada juga orang kafir yang mati dalam keadaan terseksa dan derita, itu juga kerana kurang nilai-nilai murni yang dilakukan.

Ibnu Mas’ud pernah mengatakan,

“Sesungguhnya nyawa seorang mukmin itu keluar disertai dengan cucuran keringat. Sementara nyawa orang kafir keluar disertai keluarnya buih dari bibirnya seperti keluarnya nyawa keldai.

Sesungguhnya orang mukmin itu mungkin pernah melakukan perbuatan buruk. Oleh itu ia akan disusahkan ketika menghadapi kematiannya sebagai tebusan atas keburukannya. Sementara orang kafir mungkin pernah melakukan kebaikan, oleh itu ia akan dimudahkan dalam kematiannya sebagai tebusan atas kebaikannya” (HR Ibnu Abi Syaibah & al-Baihaqi)

Tambah Halmi lagi, bagi umat Islam seringan-ringan sakarat juga tetap terasa sakitnya. Keadaan sakitnya sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda s.a.w. seperti sehelai selendang yang tersangkut pada pohon berduri. Ditariknya selendang itu pasti ada cebisan kain yang tercarik dan tertinggal di pohon tersebut. Itulah gambaran seringan sakarat bagi umat Islam.

Bahkan yang melakukan kejahatan juga boleh dibalas ketika sakarat bergantung pada dosa apa yang dilakukan. Lazimnya perbuatan derhaka terhadap kedua ibu bapa. Kemungkaran ini dibalas di dunia, saat sakarat, dalam kubur dan juga di akhirat.

Begitu juga halnya dengan dosa melakukan perbuatan zalim. Mereka akan dibalas ketika sakarat namun bagaimana keadaannya, itu bergantung pada Allah yang akan membalasnya.

Jika seringan-ringan sakit sakarat bagi umat Islam pun tetap terasa sakitnya, apatah jika sakarat itu lebih berat. Sudah pasti tidak tertahan menanggung deritanya. Sehubungan dengan itu, sebagai umat Islam yang telah diberi nikmat Islam dan mengenal Allah kejarlah kebaikan dan kebajikan dalam apa juga tindakan, serta berlumba-lumbalah mencari keredaan Allah dan keredaan sesama manusia.

Ini yang akan menjadi kunci bagi kita untuk merasai ringannya saat sakarat sebelum berpindah ke alam barzakh. Wallahu a’lam

__________________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram